B A B 4

Renjana

---

Pagi menjelma beserta kabus. Sambil diiringi pembantunya, Puan Lu menuju ke bilik anak lelaki tunggalnya, Lu Han. Riak dingin dan tegas sentiasa menjadi topeng muka wanita pertengahan abad berkenaan.

Jia yang bertugas malam tadi, melapor sebaik wanita itu sampai di hadapan muka pintu bilik. "Semalam saya dengar dia menjerit, puan. Mungkin dia dah berjumpa dengan-"

"Buka."

Dengan takut-takut, Jia menarik selak lalu perlahan-lahan daun pintu ditolak. Kedengaran gadis muda berkenaan mencungap nafas terkejut melihat sekujur tubuh kaku di atas lantai. Tanpa perlu disuruh, dia bergegas ke arah Mei. Wajah pucat tak bermaya Mei ditilik. Bibir merah kusam, kelopak mata terkatup rapat dan apabila pembantu itu menyentuh pipi Mei, hanya dingin yang menjalar.

"Dia sudah meninggal?"

Lengan Mei dipegang lembut, mencari sisa nadi. Si pembantu berpaling, "Tidak, Puan Lu. Dia masih hidup lagi. Mungkin pengsan saja."

Kening majikannya menaik, seakan tak menyangka Mei dapat bertahan menghadapi malam pertamanya. Malam yang seperti diceritakan oleh golongan tua; malam di mana roh sang suami datang mencari isterinya yang baru dinikahi melalui perkahwinan hantu. Dan sering dikatakan kebanyakan si pengantin perempuan meninggal dunia selepas malam tersebut.

Namun sebaliknya berlaku pada Mei sehingga menimbulkan rasa curiga dan ingin tahu Puan Lu.

"Macam mana ini, puan?"

Puan Lu tersedar daripada lamunan sejenak. Kembali dia memandang menantunya yang terkulai lesu. "Apa lagi? Pergi panggilkan tabib!"

Sebaik tabib yang diminta untuk memeriksa Mei keluar daripada kamar, Puan Lu datang menghampiri. "Macam mana dengan menantu saya, tabib?"

"Dia baik saja. Tapi dia seperti mengalami kejutan. Dia harus berehat."

Dengan lembut, si pembantu menyelimuti badan Mei. Perasaan kasihan makin menebal dalam diri Jia apatah lagi Mei kemungkinan sebaya dengan dirinya. Di usia muda sebegini, perawan di hadapannya ini sudah menjadi mangsa perjudian hidup. Terlintas perasaan bersyukur di hatinya walaupun dia hanyalah menjadi seorang hamba dan berstatus hina di mata golongan berada seperti keluarga Lu. Sekurangnya, dia tidak bersuamikan manusia yang telah mati. Jia akhirnya meninggalkan Mei atas arahan Puan Lu.

Beberapa jam berlalu. Xiumin dan Jia sabar menunggu di dapur. Bersedia jika Puan Muda Lu tersedar nanti. Sepatah kata pun tiada diucapkan antara mereka berdua. Puan Lu pula hanya lenang bersantai di ruang tamu sambil menghirup teh panas. Tanpa diduga, dia menerima kehadiran tetamu yang meluru masuk rumah agam keluarga Lu. Mengekorinya rapat, pembantu rumah yang cuba menghalang.

Mata Puan Lu menilai kehadiran pemuda itu. "Kamu tiada adabkah, Zhang Minghao? Ini bukan rumah keluarga kamu yang boleh dibuat sesuka hati."

"Aku hanya datang untuk berjumpa dengan Mei. Di mana kakak aku sekarang?!"

Mei membuka mata, siling suram bilik sudah bertukar menjadi langit biru. Mei bangun, duduk melunjur dan menerawang sekeliling. Datarannya hijau. Bunga-bunga pelbagai warna kembang mekar menyeri suasana damai. Rambutnya terbuai-buai dilanggar bayu. Bunyi desiran pepohon lebat ditiup angin menarik perhatian Mei.

"Tempat apakah ini?" bisik Mei pada si angin.

"Ruang yang tercipta hanya untuk kita berdua. Ruang untuk kita bertemu. Ruang yang terhasil di atas rindu saya pada awak." Bisikan itu dibawa angin menerpa telinga.

Mei berpaling ke kanan dan menyedari seorang lelaki sedang memandangnya.

"Lu Han...?"

Senyum.

Senyuman yang paling menyentuh hati. Sepanjang hidup Mei, dia tidak pernah melihat senyuman seperti itu. Pemuda berkenaan kelihatan sangat rapuh peribadinya.

Akhirnya Mei dapat bertemu dengan suaminya sendiri; dapat memandang wajahnya dan mendengar suaranya yang mendayu. Tapi mengapa dia sentiasa kedengaran seperti di dalam kesedihan? Apa yang dia kesalkan?

Jejaka itu menghulurkan tangan, menawar diri untuk membantu Mei berdiri. Mei mulanya teragak namun dia mengambil jua tangan itu. Kulit yang bersentuhan menghadirkan listrik.

"Saya minta maaf, kalau perkahwinan ini mencelakan hidup awak... Saya saksi segalanya... Bagaimana layanan keluarga saya terhadap awak..."

Lu Han kelihatan kemas dengan memakai kemeja putih, berseluar suspender hitam dan beret menutupi rambutnya. Gaya klasik seorang anak bangsawan. Apa yang mencacatkan penampilan itu, adalah wajah lesunya. Mereka beriringan berjalan.

Mei bisu. Fikirannya menjadi buntu, tersepit antara dua perasaan. Dia sendiri tidak tahu sama ada dia bahagia bergelar seorang isteri atau pun tidak. "Apa yang akan berlaku kalau kita berjumpa lebih awal...?"

Jauh di hadapan mata Mei, pemandangan bandar yang terbina.

Lu Han bersama bibir terukir ke atas, melihat rumput yang kehijauan. "Mungkin saya akan tetap bawa awak ke sini. Tempat kegemaran saya. Saya sepatutnya memikirkan awak ketika itu. Jika tidak, awak tak perlu lalui perkahwinan seperti ini..."

Tika Lu Han kembali menatap permandangan kota, Mei dilanda dejavu bila merenung sisi wajah itu. Lama dia merenung dan memang benar apa yang difikirnya.

Lu Han adalah pemuda itu. Bahkan, pakaiannya juga sama.

Hakikat tersebut membuatkan jantung Mei makin galak berdetak.

Bila Lu Han menoleh dan tersenyum, dia datang menghampiri isterinya dengan tangan yang disorok di belakang. Mei segera menunduk dan melirik ke tempat lain. Dia tak biasa bertentangan mata dengan lelaki apatah lagi direnung.

Telatah Mei itu menghiburkan hati lara Lu Han.

"Untuk awak." Sekuntum bunga ros merah mekar dihulur. Bunga tanda cinta. Cinta yang akan dibawa bersama lena panjangnya.

Mei masih teragak-agak untuk menatap Lu Han. Perasaan segan dan berdebar makin membuak. Tangannya tetap beransur-ansur mengambil bunga tersebut.

Lu Han dipandangnya Mei dengan persoalan. Mata gadis itu mencari jawapan di dalam anak mata Lu Han dan semua itu dibalas dengan wajah manis.

"Masa saya dah sampai..." Tangan Lu Han mengelus lembut pipi Mei.

Hati Mei tiba-tiba terasa berat. Namun, mulutnya tak dapat berkata.

Dia keliru; apa yang harus dia rasakan sekarang ini? Adakah gembira kerana suami dan pemuda yang mencuri hatinya adalah orang yang sama, dan dia dapat melihat wajahnya atau, sedih kerana pemuda itu sudah tiada lagi di dunia nyata?

"Alangkah bertuahnya kalau saya dapat berjumpa dengan awak lebih awal kan...? Saya selalu berhasrat untuk melihat wajah awak setelah awak dikhabarkan menjadi bakal isteri saya. Kalaulah saya dapat menjadi cinta awak..." gumam Luhan lagi diiringi langkah terundur. "Tapi kini hajat saya sudah tertunai..."

"Tunggu!"

Lu Han diam tak bereaksi apabila Mei terus mendakapnya erat. Mei juga tak mengerti mengapa dia bertindak sedemikian. Dia hanya menuruti jeritan hati perempuannya. Muka gadis berkenaan dibenam ke dada tenang Lu Han. "Saya... cintakan awak."

"Awak cintakan saya?" Bibir Lu Han menyimpul senyuman lemah dan tangannya merangkul lembut tubuh Mei.

"Awak mencuri perhatian sejak saya kali pertama melihat awak di pasar. Semenjak itu, awak selalu bermain di dalam fikiran saya." Pelukan terlerai dan Mei mendongak pada wajah si suami. "Jangan tinggalkan saya..."

Tanpa diduga, bibir dingin Lu Han singgah mengucup bibir Mei membuatkan si penerima memejamkan matanya.

"Jika waktu boleh dihalang, pasti akan saya halanginya..."

Mei tersentak lalu bangun mengejut. Ruang kusam bilik Lu Han menerpa mata. Nafas berat meninggalkan bibirnya. Mei menyentuh pipi. Dilihat air mata yang diseka. Dilihat juga sekuntum bunga ros yang ditinggal bersebelahan bantal. Tangannya menggapai ros tersebut dan ditilik lama.

Mei sendiri tidak mengetahui mengapa matanya makin berair. Jiwanya makin merintih sayu. Akhirnya, Mei teresak-esak di situ sambil menekup mulutnya.

Tersentak Xiumin selepas telinganya menangkap esakan kecil sayup-sayup dari bilik Lu Han. "Jia! Aku dengar suara orang teresak. Mungkin puan muda sudah sedar!"

"Aku tidak mendengar apa-apa pun." Jia tetap juga bingkas bangun daripada kerusi dan segera menatang dulang berisi gelas air dan ubatan. Xiumin rapat menuruti ke tingkat atas. Minghao yang perasan kelibat dua orang itu terus mengikuti, meninggalkan Puan Lu yang mendengus geram.

"Berani dia berlagak biadab dengan aku. Dia fikir dia siapa?!"

Seperti jangkaan Xiumin, Jia melihat Mei sedang teresak di atas katil. Mei menangis memeluk lutut. Menyangka gadis itu masih trauma dengan kejadian mistik semalam, Jia bergegas menghampiri selepas meletakkan dulang di meja sisi katil.

"Puan... Tidak mengapa, puan. Saya ada di sini. Puan sudah selamat..." Jia memeluk bahu Mei dari sisi dan mengusap lembut. Esakan Mei masih berterusan. Jia menoleh Xiumin sekilas yang buntu untuk menenangkan majikannya.

"Lu Han..."

Air mata Mei makin lebat mengalir. Dadanya rasa sesak. Tak pernah dia menangis begitu hiba.

"Mei!" Minghao meluru mendapatkan kakaknya. "Apa yang sudah berlaku? Beritahu aku." Dia duduk di birai katil, turut memujuk Mei. Wajah lencun kebasahan Mei diperhati resah.

Kemas Mei menyimpan cerita. Tiada kata untuk menggambarkan perasaannya.

Setahun kini hampir menginjak dua tahun. Keadaan Mei selepas kejadian itu agak mendukacitakan. Selalu saja Jia mendengar Mei menangis sendu di malam hari berseorangan di dalam bilik.

"Meilin memang seorang yang degil. Aku sudah puas memujuk Mei supaya jangan terlalu merintih atas pemergian Lu Han. Tapi dia tetap tidak berubah. Melarakan diri sendiri. Jika jiwa boleh diibaratkan seperti bunga; jiwa Mei adalah bunga yang layu. Menunggu untuk mati." keluh Jia perlahan pada Xiumin yang hanya mampu menadah telinga.

Mei berubah menjadi pendiam walaupun masih memberi senyuman tawar kepada sesiapa yang bertembung dengan dirinya. Xiumin perasan yang Mei juga kerap termenung jauh. Mei jarang meminta pertolongan daripadanya sampailah satu hari.

"Xiumin, boleh awak bantu saya?" Gadis itu menegur Xiumin yang bersantai di dapur.

Pemilik nama terus bangkit dari kerusi. Dia mengangguk beria, tidak mahu mengecewakan hati Mei. "Saya akan lakukan apa saja, puan."

"...Boleh awak bawa saya ke kubur Lu Han?"

Tergamam sedetik Xiumin mendengar permintaan gadis berkenaan.

Puas Minghao mencari kelibat Mei. Di kediaman Lu, pembantu juga memaklumkan ketiadaan Puan Muda mereka. Mujurlah Xiumin membuka rahsia pada dirinya.

Gopoh Minghao berlari menentang anak bukit. Bimbang akan keadaan kakaknya. Minghao ingin segera menemui Mei dan pastikan dia berada di dalam keadaan selamat. Takut jika laranya melarat dan mendorong Mei mengikut perasaan.

Nafasnya berat terhembus lega. Kelibat Mei yang duduk berdekatan jirat suaminya, menyapa. Beransur-ansur Minghao mengambil tempat di sebelah Mei, melepaskan penat.

"Kau buat apa di sini?"

"Aku mencari kau dari pagi tadi lagi."

Mei bangun dan berjalan ke pinggir bukit diekori Minghao yang tidak mahu berjauhan. Sedih dia memandang wajah lesu Mei. Seri yang pernah bermain makin menghilang.

"Mei... kau tidak mahukah berkahwin lain? Dengan lelaki yang dapat bahagiakan kau?" Minghao serius dalam tenang.

"Mengapa aku harus berkahwin lain? Aku masih isteri kepada Lu Han."

"Isteri kepada mendiang Lu Han."

Perkataan itu membuat Mei diam. "Dia tidak mati, dia cuma berada di dunia lain daripada kita." Perlahan suara Mei.

"Dan kau juga tidak pernah bersua muka dengan dia juga kan? Jadi kenapa-"

"Aku pernah." Mei memandang Minghao yang hanya muda lima minit daripadanya. "Aku juga pernah bercakap dengan dia. Dia lelaki baik..."

"Tapi dia sudah meninggal, Mei."

"Kita semua juga akan mati, Minghao..."
.
.
.
Gempar kediaman Lu dengan berita kehilangan Mei. Khabar itu melarat ke telinga penduduk setempat dan akhirnya singgah kepada keluarga Zhang melalui cerita si pembantu.

Minghao terus tanpa diperlawa, menjengah kediaman Lu untuk mencari keadilan buat kakaknya. "Dan sekarang apa tindakan kalian semua?! Takkan hanya berdiam diri sahaja?! Lupakah Mei itu adalah menantu keluarga Lu?!"

Minghao sudah malas untuk menjaga tertib. Hormatnya untuk keluarga Lu sudah lupus!

"Kami tak pernah menganggap Mei sebagai menantu! Kau jangan-" balas Puan Lu sebelum dihalang Tuan Lu yang kekal tenang.

"Kamu ingat kami bodohkah? Sudah tentu kami sudah arahkan orang untuk mencari Mei."

"Baiklah." Minghao mengangguk-angguk. Dadanya masih naik turun. "Aku akan tunggu berita tentang Mei!"

"Sekarang berambus jika kau tiada urusan lagi di sini!" Puan Lu berteriak geram.

"Aku pun tidak ingin jejakkan kaki ke rumah puaka ini!"

Xiumin dan Jia di dapur hanya memasang telinga. Apa yang dikatakan Tuan Lu hanyalah dusta. Tiada sesiapa pun diarah untuk mencari Mei.

"Apalah salah Mei sehingga dibenci sebegitu sekali..." bisik Jia perlahan.

"Aku tidak boleh biarkan perkara ini berlanjutan. Aku harus mencari Mei. Malam ini juga akan aku pergi."

"Tapi Xiumin, bukankah ia berbahaya jika kau lakukan seorang diri?" Riak Jia bimbang.

"Jangan risaukan aku, Jia."

"Aku... hanya ada kau, Xiumin. Pastikan kau pulang dengan selamat."

Xiumin mengangguk lemah dengan senyuman tawar.

Hujan lebat mencurah membasahi segenap bumi. Jia bermundar-mandir di dapur keseorangan. Gelisah dia menunggu kepulangan Xiumin.

Jia tersentak mendengar pintu dapur dibuka. Terus dia bergegas seraya terkejut melihat susuk Xiumin yang kuyup tersandar lemah. Segera Jia hampiri lelaki berkenaan.

"Xiumin... Kau tidak apa-apakah?!" Cemas Jia tak dapat disorok. Muka pucat Xiumin meremukkan hati perempuannya. Jia takut untuk menduga. Bahu pemuda itu digoncang perlahan. "Xiumin..."

"Aku gagal, Jia... Aku gagal..." Xiumin cuba menahan perasaan kecewa yang menusuk pedih setiap penjuru jiwanya. Pandangan makin kabur dek air mata hangatnya jatuh menyentuh pipi dingin.

Jia terus mendakap Xiumin, dan membenamkan muka Xiumin ke bahunya. Tangan Jia lembut mengusap rambut basah Xiumin. "Luahkan segalanya... Aku sudi untuk mendengar... Aku ada untuk kau."

"Aku gagal menjaga amanah yang Lu Han berikan padaku... Aku gagal menjaga Meilin."

Jia menekup pipi Xiumin dan menatap wajah pucat Xiumin dengan riak terkedu. "Maksud kau..."

Xiumin mengangguk lemah.

"Bagaimana, Yixing? Apa berita yang kamu dapat tentang Mei?" Nenek terus bangun dan menghampiri sebaik anaknya itu muncul di ruang tamu.

"Mei... ditemui, ma."

Nenek mengukir senyuman lega namun senyuman itu mati, mendengar Yixing berkata,

"Tapi... sudah tidak bernyawa."

Nenek kembali terduduk di atas kerusi kayu. Dia mula menangisi berita pemergian cucu kesayangannya.

"Kita akan lakukan upacara pengebumian Mei di sini nanti..."

"Sekarang baba puas?! Puas kerana dapat tunaikan 'janji' baba itu dengan keluarga Lu?!" Letus Minghao yang sudah tak mampu mendiamkan diri.

"Minghao." Cubaan nenek untuk menenangkan Minghao hanya sia-sia.

"Pada hari perkahwinan Mei, saya masih ingat betapa muramnya wajah Mei..." Suara Minghao bernada kecewa. "Sugul, hilang serinya. Kerana apa? Kerana baba! Mei taruhkan segala kepercayaannya pada baba tapi apa yang dibalas?! Baba tipu Mei! Baba katakan, ini semua untuk kebaikan kami. Tapi ia sebenarnya hanya untuk keuntungan baba sahaja!"

Yixing diam tak terkutik walaupun wajahnya menegang.

"Pada hari pertama selepas Mei bergelar seorang 'isteri', saya berlari ke rumah keluarga Lu untuk berjumpa dengan Mei. Baba tahu apa yang berlaku? Saya temui Mei menangis seperti orang gila! Mereka menyeksa batin Mei! Menyeksa perasaannya! Sekarang, saya sudah kehilangan satu-satunya kakak yang saya ada di dunia ini, adakah saya patut bergembira?!"

"Minghao! Aku ini masih baba kamu! Di mana hormat kamu?!" Sabar Yixing makin menipis. Renungannya tajam menusuk tapi ia sedikit pun tak menggentarkan Minghao.

"Hormat saya? Bagaimana pula dengan hormat baba? Di mana hormat baba terhadap anak baba sendiri?!"

"Kamu jangan cuba untuk biadap dengan baba, Zhang Minghao! Jika bukan kerana hasil perniagaan yang baba usahakan selama ini, kamu semua tidak akan dapat bermewah!"

"Harta yang baba peroleh sekarang ini; cukupkah untuk hidupkan Mei kembali? Cukupkah?!" Mata Minghao berkaca lalu dia menunduk, menelan rasa sebak. Yixing terpempan.

"Mulai saat ini, anggap sajalah Zhang Minghao juga telah mati seperti Zhang Meilin. Anggap sajalah baba sudah kehilangan semua anak baba. Harta itu baba nikmatilah seorang diri. Saya tidak mahu nasib saya menjadi seperti Mei. Saya akan merantau dan mengahwini gadis pilihan hati saya." Suara Minghao mengendur.

Yixing kembali terasa egonya dicabar. "Perkahwinan kamu takkan bahagia tanpa restu orang tuanya! Kamu ingat itu, Minghao!' Jari telunjuknya diangkat, memberi amaran.

Si muda senyum sinis dilapisi hiba. "Bahagiakah perkahwinan Mei yang berbekalkan restu yang baba agungkan itu? Bahagiakah?" Minghao segera menyeka butiran air mata yang bertakung di ekor mata. Dia beralih pada nenek.

"Nenek, saya minta maaf untuk segalanya. Saya bukan cucu yang baik untuk nenek."

Yixing sekali lagi kehilangan kata. Hatinya ditembak dengan rasa bersalah yang amat. Rasa itu Yixing cuba tutup dengan riak tegang, membuang pandangan ke luar rumah.

"Minghao... kamu tiada salahnya dengan nenek. Jika itu keputusan kamu, nenek tidak boleh halanginya lagi. Restu nenek sentiasa dengan kamu. Moga kamu berbahagia dengan hidup kamu kelak."

Mereka berpelukan lama.

"Saya akan pergi setelah selesai upacara pengebumian untuk Mei. Dan takkan pulang lagi ke sini."

 

-tamat.

 

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
kuchens
tak lama lagi, tajuk cerita ni akan ditukar.

Comments

You must be logged in to comment
lilylunalove
#1
Chapter 4: Eii geramnya dgn Puan Lu tu! Ish tak paham la dia tu, dlm kes ni tak sesiapa pun yg salah apatah lgi Mei, knapa dia benci sgt dekat Mei smpai snggup buat mcm ni? Padahal Mei dh korbankan hidup dia semata mata utk kahwin dengan 'Lu Han'. Kesian Meilin. Semoga di kehidupan akan dtg, dia akan temui happy ending, walaupun bukan bersama Lu Han.
nursyamimivip
#2
Chapter 2: MEI LUHAN DAH MATII KAYY nak je jerit dekat dia cemni aduh. Orang dulu2 banyak percaya benda karut hm. Macam mana tah nanti majlis perkahwinan tu o.o thanks for the update!
nursyamimivip
#3
Chapter 1: Bm mantap nyaaa kalau bm saya kelauuuut xD so far so good, curious apa akan jadi nanti. This is like my first malay story that id read this year. After long time tho hahaha sbb kebanyakan malay story tak memenuhi citarasa saya ni xD but finally an interesting and supernatural malay fanfic w perfect grammar and anything i wanted is here! Keep up the work! Cant wait for the next chapter. New reader btw :)
aquariusxpisces
#4
Chapter 11: Saya rasa lebih baik pendekkan, sebab cerita ni best... Tapi memang ramai authors dan readers yang deactivated acc TT
starlightkim_
#5
Chapter 11: Saya rasa better pendekkan cerita because cerita ni best sangat
lugege_
#6
Chapter 11: Saya tunggu lama gile cite ni T_T tapi saya rasa better awak pendekkan cite ni. Apa pun hwaiting :)
Seasony
#7
Chapter 11: Saya suka fanfic ni awaaak TT mungkin awak boleh pendekkan cerita macam awak cakap tu. asalkan cerita ni habis. Saya pun nak tahu kesudahan dia >< fighting author-nim!
Heart_love
#8
Chapter 10: Update soon authornim.makin menarik
Jelly_Warrior
#9
Chapter 10: My God...rasa ingin tahu makin menebal dalam diri ini * gigit bantal* Nice update author ;-) Good luck utk chapter2 seterusnya^^
starlightkim_
#10
Chapter 10: Cerita ni semakin menarik authornim..i love it yeah!!!