Coffee and Add Math

Original title: Cinta Kopi dan Matematik Tambahan

Language: Malay

Notes: Not proof-read. I'm just lazy af to edit this one making it into my story list so I dump it here. Written way back in my high school days and specially dedicated to my best friend and inspired by my handsome add math teacher, lol. (few of stuffs here happened in the real life, except the ending haha)


Dania menggigit bibir. Soalan kali ini sangat susah. Suasana kelas itu sunyi tanpa suara. Semua pelajar sedang bertungkus lumus ‘mengerjakan’ soalan Matematik Tambahan itu. Apa ni, susah tahap teruk ni! Rungut Dania.

“10 minit lagi.” Suara guru lelaki muda itu kedengaran. Dania memandang lelaki berkemeja putih itu dengan perasaan geram. Hish, makhluk tuhan yang ni pun!

“Kenapa awak tengok saya macam singa betina nak telan mangsa ni? Tu, saip tak lagi?” Dania mencebik. Geram dia dengan lelaki itu. Lelaki itu selalu memerli dan menggiatnya sehingga menimbulkan kemarahannya. Malah lelaki itu pernah memalukannya. Mujur lelaki itu gurunya, kalau tidak ada juga yang dibaham singa betina.

Dania menarik nafas seketika lalu menumpukan perhatian kepada kertas soalan di atas mejanya. Malas mahu melayan perasaan marahnya. Tin air kopi dicapainya.

“Minum kopi selalu tak baik.” Lelaki itu berlalu setelah menuturkan kata-kata itu. Dania mengetap bibirnya. Suka hati aku la nak minum air apa pun!

Selalu juga Dania membeli air kopi itu ketika waktu rehat. Dia selalu minum air kopi malah memang itu kegemarannya. Kebetulan, waktu pelajaran Matematik Tambahan kelasnya semua selepas waktu rehat. Memang selalulah Dania minum air kopi di dalam kelas lelaki itu. Dania mendengus. Tidak siap kerjanya jika dia melayan fikiran geramnya kepada guru itu. Dania tidak mempedulikannya dan bertungkus lumus menjawab soalan itu.

“Masa tamat. Hantar ke hadapan.” Dania bangun dan meletakkan kertas jawapan di atas meja guru. Lelaki itu tersenyum manis padanya. Dania tidak mempedulikan lelaki itu. Geram dia dengan lelaki muda yang hanya tua 7 tahun daripadanya itu. Dania berlalu ke tempatnya semula.

“Ok, esok saya pulangkan kertas ini bersama markah. Harap kamu semua dapat markah yang tinggi kerana kamu ada masa 3 bulan lagi sebelum menduduki SPM. Jangan ingat baru lepas percubaan kamu boleh relax.” Lelaki itu melangkah keluar. Dania menarik nafas lega. Waktu Matematik Tambahanlah yang paling menyeksakan baginya.

+++++++++++

“Apa ni?” Dania menunduk. Tidak berani dia memandang wajah ayahnya yang menyinga. Padanlah, keputusan percubaannya begitu teruk. Lebih-lebih lagi Matematik Tambahan.

“Kamu belajar ke main-main, Dania? Keputusan banyak betul C! Dania, sikit hari lagi kamu dah nak SPM tau! Ingat tu!” Dania mengangguk kecil. Kecut perutnya mendengar suara ayah yang bagai guruh berdentum itu.

“Ah! Ayah dah buat keputusan. Ayah nak upah guru mengajar kamu di rumah. Satu hari satu mata pelajaran. Setiap petang, lepas sekolah!” Dania terkedu. Dia sudah tidak bebas lagi selepas ini. No way!

“Tapi ayah..”

“Tak ada tapi-tapi. Keputusan ayah muktamad! Ayah akan buat jadual untuk kamu!” Dania tidak berani membantah lagi.

+++++++++++++

Jadual di tangannya direnung. Ah! Kelam kabut dunianya kini. Petang nanti adalah kelas Matematik Tambahan. Seksanya! Dia tidak suka mata pelajaran itu disebabkan lelaki itu. Argh!

Dania menunggu di bilik bacaan. Guru yang diupah ayahnya belum tiba. Dania berasa gementar. Siapa pula yang akan mengajar agaknya? Air kopi kegemarannya diteguk.

