Kerongsang

Description

Dijermahkan oleh kisah sebenar. 

Foreword

Aku berjalan mundar-mandir kerana dibantai kesedihan di luar bilik pembedahan. Sesekali jari-jemariku memicit-micit dahi, kononnya dapat mengurangkan rasa sakit kepalaku. Hatiku berdebar-debar mengikut alunan emosi yang melandaku. Bibirku tidak berhenti berkumat-kamit dengan bacaan ayat-ayat suci. Aku melihat sekelilingku dengan perasaan yang sangat gelisah.

 

Sudah lapan jam aku dan Abang Hafiz menunggu di luar bilik pembedahan. ”Bagaimanakah keadaan Kak Iza.” bisikku di dalam hati. Kak Iza ialah kakakku yang sulung. Abang Hafiz ialah abang iparku. Kak Iza sedang menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi di dalam rahimnya. Selama ini, kak Iza telah mengandung di luar rahim. Setiap bulan, dia harus pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan kandungannya. Abang Hafiz kelihatan sangat bimbang. Tangannya bertalikan tasbih untuk berzikir. Kasihan aku melihat abang iparku itu.

 

Kak Iza sedang bersabung nyawa di dalam bilik pembedahan dan yang lebih pahit lagi inilah zuriat yang ditunggu-tunggu oleh mereka setelah sepuluh tahun berumahtangga. Fikiran Abang Hafiz pasti bercampur-aduk, sama ada dia harus gembira di atas kelahiran anaknya yang pertama ataupun

sengsara melihat keadaan isterinya yang akan melahirkan puteri mereka itu. ”Adik, abang risau kalau...kalau...Kak Iza...” Sebelum Abang Hafiz sempat menghabiskan kalimahnya aku terus mencelah. ”Abang! Tolong jangan berfikiran seperti ini. Adik mengerti perasaan abang tetapi adik mohon bang, kita harus berfikiran positif,” ujarku dengan linangan air mata yang mengalir ke pipi lalu jatuh satu persatu ke bajuku.

 

Peritnya apabila aku mengimbas kembali waktu Kak Iza sedang mengandung, setiap kali

dia hendak berjalan pasti aku harus memimpinnya kerana takut dia tergelincir dan keguguran. Dia selalu mengalami tumpah darah tetapi nasibnya baik tidak ada apa-apa yang terjadi dengan kandungannya. Lamunanku tenggelam dalam kemuraman suasana. Aku tersentak daripada lamunanku tatkala bahuku ditepuk perlahan oleh seorang wanita yang tidak aku kenali. Mata redupnya menjamah mesra wajahku.

 

Pada saat itu, Abang Hafiz tidak kelihatan di sampingku. Wanita itu berpakaian seragam putih beserta tudungnya yang kelihatan begitu bersih dan bercahaya. ”Adik...dah masuk waktu Maghrib ini, marilah kita solat bersama.” suara lunak wanita itu memukul gendang telingaku. Aku hanya mampu mengangguk lalu menyusulinya ke ruang solat. Dalam perjalanan, aku seperti tertarik dengan kerongsang yang dipakainya, sepertinya aku pernah melihat kerongsang itu sebelum ini.

Tapi di mana ya. Setibanya di ruang solat aku terus mengambil wuduk lalu menyarungkan telekung.

 

Solatku kali ini dihujani dengan air mata sehingga membasahi telekungku. Aku benar-benar bermunajat. Selepas memberi salam kedua, aku melihat sekelilingku. Hairan! Tiada orang di ruang solat itu. Aku hanya bersendiri. ”Di mana agaknya kakak tadi.” bisikku di dalam hati. Aku tidak terlalu memperdulikan untuk mencari wanita itu. Fikiranku hanya tertumpu tentang keadaan Kak Iza. Dengan langkah kaki yang berat, aku menuju ke bilik pembedahan. Dalam perjalanan, aku seperti terdengar orang berbisik di telingaku mengatakan “selamat tinggal, dik.’ Bulu romaku berdiri tegak tetapi aku tetap meneruskan langkah kakiku yang amat berat sekali.

 

Di luar bilik pembedahan, aku terdengar Abang Hafiz sedang melaungkan azan. Pintu bilik pembedahan sudah terbuka. Syukur Alhamdulillah, Kak Iza telah melahirkan. Aku segera melangkahkan kaki menuju ke bilik itu. Namun langkahku terhenti apabila aku terpandang sekujur tubuh yang diselimuti selimut putih ditolak keluar dari bilik itu. Aku terjelepuk. Apa yang aku lihat seperti petir memantak jantung hatiku. Nama Kak Iza tiba-tiba terkeluar dari bibirku. Kak Iza! Jangan tinggalkan adik. Mataku bergenang berkaca-kaca. Telaga jiwaku kosong dan kering. Abang Hafiz hanya membatukan dirinya. Aku tahu hatinya juga diikat kehampaan dengan peristiwa yang menyayat hati ini. Pandangan Abang Hafiz kosong memerhatikan bayi yang masih di dalam dakapannya.

 

Untuk seketika aku mengagahkan diri ini untuk mendekati katil yang ditolak oleh jururawat itu. Aku mendekati Kak Iza lalu menyelak selimut supaya aku dapat melihat wajah Kak Iza untuk kali yang terakhir. Walaupun tubuh Kak Iza kaku namun wajahnya tenang setenang air di kali.

Aku teringat kata-kata ustazku bahawa wanita yang meninggal dunia semasa bersalin dianggap mati syahid dan merupakan calon ahli syurga. Sesungguhnya Kak Iza memang layak untuk berada di situ. Semasa hidupnya Kak Iza merupakan seorang anak dan isteri yang soleha.

 

Sebelum aku menyelimuti tubuh Kak Iza kembali, aku terbayang kerongsang yang digunakan oleh wanita yang mengajakku bersolat tadi. Kini baru teringat bahawa kerongsang tersebut serupa dengan kerongsang yang dihadiahkan oleh Abang Hafiz sewaktu dia tahu Kak Iza mengandung. Air mataku terus bergenangan tanpa henti. Kedua-dua bahuku terenjut-enjut menahan sebak. Namun aku bersyukur kerana Allah telah memberikan kesempatan kepadaku untuk bertemu dengan Kak Iza sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pusara Kak Iza dipenuhi dengan bunga. Aku melangkah berat untuk meninggalkan Kak Iza seorang diri di situ. Kak Iza, adik akan berkorban untuk Kak Iza. Adik berjanji akan membesarkan puteri Kak Iza seperti anak adik sendiri. Selamat tinggal Kak Iza.

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet