Hanbok VS Baju Melayu (Part 1)

(Part 1) 

 

“Fiqri, minggu hadapan ummi nak kamu ke Seoul untuk uruskan stok pakaian yang ummi tempah dari Mak Cik Aisyah.” Pn. Safiyah memaklumkan kepada anaknya, Fiqri. Fiqri yang baru sahaja beberapa hari pulang dari Chiang Mai berasa agak terkejut dengan apa yang dimaklumkan ibunya.

“Hah? Seoul, ummi? Jauhnya...” Ujar Fiqri kepada Pn. Safiyah. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Pn. Safiyah hanya mengangguk.

“Tapi ummi... Takkanlah Fiqri yang mesti ke sana?” Tanya Fiqri kepada ibunya. Pn. Safiyah hanya mengangguk sambil terus menyangkut baju-baju di almari butiknya.

Fiqri menundukkan kepalanya apabila melihat reaksi ibunya itu. Dia ligat berfikir.

“Abang Fayyad kan ada, ummi. Dia boleh ke sana.” Fiqri mencadangkan kepada Pn. Safiyah. Pn. Safiyah lantas memandang ke arah Fiqri.

“Abang Fayyad kan sedang berada di Abu Dhabi.” Jawab Pn. Safiyah lalu memasuki ke kaunter butiknya. Maisarah yang berada di kaunter hanya tersenyum melihat gelagat abangnya yang cuba melepaskan diri.

Fiqri mengurut-urut dagunya yang berjanggut sedikit itu. “Haa... Kak Anis. Kak Anis boleh ke sana, ummi. Lagipun Kak Anis kan pandai berbahasa korea.”

“Ish, kamu inilah Fiqri... Kak Anis sekarang berada di Universiti Chulalongkorn untuk sesi praktikalnya di sana.” Jawab Pn. Safiyah lagi.

Fiqri tersengih ke arah ibunya, “Ya tak ya juga, ummi.” Pn. Safiyah hanya menggelengkan kepalanya. Fiqri hanya terdiam sebentar.

“Baiklah ummi, Fiqri setuju tetapi bersyarat...” Ujar Fiqri kembali dengan nada serius. Mendengar jawapan Fiqri, Pn. Safiyah lantas tersenyum.

“Betul ni, Fiqri?” Tanya Pn. Safiyah meminta kepastian. Fiqri hanya mengangguk. “Baiklah, apa syaratnya? Insya Allah, ummi akan tunaikan.”

Fiqri tersenyum seraya berkata, “Syaratnya... Izinkan Mai untuk ikut Fiqri ke Seoul.” Terdiam Pn. Safiyah dan Maisarah mendengar jawapan dari Fiqri.

Seketika kemudian, Pn. Safiyah bersuara, “Baiklah. Ummi izinkan Mai ikut Fiqri ke sana tetapi...”

“Tetapi apa, ummi?” Maisarah lantas bertanya kepada ibunya. Dia berasa amat gembira apabila abangnya ingin membawanya bersama ke Seoul malah dia juga gembira dengan keizinan ibunya.

Kali ini, Pn. Safiyah pula memberikan syaratnya. “Tetapi dengan syarat, Mai mesti mendengar cakap abang Fiqri. Satu lagi, Mai mesti jaga diri baik-baik. Ummi tahu yang Mai ni seorang kpopper. Please behave yourself, okay.”

“Baiklah, ummi. Mai segera menjunjung perintah.” Ujar Maisarah sambil melakukan tabik hormat ala tentera kepada ibunya. Pn. Safiyah hanya tersenyum melihat kerenah Maisarah. Dia amat memahami anak gadisnya itu. Boleh dikatakan hampir sebahagian bilik anak gadisnya itu, dipenuhi dengan poster-poster artis Kpop. Maisarah pada ketika itu baru sahaja tamat SPM.

Melihatkan reaksi Maisarah, Fiqri lantas mencelah. “Kalau Mai buat perangai di sana kan ummi... Fiqri akan tinggalkan dia di sana. Biar dia duduk dengan Mak Cik Aisyah.” Pn. Safiyah hanya tertawa kecil. Maisarah pula hanya mendengus manja tanda tidak bersetuju dengan kata-kata abangnya.

 

Seminggu kemudian, segala persiapan telah dilakukan. Pada pag itu, Fiqri dan Maisarah dihantar oleh Pn. Safiyah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Setibanya di sana, Pn. Safiyah segera mengiringi kedua-dua anaknya itu masuk ke balai perlepasan antarabangsa.

“Fiqri, Mai... bila tiba di sana nanti, jangan lupa untuk menghubungi Hazwan, ya.” Pesan Pn. Safiyah kepada Fiqri dan Maisarah. Mereka mengangguk faham. Sambung Pn. Safiyah lagi, “Satu lagi... jaga diri masing-masing. Ummi tak mahu apa-apa yang tidak diingini berlaku pada anak-anak ummi. Faham?”

“Faham, ummi.” Jawab Fiqri dan Maisarah hampir serentak.

Kelihatan reaksi risau pada wajah Pn. Safiyah. “Ummi janganlah risau ya. Insya Allah, Fiqri dan Mai akan jaga diri.” Ujar Fiqri kepada ibunya. Pn. Safiyah tersenyum gembira mendengar kata-kata dari Fiqri. Kuranglah sedikit kerisauan dalam dirinya.

“Eh? Sudah pukul 10 pagi, Fiqri dan Mai segeralah masuk ke balai perlepasan nanti terlewat pula.” Ujar Pn. Safiyah apabila menyedari jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Fiqri dan Maisarah segera bersalaman dengan ibu mereka dan segera memasuki balai perlepasan antarabangsa.

 

Tepat jam 11 pagi, Fiqri dan Maisarah berlepas ke Seoul, Korea Selatan dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines. Perjalanan ke Korea Selatan mengambil masa lebih kurang 6 jam. Suatu perjalanan yang agak lama. Maisarah adalah yang paling gembira dengan perjalanan mereka itu. Fiqri pula hanya bereaksi seperti biasa saja.

“Wah, abang... Mai macam tak percaya yang kita ke Seoul... Daebaknya!” Maisarah bagitu teruja sekali. Fiqri hanya tersenyum dengan keterujaan adiknya itu.

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet