000

Kota Bintang
Kota Bintang.

Tiap kali mereka bertemu, si gadis pasti akan memberi Youngjae sebutir bintang yang diperbuat daripada kertas berwarna. Asalnya, remaja itu tidak pasti sama ada hendak menerima atau menolak bintang pemberian si gadis tak bernama tersebut.

"Pasti gadis ini sangat sukakan bintang," anggap Youngjae. Namun mereka sebenarnya tak pernah berbicara. Hanya bertukar senyuman tika kereta api berhenti di perhentian mereka yang sama. Kemudian mereka membawa arah masing-masing.

Hari berganti hari, bintang yang dikumpul di dalam balang kaca mencecah ratusan seiring tempoh perkenalan mereka. Setelah menimba beberapa perkara, akhirnya Youngjae mengutarakan soalan sebagai permulaan tatkala dia bertatapan dengan si gadis.

"Kenapa kau sukakan bintang? Apa impian kau?"

"Ia cantik dan suasana langit yang dipenuhi bintang hanya ingin aku nikmati bersama lelaki idaman. Impian aku; aku ingin melihat bintang dengan sepuasnya." Matanya merenung langit di luar jendela kereta api yang bergerak laju. "Tapi malangnya bandar ini memang sukar hendak temui bintang berkerdipan."

Youngjae mengangguk perlahan.

"Apa pula kesukaan dan impian kau?"

Dia senyum kecil. "Menyanyi dan menjadi penyanyi, biar dunia dapat mendengar nyanyian aku." Hakikatnya, Youngjae dapat rasakan impiannya sudah berubah. Kini, apa yang dia cita-citakan adalah ingin membawa si gadis di hadapannya ini ke sebuah tempat yang beratapkan langit malam dan bintang.

Seharusnya, dia menegur gadis ini lebih awal kerana walaupun bicara mereka hanyalah singkat, dia sudah mula rasai kesannya. Entah mengapa, dia ingin menjadi seperti sang putera yang setia melindungi sang puteri seperti di dalam dongengan. Seluruh mindanya hanya diulit impian si gadis.

Sebaik kereta api berhenti di perhentian, jantung Youngjae berdegup debar. Sebaik kakinya menjejak platform, dia terus mengejar kelibat si gadis yang berjalan di arah bertentangan.

"Tunggu!"

"Ya?"

Youngjae menghela nafas lelah dan mengambil nafas baru. Dia mengeluarkan buku nota dari dalam beg galasnya dan mengoyakkan penjuru helaian kertas tersebut. Lalu ia dihulur kepada si gadis beserta sebatang pen.

Si gadis melihat Youngjae dengan tanda tanya.

"Aish," Remaja itu memandang ke lantai sejenak sebelum menghulur sekali lagi dengan senyuman paksa bercampur malu. "Tuliskan nama dan alamat kau."

...

Bilangan bintang kertas di dalam balang Youngjae makin menimbun tinggi. Perbualan dia dengan si gadis juga makin terbiasa. Rasa canggung itu sudahpun hilang.

Byul.

Bermaksud bintang.

"Sesuai dengan dirinya." luah Youngjae yang melepasi setiap rumah sambil memerhati nombor yang tercatat pada dinding pagar. Hari sudah menjengah lewat petang dan Youngjae masih berjalan sambil diekori bayang hitamnya.

Akhirnya, dia berdiri di hadapan sebuah rumah lalu loceng ditekan. Kepala Youngjae terjenguk-jenguk ingin tahu. Tak lama kemudian, seorang wanita pertengahan umur keluar menghampiri pagar. Youngjae segera menunduk hormat sejenak.

"B-byul a-ada?" Youngjae cuba mengawal gagapnya yang tiba-tiba singgah. Wanita itu mengangguk beserta senyuman tenang.

"Kamu tunggu kejap, ya."

Nama gadis diseru sebaik wanita tersebut kembali ke dalam rumah lalu gadis remaja yang ditunggu muncul. Dia menyarungkan kasut dengan tergesa sambil memesan sesuatu pada wanita tadi yang kemungkinan adalah ibunya. Rambut panjangnya pula diikat tocang dengan laju. Sebaik mata si gadis memusat pada Youngjae, bibir merah jambunya tersenyum girang sambil dia berlari anak.

Tangisan awan yang tiba-tiba membasahi bumi mengejutkan mereka.

“Hujanlah!” Byul membuat benteng di atas kepala dengan tangan.

"Kereta api akan bertolak tak lama lagi! Kita harus cepat!" ucap Youngjae. Mata Byul membulat tak percaya, menghadirkan ketawa si lelaki. Youngjae segera mengambil tangan Byul dan menyulam tangan mereka lalu mereka berlari mengejar masa dalam renyaian hujan musim panas.

 

"Jauhkah tempat yang kau ingin tunjukkan pada aku ini?"

"Taklah jauh bagi aku. Hanyalah seperhentian. Kenapa?"

"Aku mengantuk." Byul di sebelahnya menguap kecil.

"Tidurlah, nanti aku akan kejutkan kau-"

Belum sempat Youngjae menghabiskan kata, si gadis memahat senyuman dan berkata, "Pinjamkan bahu kau."

Youngjae tersentak bila ada beban terasa di bahunya, namun matanya hanya hening memerhati; tidak langsung ingin mencegahnya. Sebaliknya, dia gembira menjadi sandaran untuk si bintang yang lena.

Mereka sampai di sebuah pekan. Beriringan turun bersama penumpang lain, pasangan muda itu menuju ke gerai makan berdekatan untuk mengisi perut sementara menunggu malam tiba.

"Youngjae, kenapa aku tak pernah tahu pun tentang tempat ini?"

Dia mendaki anak bukit itu dengan huluran tangan si lelaki. "Kerana tempat ini istimewa. Hanya segelintir saja yang tahu akan kewujudannya."

Mulut Byul terlopong kecil seraya dia mendongak ke atas. Langit kelihatan begitu luas sekali umpama lautan berisikan ribuan bintang atau mungkin jutaan. Youngjae senyum terasa bangga.

"Cantik kan?"

Si gadis mengangguk lalu duduk memeluk lutut di atas tanah berumput. Youngjae membaringkan badannya di sebelah. Tangan menjadi bantalnya. "Tak sakitkah kepala kau jika kau asyik mendongak seperti itu? Baringlah."

Usai terbaring, Byul masih dalam keterujaannya. Dia mula bercerita bahawa waktu sekarang ini; permulaan musim panas adalah masa yang terbaik untuk memerhati global clusters dan double stars. Tangannya tertunjuk ke langit.

"Itu, Corona!"

Bahu Youngjae digerak agar lelaki itu memandang arah yang ditunjuknya. Lalu jari telunjuk bergerak membentuk suatu bentuk. Namun, Youngjae tetap tidak dapat menangkap bentuk buruj yang disebut. Apa yang dia nampak hanyalah, bintang-bintang halus bersinar yang menjadi pujaan bintang hatinya.

Youngjae hanya mengiakan walaupun dia tidak memahami nama-nama lain seperti,

"Borealis,"

"Serpens Caput,"

Kelopak matanya memberat dan kerdipan mata Youngjae makin perlahan. Sempat dia tersenyum bila si gadis itu menyebut nama buruj yang baru dilihatnya dan memuji-muji kecantikan buruj berkenaan. Kemudian dia mendengar Byul menyanyi kecil;

Little star..,

Tonight..,

Bamsae naega jikyeojulgeoya.

(All night, I will watch over you)

 

Salahkah kalau Youngjae mengatakan bahawa suara si gadis itu, menenangkan dirinya? Nyanyian yang tenang umpama lullaby..

Yang memaksa dirinya untuk terlena dalam alunan suara tersebut.

.

.

Masa berlalu lekas. Namun memori itu masih segar bermain di dalam mimpi tidurnya. Di waktu jaga, dia memerah tenaga untuk impian yang tertanam. Pun begitu, dia tidak menyedari bahawa masa yang diluangkan untuk mencapai ambisi itu adalah terlalu resah dan panjang. Hampir tujuh tahun berlalu dan kini hidup Choi Youngjae telah berubah. Dia telahpun bergelar penyanyi yang menjadi sanjungan jutaan gadis. Suaranya telah didengari oleh isi dunia, namun jauh di dalam hati, dia masih tertanya; adakah si bintang mendengar suaranya?

Dengan kejayaan yang dikecapi bersama ahli kumpulannya yang lain, mereka diberi peluang untuk berehat. Maka, Youngjae memilih untuk pulang semula ke bandar yang dihuninya dan cinta yang satu dahulu.

Bandar itu menyambut ketibaannya dengan mesra. Ada beberapa peminat yang mengecam dirinya dan meminta tandatangan dan bergambar bersama Youngjae yang murah senyumannya.

"Bandar ini berselirat dengan jalan raya. Kalau tidak berhati-hati, pasti akan tersesat." pesan seseorang.

Youngjae hanya mengiakan dengan tawar. Lupakah mereka, bahawa dia membesar di dalam bandar ini? Mungkin ya.. kerana dahulu tiada yang mengenalinya.

Pun begitu, dia terlalu lama meninggalkan bandar itu. Segalanya telah berubah. Bangunan baru megah terbina di sana sini. Nama dan alamat yang dicatat telah pudar dan kusam seakan hampir lenyap. Masa tak dibuang lagi, Youngjae menuju ke situ.

Apa yang dikhabar padanya cukup mengecewakan, penghuni lama rumah itu sudahpun berpindah. Entah ke mana. Namun, Youngjae dapat rasakan dia pasti berada di sela-sela bandar ini dan melihat langit; masih memerhatikan malam yang dia mimpi-mimpikan. Sudah Youngjae mencari di setiap penjuru, wajah si gadis itu tetap tidak dia ketemukan.

"Little star.. tonight.. bamsae naega jikyeojulgeoya." Youngjae berdendang perlahan; kakinya masih meredah laluan kaki lima lengang.

"Choi Youngjae?"

Si pemuda berpaling pada seorang lelaki yang hadir bersama album di tangan. Dia meminta Youngjae menulis sesuatu pada kulit album. Katanya, dia mahu menghadiahkan pada buah hatinya.

"Kekasih awak minat saya jugakah?" tanya Youngjae dengan senyuman. "Apa nama dia?"

"Byul." jawab lelaki itu dengan serta-merta.

Namanya sama seperti Byul yang amat istimewa buat Youngjae. Tapi.. tak mungkin dia kan? Berjuta insan bernama serupa seperti itu bukan?

"Oh ya, inilah dia kekasih saya." Lelaki itu mengeluarkan telefon bimbitnya dan menunjukkan gambar dirinya bersama seorang gadis yang genit tubuhnya. Mereka tersenyum lebar.

Tangan Youngjae tetap mengarang nama si gadis dengan cantik. Nama yang begitu diingati. Dia cuba mengawal hatinya yang merenyuk umpama kertas. Dia perlu bersikap profesional.

"Saya rasa kekasih saya amat sukakan suara awak. Saya tengok dia sentiasa termenung pada poster awak." ujar lelaki itu lagi tatkala Youngjae menyerah album itu kembali. Bibir penyanyi berkenaan mengekalkan senyuman paksa.

“Ah, hampir saya lupa.” Lelaki tersebut menyeluk kocek seluarnya dan mengeluarkan sebutir bintang kertas. “Dia meminta saya untuk menyimpan bintang ni sejak berita awak hendak pulang ke sini tersebar. Pesannya; kalau-kalau saya terserempak dengan awak, dia menyuruh untuk memberinya. Tak tahulah pula harapannya menjadi kenyataan.” Pemuda itu menghulur bintang tersebut dengan bibir mengukir ke atas. Usai mengucapkan terima kasih, lelaki tersebut segera membawa diri.

 

"Apa pula kesukaan dan impian kau?"

 

Suara itu bergema kembali.

"Aku cintakan bintang dan aku ingin menulis lagu-lagu agar dia mendengar dan tahu bahawa aku rindu dan cintakan dirinya..." Youngjae melihat lama bintang di dalam tapak tangannya. “Dia tak pernah lupakan aku…”

Hatinya berbisik untuk membuka bintang tersebut. Perlahan-lahan tangannya bergerak meleraikan lipatan.

Aku masih menulis tentang kau dan kau masih tidak membacanya…

Youngjae terkedu. Riaknya telah berubah sedih berbaur keliru. Jutaan persoalan dan kemungkinan menyerbu fikirannya. Tak mungkin.. Mengapa dia tidak terfikir sebelum ini.. Kepala Youngjae terdongak sambil menghela nafas kecewa.

Balang bintang itu.

Mungkinkah terdapat ratusan atau mungkin ribuan nota yang dia tidak pernah terlintas untuk membacanya?

Sesaat kemudian, bunyi derap tapak kaki berlari meredah malam bergema, dan ia menghilang ke udara.

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
aquariusxpisces
#1
Chapter 1: Can I cry? Walaupun simple tapi sedihhh T-T
MeikoM01 #2
Chapter 1: Wait, wait, WAIT! Is that a reference to Tears of The Sky you had there? Awhh... haha it might be just me getting ahead of myself though. *please tell me I'm not wrong. I have my pride to save**from the other side of me which will just laugh it off*hahaha
Thank you soooooo much authornim! You've made my day wrap up in smiles (´∀`)
Now I can sleep well >_< sweet dreams!!!
MeikoM01 #3
Chapter 1: Gosh! I really like the ending!!! I thought it would be a cliche, I'll-be-here-when-you-get-home story, but it's not!

*your writing energized me back to my normal self, hehe ゞ(^^)ゞ
MeikoM01 #4
Yah! Seriously? Haha terkejut bila baca nama sendiri *hr ni pnt sgt, xnk ckp English, tukar mood*
MissChoiEvelyn #5
Cepat publishh jebal . Hahahaha authornim :D