Dilarang Masuk

Dilarang Masuk

Kris terasa kepalanya berdenyut. Sakit. Pening. Dadanya terasa sesak untuk bernafas. Badannya bermandi peluh. Wajahnya berminyak dan comot.

“Cepat. Kita mesti bawa mereka ke hospital segera. Pembantu Kwok, tolong angkat gadis berambut pendek tu. Jackson, kau tolong papah Baekhyun! Jangan berlengah!”

Kris mendengar suara seseorang seperti memberi arahan.

“Jungkook, tunggu sini sehingga bantuan tiba dan tolong tengokkan yang lain terutamanya Youngji!”

“Jonghyun oppa, tolong jaga Baekhyun”

“Bantuan akan tiba tak lama lagi, jangan risau!”

Dalam kekecohan itu, Kris diam, perlahan-lahan membuka mata dan melihat villa milik keluarga Chiyaki itu sedang terbakar dan semakin lenyap. Villa yang dihadiahkan oleh keluarga Chiyaki itu sedang musnah. Kris teringat ketika pertama kali datang ke Korea dan bermalam di villa itu, di mana dia dan Errie seronok menerokai setiap bilik dan ruang rahsia.

“Errie, im sorry” tutur Kris, lemah tidak berdaya. Kelopak matanya terasa berat.

“Kau Kris kan? Jangan risau, kau akan selamat”

Dalam samar-samar dan silau cahaya, Kris melihat seorang lelaki mendekati dan mengangkatnya. Kemdian Kris terasa badannya bergoyang apabila diangkat gendong di belakang badan seseorang. Kris menoleh lihat villa tersebut yang semakin jauh dari benak pandangan. Bunyi bilah kipas dan deruman enjin helikopter didengari kuat.

Kris terasa badannya diangkat naik ke dalam perut helikopter. “Kris, buat masa ni kau kena pergi hospital dahulu sebelum aku serahkan kau kepada polis”

“Nama aku..” Kris memegang lengan baju lelaki itu. “Kai. Nama aku Kai”

“Ya. Aku tahu” balas Jonghyun. “Aku Jonghyun, presiden Kelab Sherlock. Selamat berkenalan” Jonghyun melepaskan tangan Kris lalu menutup pintu helikopter.

“Cepat, kita ke hospital” Jonghyun memberi isyarat kepada pemandu helikopter.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> 

Beberapa minggu kemudian

Naeun memberi tunduk hormat kepada dua orang pegawai polis yang mengawal di depan pintu sebelum melangkah masuk. Sekuntum bunga mawar merah dipegang kemas, dengan berhati-hati, tidak ingin melukakan salah satu kelopak bunga itu. Sebaik melangkah masuk, Naeun mendapati seorang lelaki di atas kerusi roda yang leka memandang persekitaran luar melalui jendela kaca di ruang bilik pesakit khas itu. Naeun mengukirkan senyuman.

“Kenapa kau datang?” lelaki itu bersuara. Di sebelahnya berdiri penyangkut tabung bag air dengan wayar yang terus disambung cucuk pada pergelangan tangan lelaki itu. Namun lelaki itu kelihatan sudah sihat. Rambutnya disikat kemas, dan dia tetap kelihatan bergaya walaupun hanya menyarungkan sepasang baju kosong berwarna hijau muda yang diberikan pihak hospital.

“Macam mana keadaan awak?” Naeun bertanya sambil meletakkan bunga yang dibawa bersama tadi di atas meja makan kecil di hadapan katil pesakit. Kelihatan mangkuk bubur yang masih bersisa tidak dihabiskan berada atas meja itu.

“Macam yang kau lihat” balas Kris, langsung tidak menoleh pandang gadis itu.

“Saya dengar yang esok…”

“Aku tak perlukan simpati kau” tutur Kris, bersifat dingin.

Naeun tidak rasa benci atau menyampah dengan sikap lelaki itu. Naeun berjalan menghampiri Kris, berdiri di sebelah lelaki itu. “Sebenarnya saya ada sesuatu nak beritahu. Mulanya saya fikir untuk pendamkan tapi saya tak nak menyesal nanti. Saya juga tahu yang saya tak mungkin dapat balasan yang saya harapkan tapi tetap saya ingin beritahu”

Kris, diam tidak mencelah mahupun menghalang.

Naeun menghela nafas perlahan sambil memandang pemandangan di luar tingkap. Dalam cuaca yang baik petang itu, kelihatan beberapa orang pesakit ditemani ahli keluarga masing-masing keluar beriadah. Musim panas juga akan berakhir dalam seminggu dua lagi dan semester baru akan bermula. Bagi Naeun, cuti musim panas kali ini telah meninggalkan kesan mendalam buat dirinya.

“Saya sukakan awak”

Kris sedikit terkejut mendengar luahan perasaan Naeun itu. Kris menoleh pandang gadis yang berdiri di sebelahnya itu. Naeun memakai blouse lembut disertakan dengan skirt labuh paras lutut yang bercorak bunga biru. Rambutnya dilepas lurus.

“Kau…”

“Saya tahu. Saya tahu yang saya tak layak untuk menggantikan tempat Chiyakii Errie. Pada mulanya saya betul-betul sangkakan yang awak pun sukakan saya bila Youngji dan Yubi mengatakan yang awak selalu curi pandang saya. Hari di mana awak  bertanya nama saya, hati saya dahpun sukakan awak. Tapi kini saya tahu saya silap. Saya cuma seorang gadis yang mirip dengan perempuan yang awak sayang”

Nada suara Naeun rendah, lembut berbicara. Tidak memerli mahupun mengherdik.

“Dia cinta pertama aku” ujar Kris, beralih semula pandangan ke luar tingkap. “Dan yang terakhir. Tiada siapa dapat menggantikan dia. Kau mungkin mirip dengannya tapi kau bukan Errie. Aku cuma cintakan Errie”

Hati kecil Naeun menangis, pedih hati apabila cintanya ditolak. Kata-kata Kris menyusuk hatinya. Gadis itu diam, menyembunyikan kesedihannya.

“Memang pada mulanya aku sangat terkejut kerana wajah kau yang mirip dengan Errie sehinggakan aku hampir tersangka kau ialah Errie. Kemudian aku sedar, kau bukan Errie. Aku tak berniat nak cederakan kau kerana aku beranggapan sama seperti mencederakan Errie. Pada masa Youngji tuduh kau, pada masa kau menangis malam tu, hati aku tersentuh kerana aku rasa seperti melihat Errie yang menangis. Kalau Errie masih hidup, tentu dia membesar cantik macam kau” luah Kris jujur, tersenyum apabila mengingatkan gadis yang dicintai itu.

“Chiyaki Errie sangat beruntung sebab ada teman lelaki yang setia macam awak” balas Naeun, turut mengulumkan senyuman.

>>>>>>>>>>>>> 

“Happy birthday my friend”

“Friend? Bila masa pula aku jadi friend kau?” ujar Baekhyun sebelum dahinya dijentik oleh Yubi.

“Abaikan dia” Yubi tersenyum lalu membuka kotak kek yang dibawa oleh Jackson dan Youngji. “Terima kasih” ucapnya sambil tersenyum lebar melihat kek red velvet yang dibuat khas sempena hari lahirnya bersama Baekhyun.

“Its ok Yubi, aku dah faham perangai Baekhyun” balas Jackson sambil meletakkan bakul yang dipenuhi buah-buahan atas rak bersebelahan katil Baekhyun. Timbalan presiden Kelab Sherlock itu masih tidak dibenarkan keluar dari wad walaupun keadaannya semakin baik. Tangannya yang beransur sembuh selepas dibedah buang peluru masih berbalut. Pergelangan tanganya juga turut dicucuk wayar untuk menyambung masukkan air dan darah.

“Youngji, bila kau potong rambut?” soal Yubi, perasan akan imej baru rakannya itu.

“Aku potong minggu lepas sebab aku rasa macam bau dari kolam busuk tu melekat pada rambut aku. Geram sangat jadi aku kerat bagi pendek” Youngji meraba sentuh rambutnya. Rambutnya yang pendek menampakkan bahagian belakang lehernya yang cerah dan tiada lagi anak rambut yang melindungi dahinya. “Kenapa? Tak cantik kah? Jackson cakap ia hodoh” gadis itu mencebik masam.

“Memang hodoh, macam cendawan yang tumbuh pada kayu mati dalam hutan tu” ejek Jackson sambil mencapai sebuah kerusi untuk duduk.

“Yah Wang Jackson!” rengek Youngji, menjeling lelaki itu. Jackson menjelir lidah sebagai serangan balas.

“Dia sengaja cakap macam tu sebab dia risau kalau lelaki lain terpikat dengan kecomelan kau” ujar Namjoo pula. Yubi dan Jungkook juga ketawa kecil. Tidak menyedari yang komen Namjoo membuatkan wajah kedua-dua Jackson dan Youngji merah, menahan malu.

“Oh ye, cakap pasal rambut pendek, mana Choa? Dia dah keluar wad kan?” Baekhyun mencelah tanya.

“Ya. Dia dah dibenarkan keluar wad semalam. Katanya dia akan datang lawat hyung nanti, mungkin dia lambat sikit” jawab Jungkook sambil mencuba rasa kek yang dibawa Youngji.

“Youngji, sedapnya kek yang kau buat ni” komen Yubi pula.

>>>>>>>>>>>> 

Detapan tapak kasut tumit tingginya berbunyi dalam langkah Naeun. Gadis itu tertunduk, memandang lantai hospital yang bersih sebelum berhenti apabila mendengar gelak tawa Yubi, Youngji, Namjoo dan Jungkook. Naeun membaca nama Baekhyun yang tertera tampal bersebelahan pintu.

“Naeun”

Gadis itu mengangkat muka, melihat Suho yang berjalan ke arahnya. Naeun membalas senyuman lelaki itu.

“Awak pergi lawat dia?” soal Suho, di depan pintu bilik Baekhyun yang masih tidak dibuka.

Naeun mengangguk. “Saya dengar dari Jackson yang hari ni merupakan hari terakhirnya di sini sebelum esok, dia akan diserahkan kepada pihak polis di Kanada”

“Macam mana keadaan dia?” Suho bertanya lagi, selaku seorang kawan yang tidak menyimpan dendam. Dua beg kertas yang terisi hadiah hari lahir buat Yubi dan Baekhyunn digenggam kemas.

“Semakin baik” jawab Naeun dalam nada mendatar.

“Semuanya ok kan?” soal Suho lagi, ingin mendapatkan kepastian. Dia dapat membaca riak wajah Naeun yang suram.

Naeun mengangguk lemah sambil mengintai di sebalik tingkap kecil pada pintu bilik pesakit itu. Kelihatan Yubi bersama yang lain sedang seronok menyambut hari lahirnya. “Dia nampak ok” balas Naeun bersahaja.

“Saya maksudkan awak. Naeun, awak ok tak?”

Naeun beralih pandang Suho semula dan senyum. Pura-pura senyum. “Saya? Saya ok” jawapannya tidak meyakinkan Suho.

“Awak dan Yubi? Macam mana? Baekhyun dah dapat terima?” soal Naeun pula.

“Saya sukakan Yubi, bukan Baekhyun. Kenapa pula saya harus tunggu Baekhyun untuk terima” jawab Suho jujur, jawapannya membuatkan Naeun ketawa kecil. Namun Suho tetap berwajah serius. “Awak beritahu pada Kris yang awak sukakan dia?”

Naeun terdiam, berhenti ketawa. “Yubi beritahu awak yang saya sukakan Kris?”

Suho hanya mengangguk, tidak berniat untuk sembunyikan apa-apa.

Naeun diam seketika sebelum berkata, “Tiada siapa dapat gantikan Chiyaki Errie”

Suho juga diam tidak membalas lalu mengeluarkan sapu tangan dari dalam poket seluarnya. Dihulurkan kepada Naeun. “Ambillah, awak mungkin perlukannya nanti”

Naeun menyambut sapu tangan tersebut. Dalam hatinya, dia mencemburui Yubi kerana Suho seorang lelaki yang sangat baik.

>>>>>>>>>>>>>> 

Youngji mencapai tali pinggang keselamatan dan melilit pakai dengan cara yang betul. “Kenapa ni?” soalnya, hairan melihat Jackson yang termenung diam selepas menghidupkan enjin kereta.

“Hah? Sorry” Jackson tersedar apabila ditegur oleh Youngji. Lamunannya mati. Lelaki itu laju mencapai lilit tali pinggang keselamatan dan mengangkat brek tangan. Perlahan-lahan kereta yang dipandu bergerak keluar dari perkarangan tempat letak kereta Hospital Taemin.

“Jackson, apa kau fikirkan?” Youngji bertanya apabila kenderaan mereka berhenti di lampu isyarat merah. Kenderaan lain beratur panjang di depan dan belakang memandangkan ketika itu ialah waktu puncak golongan pekerja untuk pulang. Jalan dipenuhi deretan kenderaan.

Jackson diam, menegakkan badan, pandangannya terus ke hadapan.

“Waaa, macam sukar nak percaya apa yang Baekhyun katakan memang betul”

Kata-kata Youngji menarik perhatian lelaki di sebelahnya itu. Jackson menoleh pandang Youngji sambil bertanya. “Baekhyun? Apa yang dia katakan?”

“Dia dah agak yang kau pasti akan rasa bersalah” balas Youngji, dalam nada rendah bersahaja.

Lampu merah bertukar hijau. Jackson terus menekan pedal minyak, meluncur laju.

“Apa maksud kau?” soal Jackson sambil memandu.

“Tadi Baekhyun ada beritahu aku sesuatu, masa tu kau pergi tandas” Youngji menyandarkan kepalanya pada tempat duduknya, menyelesakan diri dan teringat perbualan ringkasnya bersama Baekhyun di hospital tadi.

“Aku balik dulu. Kalau ada apa-apa, nanti kau telefon aku” Yubi sempat memeluk Baekhyun yang masih duduk rehat atas katil sebelum melangkah keluar. Namjoo dan Jungkook sudahpun menunggunya di luar.

Youngji menarik beg tangannya, juga mengemas diri, bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal. Waktu melawat akan tamat dalam beberapa minit lagi. Seketika dia ternampak imbasan pantulan diri pada cermin kaca tingkap dalam bilik itu, Youngji sempat mengusik belai rambutnya.

“Youngji, kau tunggu aku di lobi bawah. Aku nak ke tandas dahulu” Jackson beredar, meninggalkan hanya Baekhyun dan Youngji dalam ruang bilik itu.

“Youngji” Baekhyun memanggil

“Saya ke?” soal Youngji sedikit terkejut. Rasanya itu kali pertama Baekhyun memanggil namanya. Gadis itu berasa kekok.

“Ada orang lain bernama Youngji dalam bilik ni selain kau?” nada Baekhyun bersahaja. Youngji bertambah kekok, sambil menggosok belakang lehernya yang terdedah.

“Jackson tu teman lelaki kau?”

“Bukan!” laju Youngji menafikan, seraya menggeleng kepala. “Dia bukan teman lelaki saya. Kami sekadar kawan.”

“Tapi aku nampak cara dia pandang kau bukan pandangan seorang kawan, tapi pandangan seorang lelaki yang menyukai kau”

Tutur kata membuatkan Youngji berasa malu, tertunduk juga tidak mampu untuk menafikan.

“Tapi bukan tu yang aku nak cakapkan” tambah Baekhyun lagi. “Aku nak beritahu sesuatu kepada Jackson”

“Beritahu apa?” Youngji mengangkat muka, saling bertentangan mata dengan abang kembar Yubi itu.