“Tak baik minum kopi selalu.” Terperanjat Dania ditegur oleh satu suara lelaki. Dania tersedak.

“Ops, sorry..” Lelaki itu menggosok belakang Dania. Pantas Dania bangun. Dia terkejut melihat lelaki yang menegurnya. What!

“Eh? Awak...patutlah macam selalu dengan nama Dania Risya ni..betullah, nama awak..” Lelaki itu melabuhkan punggung pada kerusi di hadapan Dania. Dania terkedu.

“Kenapa cikgu ada kat sini?” Lelaki itu tersenyum.

“Lupa, patutnya saya perkenalkan diri saya.” Lelaki itu bangun. “Nama saya Azmir Firdaus bin Hashim. Saya guru kelas tambahan awak.”

Mulut Dania ternganga. Bala apa yang sedang menimpanya?

“Kenapa? Kenapa pula cikgu jadi guru kelas tambahan saya ni?” Azmir tersenyum.

“Biasalah, tambah duit. Jadi boleh mulakan kelas?”

“Tak nak! Ayah! Dania nak tukar cikgu!” Ayahnya muncul di hadapan pintu. Mukanya kelihatan tegang.

“Banyak songeh betul budak ni! Tak ada tukar-tukar.” Pintu bilik bacaan ditutup. Amboi, raja kuku besi betullah ayah ni!

“Boleh mulakan?”

“Saya tak nak!” Azmir tersenyum. Dania mencebik. Dia sungguh meluat memandang lelaki itu. Azmir membuka bukunya lalu memandang Dania.

“Awak sebenarnya pelajar yang pandai. Semua latihan yang saya bagi awak buat dengan betul. Saya pun tidak tahu apa masalah awak ketika menjawab soalan peperiksaan sebenar.” Dania diam. Malas mahu membalas kata-kata Azmir. Dia juga tidak tahu kenapa dia boleh gagal dalam peperiksaan percubaan yang lalu.

“Jadi boleh kita mulakan pelajaran hari ini?” Dania mendengus dan hendak berlalu. Namun, tangannya diraih Azmir, menghalang gadis itu pergi. Terkejut Dania apabila tangan kasar itu menangkap tangannya. Dania kaku, satu perasaan menyelinap dalam hatinya.

“Saya datang nak bantu awak. Mungkin awak marahkan saya kerana pernah memalukan awak. Selalu memerli dan membuli awak. Tapi saya tak nak awak bencikan saya sehingga tidak mahu menerima ilmu. Saya minta maaf pasal hal-hal yang lepas. Jadi boleh awak beri ruang untuk saya mengajar awak?”

Suara lembut Azmir menyejukkan hati Dania. Dia terpujuk dengan kata-kata lembut dari mulut Azmir itu.

“Dania, saya harap awak duduk dan saya akan mengajar awak. Kita sama-sama fikirkan cara untuk kejayaan awak.” Dania terdiam. Hatinya sudah sejuk. Satu perasaan yang sukar dimengertikan bermukim di hatinya. Dania menoleh.

“Boleh Dania?” Azmir tersenyum. Dania terkedu. Senyuman itu terlihat sangat indah di matanya. Jantungnya berdegup pantas.

Dania tersedar. Dia menarik tangannya lalu duduk. Azmir semakin lebar tersenyum. Dania sudah boleh dibawa berbincang. Dania memeluk tubuh.

“Ok, sekarang saya bagi awak beberapa soalan. Saya nak tahu tahap kemampuan awak.” Dania mengambil kertas yang dihulurkan dengan kasar. Dia cuba menepis perasaan di dalam hatinya dengan bersikap kasar terhadap Azmir. Lelaki itu benar-benar menyusahkan!

++++++++++++++

Sebulan telah berlalu. Dania tersenyum. Sebentar lagi lelaki itu akan tiba. Petang ini adalah kelas Matematik Tambahan. Dania kini selalu menantikan kelas itu. Entah mengapa dia berasa gembira apabila bersama-sama lelaki itu. Dia tidak lagi benci. Malah mahu menatap wajah lelaki itu setiap masa. Kelas Matematik Tambahan tidak lagi dianggap sebagai neraka malah menjadi syurga untuknya. Dania sendiri tidak mengerti perasaannya kini.

“Hm, sorry. Lambat.” Azmir duduk. Kelas dimulakan. Dania menghirup air kopi sambil memerhatikan Azmir yang sedang mencari sesuatu di dalam begnya. Rambutnya pendek dan kemas, berkulit sawo matang, berkening nipis, mata tidaklah terlalu besar atau kecil dan...

“Kenapa tengok saya macam tu?” Dania tersentak. Mujur cawan kopi yang dipegangnya tidak terlepas. Merah mukanya kerana lelaki itu sedar dia diperhatikan.

“Tak..tak ada apa-apa..” Dania kembali menghirup air kopi itu, cuba menutup malu. Azmir tersenyum kecil.

“Tak apa..saya suka.” Dania terkebil-kebil. Dia salah dengar atau memang lelaki itu ada berkata sesuatu?

“Apa?”

“Tak ada apalah. Ni, cuba selesaikan.” Kertas dihulurkan. Dania menyambutnya sambil wajah Azmir diteliti. Dia salah dengar barangkali.

“Awak memang sukakan kopi?” Dania mengangguk tanpa memandang Azmir. Tumpuannya kini pada soalan di hadapannya.

“Tapi kan tak baik minum kopi selalu?” Dania menjungkit bahu. Azmir tersenyum.

“Tapi sebab awak juga, saya semakin suka dengan kopi...” Dania mengangkat muka. Apa maksud lelaki itu?

“Hah?” Azmir hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Dania berasa hairan. Kenapa dengan lelaki ini? Kata-katanya sedikit pelik hari ini. Mengelirukan!

++++++++++

Kini musim SPM sudah menjengah. Dania berasa takut hari ini. Kertas terakhirnya adalah Matematik Tambahan. Azmir memandang gadis itu sambil tersenyum. Jelas kelihatan muka gadis itu tegang dan takut.

“Relax, you can do it! Kalau awak dapat jawab soalan-soalan tu, saya beri hadiah kepada awak. Plus kalau result awak A+, tuntut hadiah yang lebih besar daripada saya, okay? Saya tunggu awak.” Bahu gadis itu ditepuk.

“Kus semangat. Cikgu ni buat terkejut sajalah! Cikgu, tunggu saya tau!” Azmir ketawa kecil. Dania melangkah pergi. Dia memasuki dewan peperiksaan dengan tenang.

Dania tersenyum puas. Soalan tadi tidaklah susah mana. Dia harus berterima kasih kepada Azmir yang telah membantunya. Dania melangkah laju ke arah bilik guru. Azmir tiada di tempat.

“Cik Julia, Cikgu Azmir mana?” Cikgu Julia mengangkat bahu. Dania keluar dari bilik guru. Hm, ke mana pula Azmir ni? Dania melintasi kafeteria sekolahnya. Tiba-tiba dia teringat kepada kopi kesukaannya. Dania menghampiri kafeteria itu. Dia mengambil air tin kopi seperti biasa lalu membayar harga air tin itu.

Dania melabuhkan punggung di kerusi berhampiran bilik guru, menanti lelaki itu. Selalunya lelaki itu pasti hadir di mana-mana sahaja ketika dia minum kopi. Lelaki itu pasti akan menegur perbuatannya. Namun kali ini lelaki itu tidak datang menegur. Dania terdengar perbualan seorang guru dengan pengetua sekolahnya.

“Rugi pula nak lepaskan Cikgu Azmir tu, dia tu cikgu yang bagus.” Pengetua berkata. Guru lelaki disebelahnya hanya mengangguk.

“Tak sangka saya, Cikgu Azmir nak berhenti.” Tersembur air yang diteguk Dania. Dia tidak mempercayainya. Dania mendekati pengetua dan guru lelaki itu.

“Maafkan saya cikgu, cikgu ada nampak Cikgu Azmir?” Guru lelaki itu mengerutkan dahi.

“Awak tak tahukah? Cikgu Azmir dah berhenti pagi tadi. Dia dah berpindah.” Dania hanya menunduk hormat dan berlalu. Entah mengapa airmatanya mengalir. Mengapa lelaki itu berkata dia akan menunggunya? Mengapa lelaki itu berpindah? Dania terduduk sambil menangis di hujung bangunan utama sekolahnya yang sunyi.

+++++++++++++

Beberapa tahun kemudian...

