Bukan Sendirian

Bukan Sendirian

~~~

kalau rasa tak pernah dengar/tengok, sila lah, mohon tonton dan luaskan skop anda. lagu dan video yang sangat bermakna, dan lirik ditulis sendiri oleh penyanyinya./macam promo je kan/hahahah/

~~~

 

"Semua orang pun panggil aku perempuan jalang. Jadi, lantaklah. Aku mati pun tak susahkan siapa-siapa pun. Lagipun, macam ni lagi seronok. Kau tahu tak, sakit hati aku semuanya hilang bila aku buat ni."

Dia tergelak sinis lalu menyambung aktivitinya di ceruk terperosok itu, di bahagian tingkat teratas bangunan menara sekolah yang tak berbumbung itu. Tapi melihat tawanya, tidak terpancar sekelumit keceriaan atau kelucuan pun. Sebaliknya, apa yang dapat aku lihat pada tawanya, adalah suatu refleksi yang sangat aku kenal, sangat dekat dengan diri aku, pantulan kepedihan yang tersemat di lubuk sanubari, dalam diri aku sendiri. Tawanya itu, tawa duka. Tapi, sekurang-kurangnya, dia masih mampu tertawa saat mengalir darah merah pekat di lengannya yang tak berdosa tapi dihukum penuh sadis, sesuatu yang aku takkan termampu. Tak sakitkah dia? Hati kecil aku tertanya. Betulkah ia begitu menyeronokkan?

"Kau nak cuba, Jungjin?" Soalnya, selamba.

Aku terkelu dengan pelawaan yang tidak kuduga itu. 

"Dah, aku acah je. Aku tau kau takkan nak punya. Kau kan budak baik. Dah, kalau kau nak duduk sini, duduk diam-diam. Jangan kacau aku."

Aku tidak mengangguk mahupun menggeleng, hanya menuruti arahan gadis yang pernah menjadi teman sekelasku itu dengan patuh. Kawasan di atas bumbung ini memang luas, namun sengaja kupilih kawasan berhampiran dengannya. Mungkin aku risau akan keadaannya yang nampak membimbangkan itu. Asalnya, aku datang ke sini sebab tidak tahan. Aku rasa terperangkap, dadaku sesak sampai nak meletup. Persoalan yang sering terngiang di telingaku, 'Mungkinkah aku akan bebas andai aku melepaskan diri dari cengkaman dunia ini? Mungkinkah aku akan bebas andai kuleraikan jejak kaki di permukaan konkrit dan meniti ruang udara, terbang tanpa kehadiran sayap?'

Tapi tidak kuduga, apa yang kutemui di sini cuma Woori yang berdarah dan sibuk mengelar lengannya sendiri, sambil kelihatan mamai dan seperti minah hilang akal. Aku jadi takut. Aku rasa seperti aku faham apa yang dia rasakan. Mungkin dia kesunyian. Tapi sejujurnya kami tidak pernah berinteraksi walaupun waktu kami sekelas dahulu. Woori tidak pernah lekang daripada olesan maskara hitam yang tebal, gincu merah gelap yang pekat, sebatang rokok yang sentiasa menyala di bibirnya, dan wajah yang entah muram ataupun bengis, tak dapat kupastikan. Yang pasti, tiada sesiapa yang berani mendekatinya, melainkan pelajar-pelajar lelaki kaki perempuan yang belum kena buku dengan ruas dan cuba untuk mengayatnya. Tapi, aku pun tak tahu apa yang berlaku pada mereka. Sebab aku memang tak pernah ambil tahu. Hidup aku sendiri sudah cukup kacau untuk aku hiraukan keadaan orang lain. Dan aku sendiri sentiasa dijauhi mereka semua.

"Ahhh..." Aku toleh kembali ke arah Woori, dan mataku tebelalak melihat dia mengacah bara merah menyala dari rokoknya pada bahagian yang baru dikelar sebentar tadi.

"Kau...kau tak sakit ke?"

"Hmm...tipulah kalau aku kata tak sakit. Tapi sakit ni dapat bantu elakkan aku dari rasai kesakitan yang lagi perit yang aku tak nak rasai. So, why not?"

Aku mengangguk perlahan, faham sangat dengan apa yang disampaikannya walaupun tanpa sebarang penjelasan.

"Boleh...aku cuba?" 

Wajah cengkungnya yang berpeluh-peluh manahan sakit berubah hairan.

 

 

"Jung...mak aii, Jungjin! Apa benda kau buat ni bro?!"

Argh. Aku mendengus sendiri. Baru kali pertama aku lakukan aktiviti ini bersendirian tanpa kehadiran dan tunjuk ajar Woori, dah ada gangguan. Habislah aku kalau dia beritahu cikgu.

"Jungjin! Apa ni?! Darah...darah! Jungjin, jangan mati dulu, please." Tiba-tiba dia merengek lalu merangkul tubuh aku yang dah sedia lemah ni.

"Bro...jangan kuat sangat boleh tak? Ke kau nak aku mati sekarang jugak?"

"Tak, tak, tak." Cepat-cepat pelukan dileraikannya. Lega aku. Karang tak pasal-pasal aku dapat skandal khabar angin baru. Dah cukup bingit telinga aku dengan tohmahan tak putus-putus berkenaan abang dan kakak aku yang dah tinggalkan aku seorang diri untuk tanggung segala onar yang mereka palitkan. Okey, silap aku, kakak aku tak bersalah langsung. Abang aku yang gila, sanggup bunuh adik sendiri. Tapi kenapa la aku tak ada di sini masa tu. Kan baik kalau dia dah bunuh aku sekali. Tak adalah aku kena menghadap hari-hari dipersenda, dan terpaksa mendengar makhluk-makhluk jahanam tu perlekehkan kematian abang dan kakak aku. Mereka fikir mereka siapa nak mencaci adik-beradik dan ibu bapa orang lain? Nak mancaci dan menyalahkan aku? Tapi adakalanya, aku rasai kebenaran kata-kata mereka. Itu yang membuatkan fikiran aku bertambah kacau, dan hati aku bertambah perit.

Tidak ada sesiapa yang peduli pun. Biarlah, macam itu lagi bagus, bak kata Woori, kalau aku mati pun tak ada sesiapa yang peduli. Malah mungkin mereka lebih suka hati. Dan aku, aku akan dapat bertemu kembali dengan keluarga aku yang sampai hati semuanya pergi tinggalkan aku seorang diri. Kejam. Aku sendiri pun tidak mengerti kenapa aku harus ingin bertemu mereka kembali setelah apa yang mereka lakukan pada aku.

"Kau apa hal?!" Tanpa aku sedari, pisau lipat yang aku gunakan untuk mengukir corak-corak yang menggambarkan perasaan aku di kanvas bernafas milikku sendiri, kini berada di tangan rakan sekelas aku yang nak dikatakan rapat dengan aku, pun tak juga. Cuma taklah sampai tak pernah bertegur.

"Bagi balik. Tu aku punyalah."

"Tak nak! Kau nak bunuh diri ke apa? Kau dah gila? Bawak-bawak la mengucap."

"Mengucap? Apa benda kau cakap ni?"

Tiba-tiba lelaki yang beberapa sentimeter pendek daripada aku itu menepuk dahinya seraya tertawa kecil. "Sorry, sorry. Aku terpengaruh pulak dengan noona kat sebelah rumah aku punya gaya membebel. Dia tu, Islam. Jadi menurut ajaran dia, bunuh diri tu salah, kau tahu tak?"

"So what? Kau ingat, agama lain semua cakap bunuh diri tu betul?"

"Hah, tahu pun, habis tu yang kau nak bunuh diri jugak tu kenapa?"

"Siapa kata aku nak bunuh diri?" Dahiku berkerut, menahan marah. Marah terhadap diriku sendiri sebab dah diketemukan si mulut becok ni. Mentang-mentang dia budak pandai, banyaklah falsampah dia.

"Habis, yang cucuk-cucuk diri tu bukan nak bunuh diri?"

'Kalau senang sangat nak mati, dah lama la si Woori tu mati.' Desus hatiku sendiri.

"Dahlah, aku nak blah dulu. Kau...jangan beritahu mana-mana cikgu pulak." Aku mula menurunkan kembali lengan pakaian seragam sekolahku yang sebentar tadi disingsing ke atas, namun cepat sahaja perbuatanku dihentikan.

"Apa lagi?"

"Nanti? Kau tunggu kejap. Kira lapan puluh lima saat. Kejap ni aku datang balik. Promise?"

Apa hal aku nak promise kat dia pulak?

"Kira kuat-kuat Park Jungjin. Atau aku bagi tahu satu sekolah, kau nak bunuh diri." 

Budak ni gila.

"Aku dengar tu woi! Sesedap rasa kau je panggil orang gila 'ek."

Aik, aku fikir dalam hati pun dia boleh dengar? Memandangkan aku tidak diberi kata dua, terpaksa juga kuturutkan arahan gila budak ni.

"Aku tak dengar pun...satu...dua...tiga..."

"Empat..."

"Bagus. Lagi?"

"Lima...enam...tujuh..." Entah bagaimana, aku telahpun akur menuruti suruhannya sedang dia pergi menghilangkan diri di sebalik pintu rintangan api yang menghubungkan bangunan yang mengandungi manusia-manusia yang menyesakkan nafasku itu, dengan bumbung sekolah yang kini serasa begitu tenang lagi melapangkan. Remang petang Jumaat yang masih sedikit terang namun peliknya tidak menyilaui mata itu aku nikmati. Padahal, aku lebih senang dengan gelap pekat malam kebiasaannya berbanding pemandangan yang cerah dan menyerlahkan realiti kehidupan yang langsung tidak menyenangkan pemandangan.

"...Seratus dua puluh enam, ...seratus dua puluh tujuh..."

"Aku dah balik! Huh...hah...huh...hah..."

'Macam orang bangang.' Terlintas di fikiran aku, tapi tak sampai hati untuk aku ucapkan. Sejujurnya, aku terkejut yang dia akan muncul kembali, tercungap-cungap, dan cuma menyeringai melihat riak terkejut aku yang tidak dapat aku sembunyikan. Di tangannya, segulung kain kasa, sebuah botol kaca yang aku kenali dan...entahlah apa lagi, aku tak pasti. Satu persoalan yang bermain di fikiranku cuma, 'Kenapa?'

"Tengok ni! Wah, kau masih mengira lagi...macam ni lah! Good, bagus, bagus. Mari sini."

Tanganku ditarik perlahan dan seperti telah diperbodohkan, aku cuma menurut. Dalam benakku masih dipenuhi persoalan meletup-letup bagaikan bunga api pelbagai warna yang cuma dapat dilihat setahun sekali dari rumah aku, tapi dah bertahun tak terlihat lagi kelibat cahayanya. Biarlah, sebab aku pun lebih senang diselimuti kegelapan.

"Kau buat apa ni?" Kulihat sekeliling, kami berdua telahpun duduk bersila di lantai simen yang tidak sejuk seperti biasa, dek disinari panahan mentari.

"Balut tangan kaulah. Takkan itu pun kau tak nampak? Ayoyo."

Aku cuma tersengih sinis dengan gelagatnya walaupun dalam fikiranku telah bercambah pelbagai persoalan lain lagi.

"Ha, macam tu kan elok, senyum sikit lagi handsome. Tapi aku rasa, senyuman kau tu masih boleh diperbaik lagi. Tak apa, practice makes perfect."

Meluat pun ada aku dengan mamat ni. Seumur hidup aku ni, tak pernah ada sesiapa cakap sebanyak ini dengan aku. Aku hanya membiarkan dia menyapu ubat dan membalut lenganku.

"Kau ni pun satu, takkanlah dah berdarah-darah macam tu nak terus tutup dengan lengan baju? Kotor tau. Nanti kuman berjangkit."

"Kau peduli apa? Aku bukan kenal sangat dengan kau pun."

Dia terdiam seakan sibuk berfikir, atau merajukkah? Hingga aku dipalit sedikit rasa bersalah.

"Nama aku, Jin Taehwa. Mulai hari ni, aku kawan baik kau."

Kerutan di dahi aku makin bercambah.

"Kenapa?"

"Kau sepatutnya cakap, nama aku Park Jungjin. Mulai hari ni, kawan baik aku Jin Taehwa."

"Serius, kenapa?"

"Sebab...kau bukan sendirian." Dia menghalakan pandangannya di luas langit rembang petang yang mulai berubah jingga. Meski jawapan yang diberikannya tidak langsung menjawab persoalan aku, namun aku tidak lagi merasai sebarang keperluan untuk mendapatkan sebuah jawapan.

Aku pun turut menghalakan pandanganku pada langit petang. Anehnya, lebih daripada biasa, cahaya itu gemilang.

 

 


"Tempat pertama, Seo Jaehyung. Tahniah, Jaehyung."

Pengumuman itu disambut pelbagai bunyi-bunyian. Terutamanya, bunyi-bunyi bernada terkejut dan tak kurang omelan-omelan menyatakan rasa tak puas hati. Apa yang pelik tentang keputusan yang diumumkan, aku pun kurang pasti. Maklumlah, aku tak peduli.

"Cikgu, umumkanlah tempat terakhir. Tak sabar nak dengar, si mamat sumpahan ke atau si badut bodoh tu?"

"Alah, kau ni, mamat yang dapat nombor satu tu pun, harapkan duit bapak dia je. Kalau tak entah-entah, dia punya keputusan lagi gempak kot. Gempak kosong. Hahahah."

"Gempak kosong tu takpe lagi. Gempak sampai buat sumpahan bunuh...hei, takut aku."

"Dah tu yang kau bising lagi ni, tak takut kena panahan maut dia?"

"Adeh, ya jugak."

Aku cuma berdiam diri. Kulihat cikgu pun cuma tunduk melihat kertas-kertas ujian lain. Sama ada dia tidak mendengarnya, atau tidak mahu mengaku yang dia mendengarnya. Mungkin ada betul panggilan yang diberi pada aku tu. Kalau aku ni tak disumpah, takkanlah semua ahli keluarga aku mati macam tu saja, macam drama psiko. Tapi aku, aku masih hidup, menghela nafas yang seharusnya bukan milik aku. Hidup dalam kehinaan.

"E'eh, tak sangka Park Minha tak dapat nombor satu, kan?"

Taehwa telah pun menarik kerusi dan duduk di tempat kosong di sebelahku yang cuma ada meja tapi tiada kerusi. Tindakannya itu membuatkan aku bingung.

Selama ini tiada seorang pun yang berani duduk di tempat kosong itu. Atau lebih tepat, tiada sesiapa yang berani duduk berhampiranku. Takut terkena sumpahan maut.

"Apa, muka sikit punya handsome macam bintang ni pun kau boleh lupa ke, Jungjinnie?"

Aku beranikan diri melihat sekeliling. Banyak pasang mata yang lekat memandang ke arah kami, langsung tidak kejap, mata-mata yang menghakimi. Nafasku kembali sesak.

"Hoi, kau ni kenapa? Buat tak layan aje. Kau dengar tak aku cakap ni?"

Dia tak sedar ke? Atau buat-buat tak sedar? Dia tak takut ke?

"A...apa?"

Aku sendiri tidak mengerti, kenapa aku tidak melarikan diri dari dirinya, dan dari pandangan-pandangan ngeri itu. Mungkin aku takut. Mungkin aku takut dengan hukuman mental yang sedang mereka jatuhkan padaku, namun mungkin aku lebih takut kehilangan sesuatu yang jarang-jarang atau lebih tepat, tidak pernah aku miliki ini.

"Ya lah, Park Minha tu kan, dewi kelas kita ni. Selalunya, dialah yang dapat nombor satu, dahlah cantik, pandai pulak tu. Si Jaehyung tu, harapkan harta bapak dia je berkepuk-kepuk. Tapi yalah, mungkin dengan duit yang banyak tu dia dah drill habis-habisan dengan guru-guru tuisyen terbaik kan."

Aku terdiam, tak tahu apa yang perlu aku katakan. Mungkin sebab aku dah biasa diam. Tiada yang bercakap dengan aku pun selama ini. Apatah lagi untuk berbual-bual.

"Tapi kan, kenapa si Minha tak datang sekolah? Ish, mereka pun satu, tak baik cakap si Kwanghee tu badut la, bodoh la. Dia tu lagi kuat belajar daripada kita semua. Siapa tahu dia tu yang akan berjaya akhirnya, kan?"

Aku cuma mengangguk. Kwanghee tu yang mana satu pun aku tak tahu. Kulihat sekeliling sekali lagi. Dan pandanganku terhenti pada seorang pelajar lelaki yang sperti aku, duduk sendiri menghadap buku tanpa mendongak sedikitpun. Apa yang membezakan kami cuma, aku tidak lagi sendiri seperti yang biasa aku lalui selama ini.

"Jungjin, tangan awak dah okey?"

Aku cuma mampu membalas soalan yang tiba tak semena-mena itu dengan pandangan pelik. Taehwa cuma buat muka bodoh dan mengalihkan pandangannya.

"Saya...okey, Cikgu."

Dia mengangguk dan menepuk bahuku lembut, sebelum beredar ke arah bertentangan nun di seberang dan berhenti di meja pelajar lelaki yang senyap itu. Rasanya, cikgu kami ini memang mendengar apa yang mereka perkatakan tadi. Bila cikgu berkaca mata dan berambut keriting ini mula menjadi guru kelas kami pun, aku tidak pasti. Sebab aku tidak pernah peduli.

"Baiknya Cikgu Jo kan. Comel pulak tu. Kalau aku perempuan, mesti cair punyalah. Aku rasa si Woori dari kelas C yang terkenal dengan aura ganas dia tu pun boleh cair."

Entah kenapa, aku tergelak mendengar celotehnya yang sebenarnya, tak kelakar pun.

"Hah, kan elok macam ni, barulah kau boleh bertanding kecomelan dengan Cikgu Jo. Silap-silap si dewi Minha pun kau boleh ayat."

"Kenapa kau beritahu cikgu hah?"

"Err...wei, aku...lapar la. Kau tak lapar ke? Ada tak roti ke, biskut ke dalam beg kau tu? Aku dah nak kebulur dah ni."

Dan entah kenapa, aku pun menurut saja kehendaknya, mencari kuih karipap yang aku beli setiap hari di pintu pagar belakang sekolah. Aku tak pernah tukar menu, sebab bagi aku, aku cuma makan untuk hidup. Aku dah biasa dengan rasa yang sama. Kalau satu hari aku cuba tukar menu, mungkin aku akan ada keinginan untuk merasai pelbagai rasa baru yang lain pula. Mungkin aku akan timbul keinginan untuk hidup, untuk menaruh harapan yang tak sepatutnya.

Tapi hari ini, makananku yang sentiasa sama itu telah aku hulurkan pada Taehwa, dan sebagai ganti, dia telah membelikan aku kuih donat. Sesuatu yang baru. Walaupun aku takut, tapi desakannya telah membuatkan aku menggagahkan diri mengunyah dan menelan kuih bersadur gula itu.

 

 

"Kwanghee bodoh, Kwanghee bangang, pergilah masuk longkang."

Nyanyian sumbang itu cuma mampu dialunkan setakat sebaris itu sebelum pengalunnya dimarahi kerana kesumbangan nyanyiannya. 

"Wau, tak sangka aku akan bertemu hari dimana Jaehyung marah demi orang lain."

"Dia marah pasal budak-budak penyangak tu sumbang."

"Taklah, dia tak suka tengok budak bermulut sial tu biadap pada Kwanghee. Dia tak nak mengaku je, dia tu bukanlah se-putera hati batu yang dia berusaha tonjolkan." Taehwa cuma tersengih.

"Mana kau tahu?"

"Sebab aku dah kenal kau. Aku dah tahu, manusia ni, bukan cuma ada satu sisi. Kita tak boleh menilai orang dari imejnya kan? Lagipun, Nora Noona pun selalu cakap yang kita manusia ni, tak layak menghukum manusia lain, cuma Tuhan je yang layak menghukum kita. Nora Noona juga yang bagitahu aku, yang kita tak patut biarkan kawan-kawan kita hanyut. kalau kita hulurkan tangan pada mereka, kita pun takkan sendiri. Lagipun, Tuhan sentiasa bersama orang-orang yang sabar."

"Kau ni dah macam ahli ceramah agama pulak."

"Tulah, Nora Noona punya penangan la ni. Tapi dia kata, apa yang dia cakap tu semua benda-benda yang universal. Bila aku fikir-fikir, betul jugak. Perkara yang baik, tak salah kita ikut, kan?"

Aku cuma mengangguk.

"Lagipun, ada konsep yang dia bebelkan tu, bagi aku memang menarik jugalah. Sebelum ni, aku tak pernah pedulikan sekeliling aku. Aku tak pernah pedulikan mereka yang aku lihat seolah-olah menjauhkan diri dari perhatian. Tapi sekarang aku rasa lebih gembira."

"Jadi kau menyibuk kat aku ni, untuk menggembirakan diri kau la?"

"Tak lah, bukan macam tu. Ala, jangan merajuk pulak. Nanti bertambah comel la." Dia cuba mencuit pipi aku. Nasib baik aku dapat mengelak. Silap-silap ada yang kena penumbuk 'comel' aku.

 

 


Keesokannya, apabila aku bertandang lagi ke bumbung sekolah, dan bertemu seseorang yang bukan Taehwa, mahupun Woori, sekali lagi aku disapa kehairanan. Dia seorang gadis, berkulit putih hampir seputih gaun menggerbang separas lutut yang dipakainya. Memang terperanjat hingga aku tak terkata. Apa taknya, waktu aku tiba dan menguak pintu ke bumbung tu, aku lihat, dia sedang memanjat tembok yang menjadi penghadang antara hidup dan terbang melayang di udara. Aku rasa, cuma Superman je yang takkan mati kalau melepasi penghadang tu, atau mungkin, Superman pun terus mati. Yalah, Superman tu semua pun, bukan betul pun. Kisah khayalan. Langsung tak boleh dipakai untuk menjadi harapan buat manusia sebenar di alam nyata macam aku. Macam gadis itu.

Wajahnya yang dah sedia putih bertambah pucat apabila dia terlihatkan aku yang memang dah terkejut. Terus dia tak jadi terjun, dan berlalu pergi tinggalkan syurga peribadi aku itu yang hampir dia tukarkan menjadi neraka.

Selepas beberapa ketika dia berlalu pergi, baru aku sedar apa yang hampir berlaku. Dia hampir membunuh diri. Dan kalau dia membunuh diri dan aku yang temuinya, dah tentu aku akan dituduh sebagai pembawa sumpahan yang menyebabkan semua orang di sekelilingku mati, untuk kesekian kali.

Nanti. Kenapa itu yang aku risaukan? Sekarang ni, macam mana kalau dia dah pergi cari tempat lain untuk jalankan kehendak hatinya itu? Perlukah aku pergi mencari dia? Fikiranku berbelah bahagi.

Akhirnya, aku tidak pergi. Cuma membiarkan pengecut dalam diriku bermaharajalela.

Mungkin esok aku akan kesal.

 

 

 

"Kelas, hari ni, kamu semua dibenarkan balik awal. Cikgu ada hal sikit lah."

"Hal apa, Encik Jo?" Sewaktu semua pelajar lain menerima khabar gembira itu dengan suka hati tanpa sebarang persoalan, si Taehwa yang mengangkat tangan dan bertanya soalan keramat itu dengan wajah penuh tulus, tak mengerti. Bukankah semua orang akan gembira untuk diberi pulang awal? Tapi rupanya masih ada orang sebegini.

"Ahh, sebenarnya..." Riak wajah guru muda kelas kami itu berubah sedikit dan dia mendekati meja kami. Semenjak Taehwa mula bercakap dan datang duduk di sebelah tempat dudukku, dari hari ke hari, kuperhatikan mata-mata yang menghukum aku tanpa suara semakin berkurangan. Mereka semakin tak mempedulikan kami lagi.

"Sebenarnya apa, Cikgu?"

"Minha, kamu kenal dia, kan?"

Taehwa mengangguk. Aku cuma diam.

"Dia bunuh diri semalam, petang."

Aku ternganga. Mungkinkah, gadis itu?

"Jadi, dia dah..." Taehwa tidak melengkapkan ayatnya. Jiwaku dirasuk kekesalan yang teramat.

"Tak, dia tak mati. Kwanghee ternampak dan sempat selamatkan dia. Kwanghee pun masuk hospital jugak. Tapi keadaan mereka stabil, jadi jangan risau."

"Wah, dahsyatnya. Tapi Alhamdulillah mereka selamat." Pandanganku berkerut melihat Taehwa mengucapkan bait-bait yang tidak aku fahami. Tapi dapat aku agak dari mana dia pelajarinya.

"Tapi Cikgu, kenapa dia nak bunuh diri?"

"Yang saya dengar...jangan bagi tahu siapa-siapa tahu?" Cikgu memanggil kami supaya mendekat tanpa bersuara, hanya dengan gerak tangannya dan dia perlahan memberikan jawapan kepada persoalan Taehwa.

"Omaigosh, kesiannya. Teruknya bapa tiri dia tu, ish, binatang pun tahu sayangkan anak. Kenapa la dia nak bunuh diri? Saya sanggup kahwin dengan dia tau."

"Taehwa, diam-diam sikit tahu."

Dia menutup mulut becoknya dengan telapak tangan. Aku hampir tertawa, kalau tak dihalang peristiwa dahsyat yang menimpa rakan sekelasku yang tak pernah aku kenali itu.

Tak sangka, masih ramai orang yang menderita di sekeliling aku dan mereka malah lebih nekad untuk mencari jalan keluar yang zahirnya kelihatan mudah, tapi entahlah...

"Okeylah, saya nak pergi tunggu bas ni. Kamu baliklah awal. Duduk kat sekolah lama-lama pun buat apa kan, kalau menambah tekanan?" Cikgu cuma tersenyum pada kami, entah kenapa aku rasakan dia tujukan kata-kata itu pada aku.

"Cikgu, nanti dulu. Err, saya bawa kereta, biar saya hantarkan Cikgu."

"Betul ke ni, Jaehyung? Terima kasih."

 

 

 

"Terharu aku tengok si Jaehyung tu dah semakin ambil berat pada orang sekeliling dia." Taehwa memecah kesepian di atas bumbung sekolah waktu aku leka memerhatikan langit petang dengan pelbagai persoalan bersarang di kepala. Walaupun dia muncul tiba-tiba, aku dah tak terkejut lagi. Dah terbiasa.

"Kau ni memang tak boleh tengok orang senang sikit, ek?"

"Tapi aku faham kenapa. Selama ni pun tak ada orang yang pedulikan dia, kalau ya pun, cuma pedulikan duit dia aje lah. Kat belakang, huh, mengata bagai. Aku tahu, dia pun mesti tahu."

"Habis tu?" Nampak gayanya dia buat tak endah soalan aku. Akulah yang kena melayan topiknya. Tak apa lah, sekurang-kurangnya, topik tu bukan berkenaan diri aku.

"Tapi Cikgu Jo tu yang selalu beri perhatian kat dia, dan tolong ajar dia tanpa minta balasan. Kau tahulah, orang kaya macam dia tu, mak bapak dia dah tentu terlebih sibuk, jarang ada kat rumah pun. Aku rasa kalau dia nak masuk tuisyen pun, dia yang kena uruskan semuanya sendiri."

Aku mengangguk dan kembali memandang langit.

"Dia tu, kiranya, macam kau lah."

Fikiranku terhenti seketika mendengarkan bait itu.

"Tapi dia tak bersendirian. Kau pun tak sendiri. Kau tahu, kan?"

"Boleh tak aku tanya, kenapa kau selalu nak lepak dengan aku?"

"Lah, kita kan kawan."

"Tapi kenapa? Kenapa tiba-tiba kita kawan? Sebab kau ingat aku nak bunuh diri? Kau kesian kat aku?"

"Hmm...sebab...kau dan aku, macam bintang. Kau tengok, sekejap lagi, langit ni akan bertukar gelap. Cuma bulan dan bintang yang terangi dan hiasi langit kosong yang sunyi sepi tu. Tapi satu cahaya takkan cukup untuk terangi keluasan yang tak bertepi itu..."

"Dah, sudah-sudahlah kau berfalsampah ni. Kau ingat aku faham ke semua tu? Aku bukan pelajar top ten dalam kelas, macam kau. Aku ni antara pelajar corot."

"Kau bukan corot, kau cuma selalu tak mahu tumpukan perhatian. Dah lama aku perhatikan kau. Cuma aku takut untuk berubah, aku takut untuk dekati mereka yang nampak sukar didekati. Tapi,...mungkin hati aku terbuka tengok Cikgu Jo yang tetap ambil berat pada pelajarnya yang selalu dipulaukan atau memulaukan diri dan selama ini tak pernah pedulikan kewujudan dia di depan kelas membebel sorang-sorang, macam Jaehyung, macam Kwanghee, macam kau. Hati aku pun berubah tengok Nora Noona yang melayan aku macam adik dia sendiri walaupun aku ni berlainan agama dari dia. Aku pun, selalu rasa sunyi walaupun mulut aku ni becok. Tapi aku sedari yang aku dapat terus bertahan, terus positif, sebab adanya mereka, yang tak biarkan aku sendiri. Kau tengok Kwanghee. Dia jadi ambil berat pada orang lain...mungkin sebab Jaehyung tolong dia. Dan Minha, terselamat daripada cengkaman maut, mungkin sebab Kwanghee tergerak untuk tolong orang lain pula. Kita semua ni, bagaikan rantaian bintang di langit yang takkan pernah berpenghujung. Saling memerlukan untuk menerangi malam yang gelap."

Panjang lebar sungguh ayat-ayat Taehwa. Namun kali ini, aku dapat rasakan keikhlasan dan kebenaran kata-kata dia tu. Entah kenapa, aku rasa seakan ada retakan dalam diri aku, retakan yang ingin terus menjalar, kembang, merebak dan pecah berderai, biar berselerak semuanya di lantai. Tapi cuba kutahan ledakan perasaan itu. Nanti si Taehwa ni ingat aku gila pulak.

"Tapi kau tak takut ke? Takkan kau tak tahu pasal aku?"

"Apanya? Yang abang kau bunuh kakak kau dan bunuh diri? Dan lepas tu, mak kau heart attack dan meninggal dan bapa kau pun gantung diri sebab terlalu sedih? Apa salah kau pun? Yang aku dengar, masa tu kau sekolah jauh dari keluarga kau. Kau sendiri, mangsa keadaan. Siapa yang tak sedih kalau keluarga sendiri hilang macam tu saja? Dah tu aku nak takut pasal apa pulak?"

Lega aku melihat sebutir bintang mulai menjelma di dada malam, supaya ada alasan untuk aku tumpukan penglihatanku padanya. Tak mahu aku tertangkap menangis, buat malu saja.

"Terima kasih, Taehwa." Akhirnya, dapat juga kata-kata itu keluar dari ronggaku, walaupun sekadar keluar sebagai bisikan lirih.

"Sama-sama kasih, kawan." Dapat aku bayangkan sengihannya yang membuatkan mata kecilnya itu tinggal macam garisan melengkung saja.

"Aku cuma nak kau tahu, yang kau tak pernah dan takkan pernah bersendirian." Dia memegang tanganku kemas, dan aku mengeratkan genggaman tangannya.

"Lepas ni, jom pergi rumah Nora Noona. Dia jual keropok lekor. Aku selalu dapat free je. Sedaaap."

"Apa benda tu?"

"Tu lah kau kena ikut aku pergi, baru lah dia bagi lebih lagi kat aku. Kalau kau tak nak makan pun tak apa. Hahahah."


Mentari menyusup pergi, berganti malam, sambil kami beredar meninggalkan kawasan sekolah. Namun bagi aku, malam itu begitu cerah. Bintang-bintang menyinar lebih terang daripada biasa. Aku kini tahu apa yang ingin aku lakukan.

 

 

 

Pintu bumbung sekolah aku tolak.

"Oh, Jungjin, kau nak join aku lagi ke? Aku rasa, tak payah lah. Kau kan sekarang dah ada kawan baru, si pendek tu, kan?"

Pisau lipat yang terbuka di atas lantai itu kuangkat dan kuselaputi dengan tisu sebelum kucampakkan ke dalam beg sandangku. Rokok yang setia menghamburkan kepulan asap itu kuceraikan daripada bibir dan jemarinya.

"Eh, kau kenapa ni? Bagi balik!" Dia membentak. Tapi aku cuma membalas muka bengis yang dibuat-buatnya untuk melindungi kesunyian dirinya itu dengan senyuman.

"Kau gila ke apa?" Dia cuba mencapai semula puntung rokok itu, namun keadaan lengannya yang sedang berlinangan darah, tambahan pada ukiran-ukiran lamanya, menyukarkan pergerakan gadis itu. Setelah aku matikan nyalaan membara di puntung itu, dengan selamba aku mencampakkannya ke luar tembok. Dia nyata tercengang dengan tindakan luar biasaku, yang takkan sekali-kali dilakukan Park Jungjin, maksud aku, Park Jungjin yang lama. Yang percaya dirinya sendirian.

"Jom, Woori." Aku hulurkan tangan padanya, tapi tangan itu tak bersambut. Teringat pula aku pada Nora Noona jiran si Taehwa, yang turut enggan menyambut tanganku tapi untuk alasan yang berbeza. Katanya, agamanya melarang perempuan dan lelaki yang bukan keluarga terdekat untuk bersentuhan. Tapi aku yakin, sebab Woori enggan menyambut tanganku adalah berbeza sama sekali, dan lebih kepada sebab kenapa aku sukar menerima kehadiran Taehwa pada awalnya.

Tapi bak kata Taehwa, kita semua bagaikan rantaian bintang di langit yang takkan pernah berpenghujung. Saling memerlukan. Aku takkan ulangi kesilapan yang aku lakukan tempoh hari, yang nyaris-nyaris mengorbankan nyawa.

"Kau tak nak bangun, tak apa. Tengok ni apa aku dah bawa. Sekarang kau duduk diam-diam. Biar aku balut tangan kau."

Kedua-dua matanya yang seperti biasa, diselaputi maskara hitam tebal itu terbeliak, dan dia tidak bersuara sepatah pun. Tapi dia juga tidak menolak. Seperti juga yang pernah aku lakukan.

Jauh di sudut hati, aku pasti, tiada sesiapa yang mahu bersendirian sungguhpun mereka melafazkan yang sebaliknya.

Aku pun takkan membiarkan dia sendiri. 

 

TAMAT

 

~~~

bonus:

ini lah jungjin dan taehwa :) (taehwa=rambut merah,jungjin=rambut cokelat xD)

sekian.

 

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!

Comments

You must be logged in to comment
sunheeIR #1
Sempoi dan menarik bahasa. Haha, agak janggal bila baca fic yg akak tulis. Biasanya bi.. tapi tahniah. Percubaan yg baik.
nimbus
#2
Chapter 1: Woah. This is the one and only malay fic I managed to read to the end. Definitely my fav!
...agak awkward nak cakap melayu kat sini tapi pape pun style penceritaan senang nak bawak and the feels, man! I felt the emotions and damn, I was attached to the characters, too- though I don't know them. Aku suka semua benda dalam ni (sorry if the 'aku & kau' use offends you). Especially bila ada selit sikit-sikit islamik.
My fav part is when woomi did not take jungjin's hand and then jungjin remembered that nora didn't, either. but for a different reason.
I wanna keyboard smash you but that would be uncool of me. but damn, the feels, man! ;o;