“Beritahu dia supaya jangan rasa bersalah dan jangan terus salahkan diri sendiri”

Youngji diam, cuba menghadam kata-kata Baekhyun. Lalu Youngji menggeleng. “Saya tak faham”

“Dia pasti tengah salahkan diri sendiri. Apabila kau nampak dia termenung jauh dalam beberapa hari ni, tegurlah dia dan beritahu dia apa yang aku cakap tadi. Beritahu dia yang keputusan dia untuk datang ke Villa Chiyaki itu tak pernah salah. Malah aku juga patut berterima kasih. Kalau tak kerana kau dan Jackson, entah apa akan terjadi pada Naeun. Choa pula banyak membantu Jungkook dan Suho telah selamatkan nyawa adik aku. Laluan rahsia yang menemukan aku dengan Namjoo juga sebenarnya berjaya diketahui oleh Jackson. Jadi, tanpa korang semua, aku pasti akan tewas dengan Kris. Bukan salah Jackson yang Kris jadi sedemikian, samada Jackson yang bawa dia atau tak, Kris tetap Kai dan mayat Chiyaki Errie tetap ada di sana. Target Kris yang sebenar ialah ahli Kelab Sherlock.”

“Baekhyun beritahu tu pada kau?” Jackson memusingkan stereng kereta dan memberhentikan kereta di bahu jalan.

Youngji mengangguk lalu menambah. “Jadi kau tak perlu nak risau apa-apa. Semuanya dah berlaku dan kita tak boleh terus salahkan diri. Kris memang mungkin kawan sama kampus dengan kita tapi kita tak boleh nak tentukan apa dia akan lakukan”

“Memang aku rasa sangat bersalah. Baekhyun ditembak kerana aku. Aku rasa sangat menyesal sebab bawa korang ke villa tu. Aku terlalu teruja untuk jadi seorang penyiasat tanpa siasat terdahulu mengenai latar belakang pemilik villa tu. Keterujaan aku telah mendatangkan bahaya kepada kau, Choa, dan Suho.”

Youngji mencapai pegang tangan Jackson yang masih pada tombol gear kereta.

“Sebenarnya kalau Naeun tidak menjerit nama kau, pasti aku tak tahu yang kau berada di belakang villa ketika tu dan entah apa akan terjadi pada kau. Malah mengenai identiti Kris sebagai Kai pula, Baekhyun merupakan orang pertama yang dapat tahu, Jungkook pula berjaya cari tahu mengenai kes 3110 tu. Baekhyun juga yang selamatkan Suho dan Yubi. Malah Jonghyun yang datang selamatkan Choa dan Kris. Aku rasa kita semua tiada fungsi langsung. Aku juga terfikir kalau aku tak bawa Kris bersama, pasti ini semua tidak akan berlaku” jelas Jackson panjang lebar sambil tertunduk.

“Jackson, kita tak boleh ramal apa akan berlaku. Baekhyun betul, semua tu bukan salah kau. Kris tetap Kai, walau dia tak datang bersama kita pun, target dia pada awal memang Baekhyun dan ahli kelab Sherlock yang lain. Stop blaming yourself” Youngji bersuara lembut, seolah memujuk.

Jackson mengangkat muka, menyentuh pegang pipi Youngji dan mengukirkan senyuman. “Terima kasih” ucapnya perlahan. “Untuk aku lupakan semua, mungkin akan ambil masa, tapi terima kasih sebab sudi ambil berat”

“Kau patut berterima kasih pada Baekhyun” ujar Youngji sambil menjelir lidah dan mencubit pipi Jackson.

“Awww!” Jackson menjerit dalam keretanya.

>>>>>>>>>>>>>>> 

Baekhyun mengiring ke kanan dan mencapai telefon pintarnya. Dibuka periksa jika ada lagi pesanan baru yang tidak dibaca. Hari ini peti masuk pesanannya dipenuhi dengan ucapan selamat hari lahir. Tidak termasuk lagi dengan kiriman hadiah yang diterima. Namun malam itu, Baekhyun rasa kesunyian. Dia tidak sabar untuk keluar dari hospital itu dan menikmati udara musim panas yang segar di tepi pantai.

Satu ketukan di pintu, mengejutkan lelaki itu. disangkanya jururawat yang mahu melakukan pemeriksaan harian tapi sangkaannya meleset. Pintu dibuka seret, dan seorang gadis berambut pendek berwarna perang berdiri di muka pintu.

“Choa, apa kau buat kat sini malam-malam ni?”

Choa melangkah masuk dan memberi tunduk hormat. “Maaf saya lambat, tadi saya uruskan beberapa hal peribadi. Selamat hari lahir” ucapnya sambil meletakkan beg kertas yang berisi hadiah di atas lantai berdekatan katil memandangkan rak sudah dipenuhi dengan hadiah lain.

“Bukankah waktu melawat sudah habis? Macam mana kau masuk?” soal Baekhyun, pana dengan lawatan yang mengejut itu. Pada waktu malam, biasanya Baekhyun akan bersendirian kerana tiada pelawat dibenarkan masuk.

“Ahh, sebenarnya ayah saya ialah pengarah hospital ni jadi saya dibenarkan keluar masuk pada bila-bila masa sahaja”

Jawapan Choa membuatkan Baekhyun terperanjat dengan fakta tersebut. Choa hanya diam, tidak berbangga mahupun berlagak.

“Jadi, orang yang bayar bil hospital aku selama ni, kau lah?” tanya Baekhyun lagi. Dia masih tidak tahu identiti siapa yang membayarkan bil rawatannya di hospital swasta itu.

“Itu bukan saya. Suho yang bayarkan. Dia yang mencadangkan pertukaran awak dari hospital kerajaan kepada hospital ni. Suho yang tempah bilik ni khas untuk awak”

Baekhyun mengangguk, akhirnya faham bagaimana dia dapat rawatan percuma dan bilik tetamu khas yang besar dan selesa itu.

“Maafkan saya kalau menganggu waktu awak untuk rehat. Bagaimana tangan awak?” Choa masih tercegat berdiri walau ada sofa dan kerusi yang tersedia dalam bilik tersebut.

“Semakin baik. Cuma tunggu rawatan susulan, dan dalam beberapa hari, mungkin dapat perlepasan keluar wad” jelas Baekhyun bersahaja. Choa pula yang mengangguk, berasa kekok untuk bersembang.

“Choa, aku nak minta maaf”

“Hah? Kenapa?” soal Choa, aneh kerana baginya Baekhyun tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Sebab banyak bersangka buruk pada kau dan aku tak percayakan kata-kata kau masa di villa tempoh hari” ujar Baekhyun jujur, sambil bangkit duduk.

Choa lalu menggeleng. “Jangan risau. Saya tak ambil hati pun”. Gadis itu tersenyum ikhlas.

“Baguslah kalau macam tu” Baekhyun menarik nafas lega.

Mereka diam seketika, tidak tahu apa yang patut dikatakan. Choa langsung tidak berganjak dari tempat dia berdiri dan Baekhyun juga diam memandang kotak kek Youngji yang berada atas meja depannya.

“Oh ya, aku ada minta nombor kau daripada Jackson tadi. Kau tak kisah kan? Boleh tak kalau aku jadi kawan kau?”

Kata-kata Baekhyun membuatkan Choa pana, seperti tidak percaya apa yang didengari. Riak wajah gadis itu kosong.

“Tak boleh?” tanya Baekhyun lagi apabila Choa diam tidak membalas.

“Awak nak berkawan dengan saya? Tak mengapakah? Maksud saya, awak nak berkawan dengan orang yang tak normal macam saya?” ujar Choa merendah diri.

Baekhyun mengulumkan senyuman. “Kau bukan tak normal, tapi  luar biasa. Sepatutnya kau berbangga dengan kelebihan yang kau miliki. Aku harap kau sudi kalau aku menjadi kawan kau”

Choa memandang Baekhyun, itu kali pertama dia melihat lelaki itu senyum. Siapa sangka lelaki yang tegas itu rupanya memiliki senyuman yang manis. Teringat kata-kata Jackson yang mengatakan Baekhyun ialah seorang lelaki yang berlagak hebat, ego tinggi dan tidak mahu mengalah, enggan menerima teguran orang lain dan juga susah berterima kasih. Namun Baekhyun yang dilihat tersenyum tidak seperti apa yang Jackson katakan.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” tambah Baekhyun lagi, tiba-tiba rasa malu apabila ditenung oleh seorang gadis. Baekhyun tidak boleh berhenti senyum dan seperti mahu meletus ketawa.

“Hmm!” Choa mengangguk.

“Apa yang hmmm?” soal Baekhyun, ketawa kecil. Entah apa yang mencuit hatinya.

“Saya pun nak jadi kawan awak” Choa menghampiri Baekhyun dan duduk bertenggek atas katil lelaki itu. “Saya harap kita boleh berkawan baik”

>>>>>>>>>> 

“Oh ya, kau nak tahu sesuatu tak?”

Choa mengangguk sambil menyuap sesudu kek Youngji yang masih berbaki simpan dalam kotak.

“Sebenarnya, aku dan Jungkook dah dapat amaran masa kami dalam perjalanan ke Villa Chiyaki tu” ujar Baekhyun, menarik perhatian gadis yang duduk berhadapan dengannya. Baekhyun memberi ruang duduk kepada Choa, berkongsi ruang rapat atas katil.

“Amaran? Amaran apa?” soal Choa lagi, ingin tahu dengan lebih lanjut.

“Dilarang masuk” Baekhyun membisik rapat ke telinga Choa.

“Maksudnya? Siapa yang beri amaran tu?” soal Choa lagi, berpusing menghadap Baekhyun. Jarak duduk antara mereka semakin rapat, berlaga lutut.

“Sepasang pasangan tua yang kami temui semasa sesat”

“Jangan masuk kawasan sana!”

Langkah Baekhyun dan Jungkook yang ingin beredar lantas terhenti. Mereka berpaling serentak, mengadap semula pasangan tersebut.

“Jangan masuk kawasan sana” si suami menekankan suaranya, seolah memberi amaran. Cangkul di tangan di angkat dan dihayunkan, menetak tanah.

“Jangan masuk kawasan sana. Kat sana..” si isteri diam lalu memandang suaminya kemudian beralih pula kepada anak muda di hadapannya. Jungkook dan Baekhyun diam tidak mencelah.

“…. Ada hantu”

“Ada hantu?” soal Jungkook, antara percaya dan tidak.

“Ya. Hantu. Rumah tu dah lama ditinggalkan dan dengar khabar, penduduk kampung ada mendengar tangisan seorang perempuan. Setiap malam tangisan itu akan bertambah kuat. Sesiapa yang pergi ke rumah besar tu pasti akan tersampuk hantu dan ada yang mati lemas. Dengar berita yang anak pemilik rumah tu ialah seorang pembunuh” si isteri bersungguh menceritakan, dalam nada yang perlahan, bimbang didengari orang lain.

“Penduduk kampung ada meletakkan papan tanda dilarang masuk di depan jambatan tu tapi baru-baru papan tanda tu telah dicabut buang. Entah siapa yang mencabutnya pun tidak ketahui, tapi penduduk kampung melihat yang ada lampu menyala pada waktu malam” si suami pula dengan ceritanya yang sendiri.

“Keluarga Jepun tu dah balik ke?” si isteri bertanya kepada suaminya. Baekhyun dan Jungkook diam tidak mencelah dan khusyuk mendengar.

“Entah lah” jawab si suami bersahaja. Pandangannya tajam merenung Baekhyun dan Jungkook. “Baik kamu berdua balik, tak payah datang sana kalau tak nak berlaku sebarang perkara buruk.”

“Betul!” si isteri mengangguk, menyetujui kata-kata suaminya. “Tempat tu orang kata banyak sial, jangan pergi sana, jangan masuk dalam rumah tu. Dilarang masuk!”

“Tapi awak tetap berdegil dan masuk ke dalam villa tu juga”

Baekhyun mengangguk. “Aku seorang lelaki yang takkan mudah percaya cerita-cerita macam tu. Takkan aku nak mengalah. Aku ada maruah sebagai timbalan presiden kelab Sherlock. Kalau aku balik semula, mengalah kerana khabar angin mengatakan ada hantu dalam villa tu, tentu aku diketawakan.” ujar Baekhyun, dalam nada berlagak.

“Tapi betulkan apa yang pasangan tua tu katakan. Memang ada hantu Chiyaki Errie dalam tu”

“Ya. Kini aku percaya. Benda-benda macam tu memang wujud”

“Adakalanya dalam hidup, ada banyak perkara dan benda yang kita tak jangka, memang wujud. Percaya atau tidak, bergantung kepada individu tersebut tapi setiap orang mempunyai pengalaman yang tertentu” tambah Choa pula.

Baekhyun mengangguk, bersetuju. Lepas ni, dia akan lebih berhati-hati apabila mendengar amaran ‘dilarang masuk’.

TAMAT


 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
tenmachan
Errie!! Kris jumpa Errie..

Comments

You must be logged in to comment
mynameisxxx #1
sejujurnya la kan.... saya sangat sukakan cerita awak ni T^T I'M SERIOUS !! Jalan cerita dia buat saya nak baca cerita ni sampai habis. walaupun karakter yang ada bukan favorite singer saya,tapi serious awak buat saya curious pasal Chiyaki Errie dan Kai (saya sangka Kai ialah Jongin rupanya Kris xD) Saya suka semua watak kecuali Baekhyun cx dia tu macam annoying sikit. Tapi saya sedikit musykil la kan, macam mana Kris boleh bawak mayat errie dari Jepun ke Korea? eue (Ok, mungkin Kris macam suho,ada pesawat sendiri. #abaikansoalanini haha) Apapun, keep it up author-nim !! Harap author nim akan tulis lagi fanfic genre mcm ni. Congratulations for 107 subscribers !!
taeliaa
#2
Chapter 17: i dont regret reading this till the end sampai tak tido T_T best! ni probably first time saya macam bersemangat nak baca genre sebegini sampai habis. pastu cam saspens gila sampai at one point ni rasa cam nak tumbuk kris sebab geram hahaha. thumbs up authornim!!
sunshine234 #3
Kalau ada tulis fanfic genre ni jgan lupa bagi tahu tak, suka sangat story yang awak tulis ni and awak sangat pandai mengolah, saya memang minat genre mcm dan tengah belajar cara untuk menulis genre. You did well. Oh, saya suka jungkook and choa's character. Harap choa lebih berani dgn hantu lepas ni, hehe. Bias saya yg kat sini adalah suho. Ajar saya bahasa jepun, hehe
hana_raeee
#4
Chapter 18: Dah agak dah kris xD tp jln cerita susunan ayat dgn pnggunaan bhasa mmg jjang la! :) dpt jgk spend msa lapang huhuhu //pdhal nk dkt exam dh. XD//
happineseu
#5
Chapter 18: COOL!! HEBAKK GILOO XD
anniiin
#6
Chapter 18: Wowowowowwowow
Serious. Cerita awk memang best. And awk sangat bijakk xD
Saya suka penggunaan bahasa awk huhu
LNAmethyst #7
Chapter 18: No wonder nama2 watak (dlm jepun) ff ni macam familiar... authornim ambik reference dari anime rupanya... waktu scene kereta meletup tu pun mmg saya terbayangkan detective conan punya scene hahaha XD anyway good job authornim, congrats sbb berjaya buat ff bergenre horror/mystery yakni genre minority di sini :3
lugege_
#8
Chapter 18: Ingatkan watak Kai tu, Kai EXO rupenya bukan xDDD Btw keep it up. Cite ni best sgtttttttttttttttt <3
KrisMaya #9
Chapter 17: serios la fic ni boleh buat movie. nn comfirm laku (only if actors and actresses dia cun) haaa
bubble_na_baebeul #10
Chapter 18: Lol..haha..sis.the best ..
Mmg best.
Just one word.nope.two word..
*Amazing
*Best
Anyway.tu jungkook..thats my bias.tpi x kisah pun.sbb sya x ksh kongsi bias.hikhik
*Ada yg kna hempuk lps ni*
Hehe
Skrng ni pun sya tngah dngar lgu diorang.
#So 4 more.bts
Anyway fighting k.klau ada nk buat ff yg lain.horror punya.inform ekk.x sbr.hehe