          “Dania, cepatlah. Tadika tu nak buka dah pun. Hey, mana boleh cikgu lewat daripada anak murid? Cepat siap.” Ayah mula membebel. Dania hanya tersenyum. Dia sudah terbiasa mendengar leteran ayahnya sejak kecil kerana dia tidak mempunyai ibu. Ibunya meninggal dunia sebaik sahaja melahirkannya, mengikut cerita daripada ayahnya.

“Hm, sayang ayah. Dania pergi dulu!” Dania menghidupkan enjin kereta. Hari ini bermulalah kerja sambilannya sebagai guru tadika. Dia mahu menimba pengalaman sebelum diterima masuk ke mana-mana sekolah. Dia mahu menjadi guru yang terbaik di mata anak-anak muridnya.

“Ah, Cik Dania dah sampai. Mari kita tunggu budak-budak datang. Hari ini ada budak-budak baru masuk.” Dania mengangguk. Dia berdiri di samping guru-guru yang lain.

“Selamat pagi, cikgu. Tolong jaga Delisya ya?” Lelaki itu menyerahkan kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun itu kepada gurunya. Dania hanya menjadi pemerhati.

“Tak ada hallah, Encik Azmir. Memang tugas kami.” Dania tersentak. Nama itu mengingatkannya kepada seseorang. Segera wajah lelaki itu diamati.

“Anak papa jangan nakal-nakal. Dah habis kelas nanti papa datang jemput dengan mummy ya?” Luluh hati Dania saat dia mengecam lelaki itu. Sememangnya lelaki adalah lelaki yang dia kenali, lelaki yang dia cintai.

Azmir tersedar kehadiran Dania di situ. “Guru baru ke?”

“A’ah, baru mula hari. Dania, kenalkan ni Encik Azmir Firdaus. Dah seminggu Encik Azmir ni hantar Delisya ke sini.” Azmir terpaku memandang gadis di hadapannya kini. Sudah bertahun mereka tidak bersua. Gadis itu sudah lebih bergaya dan semakin ayu. Azmir tersenyum manis apabila dia tersedar guru-guru lain memerhatikan mereka.

“Dania.” Dania hanya menunduk.

“Selamat berkenalan.” Dania berpura-pura seperti tidak mengenali lelaki itu. Azmir hanya akur. Dia berlalu setelah berpamitan dengan guru-guru yang lain. Hari itu menjadi hari yang tidak gembira bagi Dania. Dia sedikit terganggu apabila teringatkan kemesraan Azmir dan Delisya. Azmir sudah berkahwin, aku yang bodoh masih menunggunya. Bodoh!

“Kenapa ni? Anak ayah asyik diam je. Ada masalah ke kat tadika?” Dania menggeleng. Dia tidak pernah memberitahu ayahnya tentang perasaannya pada Azmir. Dania melangkah masuk ke dalam biliknya. Dia termenung di balkoni biliknya. Dia rasa keberatan untuk ke tadika itu pada esok harinya.

++++++++++++

          Dania melangkah keluar dari kereta dengan malas. Dia dipaksa oleh ayahnya pagi tadi. Dia akur apabila ayahnya mula berleter tentang jangan melakukan kerja separuh jalan. Apa yang telah dilakukan harus dihabiskan. Entah apa lagi yang dibebelkan ayahnya tadi dia tidak ambil pusing. Akhirnya dia sampai di perkarangan tadika itu. Dia terserempak dengan Azmir di pintu pagar tadika itu. Hish, kenapalah waktu ni dia wujud pula depan aku?

“Dania, tunggu.” Tangan Dania dicapai. Dania terkejut seperti terkena renjatan elektrik. Sepantas kilat, wajah Azmir dipandang.

“Lepaskan tangan saya. Apa pulak kata orang kalau nampak.” Kata-kata itu terkeluar dari mulutnya.

“Ops, i’m sorry. Tak sengaja.” Tangan itu dilepaskan. Dania menjarakkan diri daripada Azmir. Dia tidak selesa berdekatan lelaki itu. Dia tidak keruan.

“Ada apa?” Dania bertanya. Azmir memandang gadis itu lama. Perasaannya juga menjadi tidak keruan. Getarannya masih sama.

“Awak..marahkan saya?” Dania ketawa kecil.

“Kenapa awak tanya macam tu?” Azmir mengangkat bahu. Dia juga tidak tahu apa yang patut dikatakan. Dania mengorak langkah. Dia berasa geram. Lelaki itu tidak tahu sudah lama dia menunggu lelaki itu. Dia mahukan penjelasan. Namun, lelaki itu tidak mempedulikan perasaannya.

“Dania, tunggu. Saya ada perkara nak cakap dengan awak.” Dania berhenti melangkah. Azmir mendekati Dania.

“Pasal hal dulu tu, saya dapat tahu awak dapat keputusan cemerlang. Dan awak dapat A+ dalam mata pelajaran saya kan?” Dania hanya sekadar mengangguk. Dia masih tidak menoleh.

“Awak..erm, awak masih sukakan kopi?” Azmir mengeluh. Mengapa hal ini pula yang terluah? Dia berasa geram dengan dirinya sendiri. Dania mendengus. Kenapa Azmir bertanya hal ini?

“Kalau awak tak ada hal lain, saya pergi dulu.” Dania mengorak langkah. Azmir pantas mengejar gadis itu dan merentap tangannya. Dania terkejut dan berhenti. Dia pantas menoleh ke arah Azmir. Azmir merenung dalam anak mata coklat milik Dania. Dania kaku, hatinya berdebar kuat. Dia tidak dapat menoleh ke arah lain, seolah-olah anak mata redup Azmir memakukan anak matanya.

“Saya minta maaf.” Azmir memandang ke arah lain dan melepaskan tangan gadis itu. Dania tersentak. Dia berasa marah tiba-tiba. Azmir melangkah pergi. Airmata Dania mengalir saat itu. Langkah lelaki itu disainginya. Kini dia sudah berada di hadapan Azmir, jauh dari kawasan tadika.

“Kenapa harus kita bertemu lagi, hah? Kehadiran awak buat saya terluka, awak tahu tak? Dah lama saya tunggu awak! Kenapa awak kata awak akan tunggu saya dulu? Saya terseksa, kerana merindui awak! Kenapa awak pergi? Kenapa kini awak muncul semula? Kalau saya tahu awak sudah berkahwin, saya takkan tunggu awak macam...”

Kata-kata Dania terhenti saat Azmir memeluknya. Pelukan erat itu membuatkan Dania semakin kuat menangis. Esakkannya kedengaran.

“Jangan menangis Dania. Saya tak tinggalkan awak, saya hanya pergi sementara. Dan saya belum berkahwinlah. Dania, tiada orang lain selain awak di hati saya.” Dania tersentak. Badan tegap itu ditolak sedikit. Pelukan Azmir direnggangkan. Dania memandang wajah Azmir. Azmir menyapu airmata di pipi Dania.

“Apa..apa maksud awak?” Azmir tersenyum.

“Waktu itu saya terpaksa berhenti. Pada mulanya, saya menemui ayah awak. Saya nak minta restu dia untuk bersama awak. Itulah hadiah untuk keputusan cemerlang awak sepatutnya. Tapi ayah awak paksa saya berhenti dan jangan berjumpa dengan awak lagi. Saya terpaksa akur Dania. Saya juga terseksa merindui awak. Saya cintakan awak Dania.” Azmir dipeluk. Azmir tersenyum dan membalas pelukan itu. Mereka sama-sama melepaskan rindu yang terbuku di hati. Namun tiba-tiba Dania merenggangkan pelukan.

“Habis siapa Delisya?” Azmir ketawa kecil.

“Dia anak kakak sayalah. Delisya tu tak ada ayah. Sebab tu dia panggil saya papa.” Dania hanya mengangguk. Pelukan itu terlerai. Azmir menggenggam tangan Dania.

“Dania...sudi tak kalau awak jadi isteri saya?” Dania menunduk saat mata mereka bertembung. Perlahan dia mengangguk. Azmir tersenyum. Ditariknya semula Dania ke dalam pelukannya.

“Saya cintakan awak sejak dulu lagi. Awak sentiasa nampak ceria dan menarik, di mata saya. Saya paling suka tengok muka merah awak ketika saya menegur awak minum kopi.” Dania ketawa.

“Saya...saya tak tahu kenapa saya sukakan awak. Tapi saya sentiasa harap awak selalu ada bersama saya. Saya selalu nantikan kelas awak. Azmir, saya cintakan awak.” Pelukan itu erat. Masing-masing tidak mahu lagi melepaskan. Mereka akhirnya bersatu kini. Hanya kerana kopi dan matematik tambahan.....

 

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet