End

Isolde
Please Subscribe to read the full chapter

“You may now kiss the bride.”

Terpejam matanya sejenak dua. Seiring bunyi tepukan gemuruh dan sorakan tetamu, air mata jatuh lebat. Dada terasa sebu. Dan, nafas perlahan berubah rentak. Lelah. Tangan dia naik menyentuh pipi. Basah. Dia senyum senget. Cengeng! Bisik hati Isolde sendirian. Isolde segera hapus air mata yang masih berbekas di kedua belah pipi. Kelopak matanya di buka luas. Dan sejurus, dia bangkit dari kerusi di deretan ketiga. Dia nak pergi. Jauh, jauh dan sejauhnya.

“Kau tak bersendirian dalam dunia ni, Isolde. Kau ada aku.” 

“Yakinkan aku yang kau akan selalu ada. Sampai bila-bila..”

“Nikahi aku. Cuma tu satu-satunya cara aku boleh yakini kau.”

Isolde menggeleng sekali dua. Dia tersengih kecil. Menyinis pada diri sendiri yang pastinya. Sekarang, semuanya dah berlalu. Kisah mereka dah tiba di bahagian titik noktah. Lelaki itu kini punya kehidupan sendiri. Lelaki itu akan bahagia disamping wanita pilihannya. Dan Isolde rasa, alasan itu dah cukup kuat untuk dia tak berpaling kebelakang lagi. 

Selangkah, dua, dan tiga langkah. Akhirnya, gerbang besar dewan itu Isolde lepasi dengan juraian air mata. Janji Isolde, dia akan tinggal jauh kesakitan itu di belakang. Dia akan bawa yang indah-indah saja bersama untuk di kenang. Meski yang indah itu hanyalah secebis.

“Kalau satu saat nanti, antara aku dan kau ada yang mula berubah hati.. macam mana dengan hubungan kita?”

“Kau cuma perlu tahu, yang sekurang-kurangnya kisah kita pernah wujud. Meskipun kata happy ending itu kita tak mampu capai bersama.” 

..

 

“Basuh semua ni! Aku nak kau cuci bersih-bersih.” Sejurus baju-baju kotor di tangan, Puan Oh lempar kasar ke depan muka Isolde. Tepat-tepat!

Isolde kacip gigi. Menahan rasa pedih di hati. Dia kutip perlahan, satu persatu baju yang dah berselerakan di atas lantai. Dengan penuh hemah, Isolde letak masuk dalam bakul. Wajah tetap dimaniskan depan Puan Oh. Andai saja Isolde cukup kuat, sudah dia hambur semua rasa sakit hatinya depan wanita itu. Tapi Isolde masih waras. Masih boleh fikir baik dan buruk kesan yang akan diambil nanti. Jadi terpaksa Isolde tahankan saja keinginan itu.

“Lagi satu, aku nak kau cuci semua pakaian kotor ni guna tangan. Jangan nak pandai-pandai guna mesin basuh aku tu. Kau dengar tak?” Puan Oh bercekak pinggang. 

Isolde angguk laju-laju. 

Terpaksa akur. Isolde bukan sesiapa pada Puan Oh. Pada penghuni dalam rumah ni. Isolde masih sedar akan fakta yang satu itu. Mana mungkin anak lorong seperti Isolde melawan manusia yang sanggup menjaga kebajikan budak yang tak tahu asal usulnya ini. Memang benar Isolde anak lorong. Encik Oh pungut lantas mengambil Isolde sebagai anak angkat sekaligus menjadikan dia sebahagian daripada keluarga Oh.

Isolde dah cukup bersyukur ada insan yang sudi menjaga dia. Kalau nak Isolde buka lembaran lama, kisah hidup dia terlalu tragis. Tahu-tahu lahir saja Isolde dah memang duduk dekat lorong. Setiap hari perlu mengemis. Kadang sampai terpaksa kutip sisa makanan walau dah basi yang berserakan di tempat sampah demi keperluan yang satu itu untuk terus hidup. 

“Nama anak siapa?” Terkebil-kebil budak perempuan lingkungan lima tahun itu pandang lelaki bangsawan yang segak berkot hitam. 

“Saya tak tahu pakcik.” Dia geleng kepala. Entah, manusia sekeliling hanya menggelar dia anak lorong. Mana taknya, lahir-lahir saja memang dah tinggal di lorong. 

Lelaki bangsawan itu tersenyum manis. Dia usap lembut ubun-ubun si kecil. Dia duduk bertinggung. Memandang sayu wajah anak kacuk itu. Bermata hijau. Lelaki bangwasan itu mengandai sendiri yang anak ini berdarah kacukan. Rambutnya blonde ikal mayang. 

Tak salah lagi, pasti anak kacukan. Tak semena-mena dia mengeluh. Entah apa salahnya budak yang tak berdosa ini sampai sanggup biar membesar sendirian. Di tinggalkan di lorong pula tu. Tengoklah baju itu yang compang-camping. Muka comot bersalut minyak dan debu tanah. Jatuh pula rasa kasih pada anak seusia itu. Kasihan! 

“Kamu nak ikut pakcik balik? Dekat sana ada ibu dengan abang.” Budak itu tak menjawab tapi mengangguk laju. Anak mata hijaunya mula bersinar terang mendengar khabar itu. 

“Memandangkan kamu setuju ikut pakcik. Jadi mulai hari ni nama kamu Isolde. Oh Isolde.” Sebut Encik Oh sambil merekah senyum. 

“Eee-suhlt..” Isolde mengikut sebutan Encik Oh perlahan. Masih gagap dalam menutur patah kata. Encik Oh tergelak tipis sebelum mengangguk. Dia usap lembut kepala si kecil itu. 

“Nama Isolde tu bawa maksud beautiful and fair, sayang. Disebabkan anak papa yang seorang ni dah memang cukup cantik, jadi papa namakan kamu dengan Isolde. Suka?” Isolde tersenyum lebar lalu menjatuh kepala sekali. Dia suka!

Cuma itulah, Puan Oh tak pernah suka Isolde sejak dia muncul dalam rumah agam ini. Entah, orang tua itu terlalu membencinya. Setiap kali Encik Oh tiada di rumah atas urusan kerja, Puan Oh akan ambil kesempatan itu untuk mendera mental dan fizikalnya. Malah makin menjadi-jadi setelah kematian Encik Oh empat tahun lalu. 

Tapi yang peliknya, tak pula wanita itu berniat hendak mengusir Isolde. Masih jua mahu menyimpan dia sebagai pembantu tak berbayar. Berbeza pula dengan Sehun, abang angkatnya itu. Sekejap angin lelaki itu baik, sekejap perangai macam bapak segala firaun. Sepesen lah tu dengan Puan Oh. Suka mendera dia. Pernah satu ketika dulu, Isolde cuba menzalimi diri sendiri. Sebab dah terlalu lelah. Dia menghela berat mengenang cerita dulu.

“Ibu..” Dia panggil lembut. Takut-takut dia menentang mata galak Puan Oh. 

“Kalau Isolde dah selesai semua kerja ni.. boleh Isolde keluar jumpa kawan?” Tanya Isolde, mencuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau angin ma'am besar hari ini baik, tak perlu lagi dia keluar secara sembunyi macam selalu.

Puan Oh mula mencerun. Bulat biji mata mendengar permintaan Isolde. Anak itu memang jarang-jarang minta izin keluar. Sekali-sekala tu, adalah jugak gadis itu menyelinap keluar tanpa izin dan sepengetahuan dia. Jangan ingat Puan Oh tak tahu! Cuma sengaja dia diamkan perihal itu. Tapi kalau Isolde buat gaya gitu masa anginnya tengah tak baik, memang tak fikir panjang dah. Habis disemburnya terus gadis itu.

“Tengoklah macam mana.” Acuh tak acuh. Puan Oh bawa tangan di pinggang, bersilang dada. Bibirnya tersungging senyum tajam tiba-tiba. Entah kenapa, dia rasa nak meletak syarat pula. 

“Itu pun kalau kau berjaya habiskan semua cucian dalam tempoh dua puluh minit.” Dia menjeling bakul yang kini di tangan Isolde. Sengaja beri syarat begitu. Sebab Puan Oh yakin, Isolde tak mungkin mampu membereskan kerja mencuci seawal masa yang ditetapkan.  

..

 

Dia jenguk ke luar. Jam yang tergantung dekat-dekat dengan dinding tandas bawah dia kerling sekilas. Dah pukul sebelas pagi. Kerja yang diberi belum pun siap sepenuhnya. Kain masih menimbun dalam bakul. Isolde ada janji pula setengah jam lagi bersama seseorang. Cadang nak jumpa di perpustakaan awam. Tengok gaya timbunan tinggi dalam bakul longgokan baju kotor itu, Isolde tak yakin dia dapat sudahkan kerja mencuci seawal dua puluh minit. 

Makhluk dalam rumah ni pun satu. Ada ke patut suruh Isolde mencuci semua pakaian ni mengguna tangan? Nak kata mesin basuh rosak, macam mustahil. Sebabnya, semalam elok saja Isolde tengok Mak Cik Lee basuh cadar bunga-bunga ma'am besar. Sengajalah tu nak mendera jiwa dia. Kini, Isolde tersepit antara sudahkan kerja dulu atau berlari sekejap ke sana demi sebuah janji. Keluhan kecil dilepaskan. Dia labuh punggung semula ke kerusi plastik atas lantai tandas. 

“Ehem!” 

Kerja Isolde terganggu dek deheman garau itu. Lantas kepala di dongak sedikit. Membawa anak mata hijaunya bertemu wajah empunya suara. Tubuh ramping si lelaki sedang menyandar ke bingkai bilik air dengan tangan sebelah masuk ke dalam poket sweatpants. Sebelah lagi memegang sehelai kemeja. Warna putih. Dan berkedut seribu. Isolde tarik nafas dalam. Seperti dapat mengagak maksud kedatangan si dia.

“Aku nak pakai ni.” Ujar Sehun datar. Dia mula layang-layangkan kemeja di pegangan ke depan muka Isolde.

“Tapi kedut..” Sambung lagi lalu terdiam sejenak waktu. Dia kerling kemeja di tangan sekilas lalu sebelum melanjut bicaranya, “Gosok.” Sepatah. Sambil itu Sehun menghulur kemeja ke Isolde dengan muka beku.

“Kerja saya belum habis.” Balas Isolde perlahan sekaligus menolak arahan Sehun secara halus.

Isolde kemudian menyorot pandangan ke bakul di depan duduknya. Nafas berat dilepaskan. Banyak lagi pakaian yang perlu di cuci. Isolde perlu sudahkan segala kerja-kerja mencuci dengan segera. Usai itu, dia perlu sidainya pulak di halaman belakang rumah. Moga-moga urusan di sini cepat selesai. Jadi bolehlah dia berlari ke tempat yang di janji pula. Bukan niat Isolde nak ingkar arahan Sehun. Tapi tikala ini, dia betul-betul perlu pengertian lelaki itu. 

“Sekarang, Isolde.” Gesa Sehun. 

“Tapi awak.. semalam kan awak cakap nak pakai warna hitam. Saya dah siap gosok pun yang itu. Hari ni tiba-tiba pulak awak suruh saya gosok warna putih. Awak ni memang sengaja ya?” Tempelak Isolde tak puas hati sambil bercekak pinggang. 

Terbelalak mata Sehun. Isolde hanya endahkan pandangan tajam itu. Nafas ditarik lalu dilepaskan dari celah bibir. Selamba dia sambung kerja-kerja mencuci. Sehelai lagi kain dalam besen yang dah di rendam dengan sabun, Isolde tarik bawa keluar. Di sental-sental setiap inci kain dengan berus di tangan. Isolde abaikan kehadiran Sehun. Jujurlah, Isolde tengah letih ni.

Tak kuasa dia nak melayan karenah lelaki itu. Dia bangun seawal jam lima pagi semata-mata hendak siapkan semua kerja-kerja rumah. Kalau Mak Cik Lee ada, ada jugak yang sudi menghulur tangan membantu Isolde di sini. Tapi tulah, pagi tadi orang tua itu terpaksa pulang ke kampung. Katanya, anak tak berapa nak sihat. 

Kini semua kerja rumah, Isolde terpaksa buat seorang diri. Pulak tu, rumah ini bukannya sekecil sebuah apartmen. Tapi rumah yang boleh masuk dalam katagori ala-ala istana. Gila! Itu tak dikira lagi dengan kerja-kerja membasuh yang Isolde perlu cuci guna tangan. Perintah daripada ma'am besar. Hendak tak hendak, Isolde terpaksa akur. Isolde cukup sedar bahawa dia bukanlah sesiapa dalam rumah ini untuk membantah setiap arahan wanita itu. 

“Sehun..” Isolde menyeru halus. Tak memandang ke lelaki itu. Dia kesat keringat di dahi. Bebola mata kemudian jatuh ke besen yang tak jauh dari letak duduk kerusi plastik itu. Ianya diisi dengan bermacam jenis dan jenama baju. Baju dalam besen itu saja lagi yang tinggal. 

“Banyak lagi saya perlu cuci.” Nafas ditarik sukar. 

“Ibu bagi saya limit. Dalam masa dua puluh minit lagi, baju-baju ni semua dah mesti habis di cuci. Kalau tak, saya tak boleh keluar kejap lagi.” Ujar Isolde dengan gelengan kecil. Mukanya berubah sedih.

“Awak pun tahu macam mana susah ibu nak beri saya izin keluar..” Lirih Isolde. 

Diam.

Suasana menjadi hening tiba-tiba.

Jam terus berdenting. Pakaian dalam bakul masih berbaki. Sikit lagi, Isolde! Sehun angguk perlahan luar sedar. Membenarkan kata-kata Isolde. Dia masih tak berganjak pergi. Tetap setia bersandar di bingkai pintu. Ekor mata mencuri pandang setiap gerak-geri laku Isolde. Lincah gadis itu menyental dan memberus pakaian kotor itu. 

“Saya boleh tolong awak..” Isolde beralah. 

Sehun menoleh. Pandangannya berubah redup. Dia tilik wajah yang sudah di basahi keringat itu dalam-dalam. Entah, kadang-kala melihat beban Isolde, rasa belas itu hadir sama. Hendak menghulur tangan, Sehun tak mampu. Takut tak bersambut pun iya juga. Tambahan pula, Sehun bukan pandai dalam menunjuk rasa pada seseorang. 

“Tapi boleh awak tunggu sampai saya selesai?” Soal Isolde lalu panggung kepala. “Baju tu awak sangkut dekat tombol pintu tu dulu. Dah siap nanti saya panggil awak.” Bertentang mata.

“Kerja ni saya tak boleh tangguh. Nanti ibu cakap saya curi tulang. Kalau ibu nampak awak dengan saya berdua sekarang, lebih teruk lagi saya kena. Ibu cakap saya nak goda awak pulak.” Isolde menambah lagi.

“Hmm, cepat sikit. Aku nak keluar jam sebelas empat lima nanti.” Beritahu Sehun senada. Dia kerling jam tangan di pergelangan kiri. Dah sebelas empat belas minit. Isolde cuma angguk faham. Dan sejurus, bayang-bayang Sehun perlahan menghilang dari iris.

..


Boleh tahan ramai makhluk dalam perpustakaan hari ini. Mata melingas ke setiap ceruk. Orang yang di cari masih tak terlihat di mana-mana. Isolde melirik jam di tangan sekilas. Dia lewat lima belas minit. Boleh jadi Baekhyun dah balik. Dia mengeluh kecil. Bukan niat Isolde nak mungkiri janji mereka. Tapi gara-gara makhluk Tuhan yang seorang tadi, Isolde telat ke sini. 

Isolde kemudian menjenguk rak ke rak pula. Harap temui makhluk yang di cari-cari. Rak pertama, hampa. Kedua, kecewa. Ketiga, makin menebal rasa bersalah. Keempat, Isolde mula melakar senyum. Dia terhenti di antara rak ketiga dan keempat. Nafas dihela lega. Baekhyun sedang membelakangkan dia sambil menyadar di rak dengan senaskah buku di tangan. Pasti dah lama Baekhyun menunggu dia. Senyum di bibir perlahan memudar. 

“Maaf..” Maaf sebab selalu lambat. Maaf sebab selalu buat kau tertunggu-tunggu. Untuk banyak asbab lagi bagi maaf yang sepatah itu. Isolde tarik nafas sukar. Dia betul-betul rasa bersalah.

Fokus Baekhyun terganggu. Itu suara Isolde. Dia langsung membalik badan penuh ke belakang. Bibir merekah senyuman tatkala mata menyapa seraut wajah yang di tunggu-tunggu. Isolde sedang berdiri hanya jarak tiga empat tapak dari tempat dirinya. Dia tutup buku ilmiah di tangan sebelum meletak semula buku tersebut ke rak asalnya. Langkah segera diatur ke arah Isolde. 

Penampilan Baekhyun hari ni tampak lebih kasual dan santai. Hanya mengena plain shirt maroon lengan pendek dan di padan dengan black ripped jeans. Tak lupa dengan kot tebal warna apricot yang tersangkut di lengan kanan. Berbeza pula dengan temu janji mereka sebelum-sebelum ni. 

Kebiasaannya, lelaki itu akan berpakaian formal pejabat. Sebab pertemuan mereka selalu pada hari bekerja. Well, Isolde tak ada banyak masa untuk keluar temu janji. Begitu juga Baekhyun. Dia seorang pelajar dan lelaki itu seorang ahli korporat. Umur mereka taklah jauh beza sangat. Hanya berjarak tiga tahun. Baekhyun pernah jadi senior di universiti yang Isolde belajar sekarang. Dan dari situlah mereka kenal masing-masing.

“Aku selalu lambat. Maaf.. tadi betul-betul ada hal yang tak boleh nak elak. Mesti lama kau tunggu.” Isolde mengeluh. Serba salah jadinya.

Baekhyun senyum tipis, “Tak apa. Tadi pun aku elok aje baca buku ilmiah tentang perniagaan. Lagipun tak selama aku tunggu kau terima lamaran aku..”  

Dalam sangat maksud luahan tu. Meski ringkas tapi dah berjaya buat Isolde kelu. Rasa bersalah yang sedikit makin menebal. Dia pandang redup wajah Baekhyun. Dari pandangan itu saja dah berjaya melumpuhkan lidah Isolde daripada terus berkata-kata. Sebulan lalu, Isolde di lamar Baekhyun untuk menjadi suri hati lelaki itu. Tapi Isolde minta ruang dan masa. Dan sampai sekarang pun, Isolde masih tak beri kata putus pada Baekhyun.

“Maaf..” Sekian kali, hanya sepatah itu Isolde mampu ucap. 

“Tak apa, Isolde. Aku akan tunggu.” Ujar Baekhyun memujuk seraya tersenyum tipis. Dia raih lembut jemari halus Isolde sebelum menggenggamnya erat. 

Entah, betul ke Baekhyun sanggup tunggu? Rasanya dah terlalu lama Baekhyun jadi penunggu. Dan tetap menjadi penunggu setia sehingga kini. Sedang pada hakikatnya, dia dah tak punya banyak masa lagi untuk terus menunggu. Baekhyun mengeluh dalam diam. 

“Kalau setahun.. Tak,” Isolde menggeleng dua tiga kali. Dia pandang tepat mata Baekhyun lalu melanjut, “Dua tahun lagi.. lepas pengajian aku tamat,” Dan jelas sekali Baekhyun terkejut. Terlerai simpulan tangan mereka. 

Mata Isolde terkatup rapat. Dan serentak, nafas berat terlepas dari celah bibir. Baekhyun nampak macam tak sanggup menunggu dia lagi. Dada berombak ganas. Mungkin bagi Baekhyun permintaan itu terlalu berat. Andai saja Baekhyun tahu cuma ketika itu Isolde mampu buat keputusan sendiri tanpa ada yang menentang. 

Untuk masa sekarang, Isolde tak punya hak. Dia hanya budak bawahan yang masih dalam tanggungan Puan Oh. Dan nanti, bila Isolde dah pun jadi graduan lepasan universiti, ketika itulah Isolde mampu berdiri diatas kaki sendiri. Dia boleh pergi tanpa fikir seratus kali. Dan tiada sesiapa akan menghalang. Tapi sebelum hari itu tiba, Isolde tak boleh nak putuskan apa-apa dulu.

“Ekspresi tu.. apa kau tak sanggup lagi?” 

Baekhyun diam. Bibirnya terketap kuat. Pandangan dilarikan ke sekeliling perpustakaan. Dan ketika itulah mata dia tertancap ke wajah seorang wanita lingkungan akhir dua puluhan. Atau mungkin baya dia. Yang sedang menumpu perhatian sepenuhnya ke arah mereka berdua. Berkerut dahinya melihat telunjuk runcing si wanita lurus tegak sambil meletak elok di bibir. Baekhyun tergelak kecil akhirnya. Mula faham isyarat itu. 

“Kita cakap dekat taman hujung simpang sana ya?” Ajak Baekhyun bersahaja dan kembali membawa mata ke Isolde, “Penjaga wanita tu pun dah mula jeling-jeling tengok drama kita.” Baekhyun sambung gelak sambil melirik ke belakang Isolde. 

“Jom.” Tak sempat Isolde merespon mahu pun berpaling, Baekhyun dah tarik dulu tangan dia. Mahu tak mahu, dia ikutkan jua langkah lelaki itu. 

..

 

“Kau tanya aku.. apa aku sanggup tunggu lagi atau tak,” Baekhyun terjeda. 

Hati Isolde berdebar-debar. Pandangan masih melurus ke depan. Fikiran Isolde kosong. Tak ada apa yang menarik. Keriuhan kanak-kanak di tengah taman langsung tak menggamit perhatian. Malah suara riang mereka seakan tenggelam dek tumpuan Isolde yang hanya seratus peratus pada apa yang bakal Baekhyun katakan. 

“Aku tak boleh, Isolde. Aku tak rasa aku sanggup.” Akui Baekhyun jujur meskipun payah. Dia senyum perih memandang Isolde dari tepi yang perlahan berubah ekspresinya.

Dan, degup jantung Isolde mati. 

“Kenapa, Baek?” Isolde mula melontar soalan dalam suara yang dah berubah serak. Nafas kian lelah. Tubir mata terasa hangat memanas. Dia picit hidung berkali-kali. Ah, Isolde cengeng!

“Kau kata kau sanggup..” Isolde melanjut lemah seraya berpaling. 

“Bagi aku dua tahun tu terlalu panjang. Macam-macam benda boleh jadi, Isolde.” 

Dan nafas berhembus berat. Wajah diraup. Baekhyun pandang tepat anak mata hijau Isolde. Sungguh, sekeping hati itu pernah jatuh. Dan masih lagi jatuh dalam keindahan mata Isolde. Cuma dia dah tak mampu pertahankan kisah mereka. 

“Aku cuma takut andai waktu itu tiba.. antara kita, ada yang dah mula berubah hati. Tak ada yang mustahil dalam dunia ni, Isolde.” Dia menambah lagi.

Isolde berdecit. Pandangan diluruskan semula ke depan. Dedaun kering yang berguguran ditiup bayu perlahan jatuh mencium kaki. Isolde menunduk sekilas dan sekadar menguis dengan kaki dedaunan itu. Angin sedang berhembus lembut. 

Dia menengadah ke langit pula. Awan yang tergantung cantik di kaki langit mulai menjadi rona kelabu pekat. Tanda-tanda hujan bakal turun dalam waktu terdekat. Boleh jadi sesaat, seminit atau sejam lagi. Langit seolah mengerti badai yang melanda hati Isolde.

“Apa kau yang sebenarnya dah mula berubah hati?” Isolde susun penuh payah soalan itu. Dia kembali memandang Baekhyun. 

Untuk sejenak waktu, Baekhyun pilih berdiam diri. Terasa dingin bayu perlahan mencengkam permukaan kulit. Disatukan tapak tangan kiri dan kanan. Kemudian digosok-gosok lembut sambil meniup perlahan sehingga menghasilkan satu haba. Seketika, nafas berat mula terlepas di celahan bibir. Mungkin betul tekaan Isolde. Cuma bezanya, bukan mula. Tapi, hampir nak berubah hati. Semua gara-gara mummy dia yang dah ada calon menantu sendiri. 

Sebab itulah Baekhyun tak mampu tunggu lebih lama lagi. Dalam dua tahun penantian itu, boleh jadi jugak dia akan jatuh sepenuhnya dalam dakapan pilihan mummy. Macam yang dia cakap, tak ada apa yang mustahil dalam hidup ni. Semua benda boleh jadi. Sungguh, Baekhyun tersepit di tengah-tengah. Mummy terus-menerus mendesak. Isolde pula tetap mahu dia terus menanti. Buntu dibuatnya!

“Ingat tak waktu dulu..” Isolde mula senyum. Terkenang kembali cerita dulu, “Macam mana susahnya kau cuba nak dapatkan aku. Lebih dari setahun kau berusaha. Macam-macam dah kau buat. Tapi satu pun aku tak pandang usaha kau.” Isolde ketawa. Dan waktu itu, Isolde sungguh menyesal kerana tak pandai nak menghargai Baekhyun.

Ingat.. 

“Lepas kau selamatkan aku dari teruskan niat untuk cederakan diri sendiri, baru aku mula sedar sesuatu. Hari itulah, aku tahu kau ada. Dan akan tetap ada untuk aku..” Sebutir air mata jatuh.

Tapi kau salah.

“Tapi hari ini, terbukti aku salah.” Isolde tergelak dalam tangis. Jelas hambar dalam nada tawa itu.

Aku minta maaf.

“Jangan buat kerja gilalah, Isolde!” Baekhyun naik berang. Nak mati degup jantung tengok pisau lipat yang Isolde acah di pergelangan kanan. 

Baekhyun mendongak sekilas. Hari dah nak senja. Bumbung apartmen makin suram di telan masa. Hanya ada mereka berdua di situ. Sumpah, Baekhyun akan lebih menyesal lagi kalau hati tak tergerak untuk mengekori Isolde. Kebetulan pula tadi Baekhyun lewat di kawasan perumahan yang Isolde tinggal kini. 

Dek fikiran diasak ingin tahu, Baekhyun ekori dari belakang. Mulanya agak pelik bila Isolde tiba-tiba singgah ke apartmen dua puluh tingkat ini. Sekali bila sampai atas bumbung, dia nampak Isolde menangis teresak-esak. Tak lama kemudian, gadis itu keluarkan pisau lipat dan mula letak di pergelangan tangan. Fuh, gugur jantung dia!

Baekhyun cuba datang dekat. 

Perlahan-lahan.

“Aku dah tak ada sesiapa..” Isolde bersuara lirih. 

Wajah Isolde basah bermandi air mata dan peluh. Pilu hati Baekhyun melihat wajah sugul itu. Mahu Baekhyun dakap erat dan sekalipun dia tak akan lepas tubuh genit itu. Biarlah selamanya dalam dakapan dia. Biar tiada siapa yang berani sentuh dan sakiti hati kaca itu. 

“Kau lupa, kau ada aku. Aku ada, Isolde.” Rentak suara Baekhyun kembali lembut. Hati Isolde hati kaca. Mudah pecah. Jadi dia perlu berhati-hati dalam berbicara. Dalam situasi sekarang, Isolde mampu buat sesuatu di luar jangkaan. 

“Tak! Nanti kau akan pergi jugak. Macam papa pergi dari hidup aku.”

Dia melangkah lagi. 

Makin dekat. 

“Isolde. Kau boleh percaya aku. Aku takkan pergi mana-mana. Aku janji. Isolde, tolong.. jauhkan pisau tu dari pergelangan kau. Aku janji, aku ada..” Baekhyun angkat sebelah tangan. Tak sedar yang sekarang dia sedang berjanji pada Isolde.

“Betul kau janji?” Angguk.

“Kau tak menyesal kalau tahu aku siapa?” Menggeleng dan senyum. 

“Sekalipun aku cuma anak lorong, apa kau masih sudi berjanji untuk selalu ada?” Jelas Baekhyun terkejut. Isolde tersengih sinis.

“Terkejut? Ya.. Isolde depan kau ni,” Isolde diam sekejap. Dada ditepuk berkali-kali. Menentang mata Baekhyun dalam-dalam meski mata dia mulai berkaca. 

“Dia cuma anak yang Encik Oh kutip dari entah mana-mana lorong. Dia dijaga dengan baik oleh lelaki yang dipanggil papa. Dia di sekolahkan papa. Dan dia disayang macam anak sendiri oleh papa. Tapi isteri dan anak lelaki dia tak pernah suka anak lorong tu pun.” Isolde gelak dan sejurus air mata tumpah. 

“Aku tak kisah pun mereka nak benci aku. Sebab masa tu aku rasa cukuplah aku tahu papa ada dengan aku. Yang akan jaga dan sayang aku sampai bila-bila. Dan bila papa pergi, keadaan berubah. Ibu lebih kerap dera aku sejak papa tak ada. Aku tak ada sesiapa dah. Mereka tak suka aku. Rasanya.. anak pungut macam aku ni tak layak meminta lebih.” Isolde hambur semua rasa sakit yang dia tahan-tahan selama ini. Dia menangis semahunya.

“Aku janji aku tak tinggal kau, Isolde.” Janji Baekhyun. Tiba depan Isolde, dia tepis laju pisau lipat di tangan gadis itu. Terus ditariknya Isolde dalam pelukan.

“Kau janji. Dan, kau jugak yang mungkirinya.” 

Baekhyun kembali terjaga dari lena singkat. Terdengar tangis kecil Isolde. Dan, dia terluka sebab menjadi punca utama gadis itu menangis. Kerana rasa bersalah itu, Baekhyun langsung tak mampu mendakap Isolde. Padahal dulu, Baekhyun pernah berjanji untuk mendakap Isolde sentiasa. Agar tak siapa berani sentuh hati kaca itu. Tapi lihatlah sekarang, orang yang berjanji itulah yang kini telah menghancurkan segala janji itu. 

“Isolde, aku..”

“Aku nak benci kau. Tapi, rasanya aku tak mampu.” Cantas Isolde laju. Ditarik nafas dalam. Dan kemudian dia ukir senyum nipis pada Baekhyun. 

“Hei, tak perlu rasa bersalah, Baekhyun. Kau tak salah apa pun. Ini tentang hati dan perasaan. Benda kaitan hati ni tak pernah jadi perkara mudah. Lagipun, kau dah terlalu lama tunggu aku. Bila difikir balik, aku kejam sebab seksa perasaan kau.” 

Baekhyun tertunduk.

“Semua yang terjadi hari ni sedarkan aku yang hidup ni, kita tak boleh terlalu bergantung pada orang. Takut nanti kita jadi lupa untuk berjalan di atas kaki sendiri. Sebabnya kita dah terbiasa dimanjakan. Sekarang, dah tiba masa untuk aku hidup tanpa berpaut pada sesiapa. Aku perlu matang dan tak terlalu berharap pada manusia.” Isolde tersenyum pada awan hitam.

“Aku patut sedar dulu lagi, yang manusia tu.. datang dan pergi. Aku tak boleh nak expect mereka akan terus tinggal dengan aku.” Dia seka air mata dengan hujung jari. 

Isolde tunduk pandangan semula. Dia seluk kocek jaket. Bekas baldu merah dia tarik bawa keluar. Dia pandang sekilas kotak tersebut sebelum menyerah semula kepada si pemilik asal, “Cincin ni bukan hak aku lagi. Jadi aku pulangkan semula pada kau.”

Baekhyun ketap rahang. Dia cuba stabilkan semula pernafasan yang kian tak teratur. Jiwanya kini sedang berkocak hebat. Tangan menggigil menyambut huluran Isolde. Kotak baldu itu sudah pun selamat dalam genggamannya. Dia buka sekilas kotak tersebut. Dan, cincin tertatahkan berlian itu mula menghiasi retina. Cincin lamaran. Dan kini, kisah mereka sudah sampai ke penghujung. Tanpa happy ending yang pastinya. Boleh tahan tragis kisah mereka!

“Kau orang pertama sambut tangan aku. Sempat aku bermimpi kau lah putera idaman yang sudi bebaskan aku dari sangkar ciptaan keluarga Oh. Seperti mana kisah Cinderella. Dan, begitu juga aku harapkan. Tapi untuk sekian kali, aku salah lagi. Sebab realitinya, orang macam aku.. lebih layak tinggal dalam sangkar tu. Buat selama-lamanya.”

“Live well, Isolde.” Seraya itu, Baekhyun bangkit dan terus berlalu. 

Dan, hujan turun. 

Dengan lebat.

Selebat-lebatnya air mata Isolde yang mencurah!

..

 

“Hai.. yang kamu dok terjeling-jeling perempuan tu dah buang tebiat ke?” Puan Oh menyindir. Dia mencerlung Isolde yang kini berdiri di samping Sehun. Sedang menuang teh ke dalam cangkir kosong atas meja buat si teruna.

Isolde masih beriak biasa. Langsung kepala tak dian

Please Subscribe to read the full chapter
Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
aquariusxpisces
#1
Chapter 1: so sweeeeeeeet xD kesian isolde dan first time baca oneshot panjang macam ni hehehehe xD apa-apa pun kisah isolde cinderella versi moden ni sungguh menggamit hati!! (lmao ayat baku) good job authornim!!!! xD~~~