005 Langkah bersyarat

Ouroboros Mata Biru *hiatus

Langsir di tingkap diselak buka. Hujan di luar menitis halus, renyai-renyai. Irene menunggu di ruang tamu. Telefonnya di atas meja kecil tidak berbunyi. Hati kecil Irene tertanya-tanya samada Wonwoo sudah selesai dengan tugasannya atau belum. Pandangan Irene beralih lihat pintu utama beberapa kali, juga tertanya-tanya, bila Jin akan pulang.

Tok tok

Irene pantas bangkit sebaik mendengar ketukan di pintu. Jin berdiri di hadapan pintu dalam keadaan basah lenjun dan beberapa kesan merah di baju dan tangannya.

“Abang… apa yang terjadi?” soal Irene hairan sebelum dapat mengaitkan Jin dengan Jungkook.

Jin tidak menjawab sebalik melangkah masuk usai menanggalkan kasut. Irene berlari masuk ke dalam bilik, mencapai tuala kering dari dalam almari.

“Dia bertemu dengan Jeon Jungkook tu? Adakah dia bersama Jeon Jungkook ketika Wonwoo sedang melaksanakan misinya?” Irene menggigit bibir. Agak kecewa atas kelalaian Wonwoo.

Tuala dicapai dan Irene berlari semula mendapatkan Jin di ruang tamu.

“Abang, kenapa ni? Lama saya tunggu abang” Irene mengelap rambut lelaki itu menggunakan tuala tadi.

Wajah Jin pucat.

“…Dia bukan Jisoo…”

Jin memegang tahan tangan Irene. Gadis itu tersentak. “Maaf. Abang tak sempat beli apa-apa di pasaraya tadi” ujar Jin, dalam nada rendah dan lemah.

“Tak mengapa. Sekarang ni, abang kena keringkan badan dulu. Nanti bimbang abang akan demam selesema. Apa kata abang mandi air panas, saya akan setkan suhu di bilik mandi”

Jin membiarkan Irene. Mindanya kosong.

“Jisoo” Jin memanggil.

“Ya saya. Sekejap. Saya akan ambilkan air suam untuk abang. Muka abang nampak pucat” Irene berlari ke dapur pula, mengambil segelas air suam.

“Kenapa baju abang kotor dengan darah? Abang kena langgar ke apa?”Irene pura-pura risau sambil menghulurkan gelas air tersebut.

Jin menggeleng lemah. Air suam itu dihirup sedikit. “Seseorang yang abang kenal. Kena tembak”

“Kena tembak?!” sengaja Irene meninggikan sedikit suara, pura-pura terkejut.

“Abang penat sangat. Abang tak tahu kenapa abang rasa lemah” Jin duduk di atas sofa.

“Saya rasa abang patut pergi mandi. Segarkan badan. Sementara tu saya akan masak sesuatu”

Jin mengangguk lemah.

/////////////////

Jarinya mengetuk meja, memikirkan sesuatu, juga menunggu seseorang. Siang mula melabuhkan tirai. Hujan mula berhenti turun. Jalan masih basah. Di luar kafe, masih terdapat masyarakat yang mengerumuni kawasan kejadian. Kedengaran ketikan kamera polis mengambil gambar tempat kejadian. Kafe tersebut ditandakan dengan pita ‘dilarang lintas’ berwarna kuning. Beberapa pengawal polis menjaga di luar kawasan yang ditanda dengan pita.

“Detektif Byun”

Baekhyun menoleh pandang rakan setugasnya yang memangggil. “Laporan bedah siasat dah keluar. Dua butir peluru dijumpai. Dua-dua di bahagian jantung. Masa kematian dalam jam 4 petang. Angggaran tempoh ditembak sehingga saat kematian tak sampai seminit”

Detektif Lee menghulurkan laporan tersebut kepada Baekhyun. “Penembak professional” komen Baekhyun sebaik membaca laporan tersebut.

“Pekerja kafe kata, mangsa bertemu dengan seorang lelaki di kafe ni. Dia ditembak semasa tengah keluar” lapor Detektif Lee lagi.

“Lelaki? Siapa? Periksa cctv. Kita perlu dapatkan keterangan lelaki tu” arah Baekhyun. Lee Dokyeom menggangguk.

Baekhyun lalu bangkit berdiri dari tempat duduk. “Kau nak kemana?” soal Dokyeom pula.

“Aku nak ke Incheon. Jumpa dengan keluarga mangsa. Mereka tidak dapat dihubungi dengan telefon. Aku bimbang sesuatu berlaku. Mungkin mangsa ada dendam atau sesiapa yang mungkin disyaki ada motif untuk bunuh mangsa” jelas Baekhyun.

/////////

Irene keresahan. Sesuatu yang dirasakan buruk akan berlaku. Irene tidak duduk diam, mundar mandir berjalan dalam biliknya. Sesekali dia mengerling lihat ke arah pintu walaupun pintu tersebut sudah ditutup kunci. Hatinya berbolak balik memikirkan sesuatu. Keresahan, Irene mencapai telefon pintarnya, mendail telefon seseorang.

Lama dia menunggu sebelum orang yang ditelefon menjawab panggilan tersebut.

“Kenapa? Aku dah selesaikan misi tu” suara di sebalik talian menyahut.

Irene menggigit. “Ya aku tahu. Tapi kenapa kau selesaikan misi masa dia berdekatan Jin”

“Yah, kau patut berterima kasih. Aku hapuskan budak tu sebelum sempat dia dedahkan rahsia kau.” kedengaran Wonwoo keras.

“Apa maksud kau?” Irene menyaup rambutnya yang panjang tidak diikat ke belakang.

“Aku nampak mereka berbual sesuatu di kafe. Kemudian Jin keluar dari kafe. Budak lelaki tu menahan Jin seperti ingin memberitahu sesuatu. Aku hapuskan dia tepat pada masanya”

“Tapi sekarang Jin ketakutan. Macam mana kalau lepas ni dia mula curiga dengan aku? Macam mana aku nak hapuskan dia pula?” nada Irene menahan marah. Dia bimbang juga jika dia menjerit marah, Jin yang tingggal serumah dengannya akan mendengar.

Irene dengar keluhan berat Wonwoo di hujung talian. “Itu misi kau. Yang penting aku dah buat kerja aku”

“Kau sekarang mencurigakan. Adakah kau sengaja tembak budak tu depan Jin supaya lepas ni Jin lebih berhati-hati? Yah, kau cuba nak lindungi Jin ke?”

Irene tidak mendengar sebarang balas dari Wonwoo. “Aku buat ni sebab ayah yang suruh. Kau… jangan jadi bodoh”

“Aku boleh percayakan kau? dia tu..”

Wonwoo mematikan talian, meninggalkan Irene dalam keadaan geram.

“Haish dia ni” Irene menjeling geram pada telefonnya lalu teringat akan masakannya yang masih di atas dapur. Kemudian Irene berlari keluar ke dapur, menyediakan hidangan makan malam.

Selang beberapa minit, Irene mendekati bilik tidur Kim Seok Jin.

“Abang” Irene memanggil seraya mengetuk pintu bilik tersebut. “Makan malam dah siap. Abang kena makan. Abang belum tidur kan?”

Tidak sampai beberapa saat, Jin tercunguk di depan pintu setelah membuka pintu. Sempat lelaki mengukirkan senyuman. Rambutnya masih basah, dan bau sabun masih melekat di badan. Irene membalas senyumannya, menyangkakan bahawa lelaki itu sudah kembali biasa.

“Duduk. Saya ambilkan sup untuk abang” Irene menuangkan semangkuk sup untuk lelaki itu dan semangkuk untuk dirinya.

Jin mencapai sudu yang sudah tersedia di atas meja, mengacau sup yang dituang oleh Irene itu.

“Jisoo masak? Sup apa ni?”

Irene menggangguk. “Saya masak sup sayur sahaja sebab tu saja bahan yang masih ada. Saya ada tambah kacang merah dalamnya”

Jin yang dari tadi menunduk, cuba menyejukkan supnya, lalu mendongak pandang Irene. Gadis itu masih belum mengambil tempat duduknya.

“Kacang merah?” soalnya.

“Ada beberapa kacang merah, jadi saya masukkan sekali. Abang kena makan sementara ia masih panas” Irene lalu mengambil tempat duduknya dan mencapai sudu.

Jin tersenyum sinis. “Abang lupa yang kamu suka makan kacang merah”

Irene pana seketika sebelum berpura-pura teruja. “Abang lupa? Abang mana boleh lupa makanan kegemaran saya”

Jin ketawa kecil. “Jisoo, kamu ingat? Mama selalu buatkan kamu bubur kacang merah sampai abang merajuk dari mama. Mama selalu masaknya sampai abang dan papa naik muak. Ada satu hari tu, papa bawa abang senyap-senyap ke kedai bubur abalone

/////////////////////

Wonwoo mencapai tuala mandi sebelum perasan akan telefonnya yang bergetar di atas katil. Wonwoo menjawab panggilan yang diterima.

“Kenapa? Aku dah selesaikan misi tu”

“Ya aku tahu. Tapi kenapa kau selesaikan misi masa dia berdekatan Jin” kedengaran suara Irene di talian.

“Yah, kau patut berterima kasih. Aku hapuskan budak tu sebelum sempat dia dedahkan rahsia kau.” nada Wonwoo keras.

“Apa maksud kau?”

“Aku nampak mereka berbual sesuatu di kafe. Kemudian Jin keluar dari kafe. Budak lelaki tu menahan Jin seperti ingin memberitahu sesuatu. Aku hapuskan dia tepat pada masanya”

“Tapi sekarang Jin ketakutan. Macam mana kalau lepas ni dia mula curiga dengan aku? Macam mana aku nak hapuskan dia pula?” Irene kedengaran seperti menahan marah. Wonwoo menggigit bibir sebelum melepaskan satu keluhan berat.

“Itu misi kau. Yang penting aku dah buat kerja aku”

“Kau sekarang mencurigakan. Adakah kau sengaja tembak budak tu depan Jin supaya lepas ni Jin lebih berhati-hati? Yah, kau cuba nak lindungi Jin ke?”

Tuala yang dipegang, disangkutkan atas bahu. “Aku buat ni sebab ayah yang suruh. Kau… jangan jadi bodoh”

“Aku boleh percayakan kau? dia tu..” Wonwoo mematikan panggilan tersebut dan mencampak telefon di atas katil. Pandangan matanya suram. Wonwoo bergerak keluar dari bilik, menuju ke bilik air. Sementara itu, anak muda itu melihat neneknya yang sedang mengelap sesuatu di ruang tamu. Senapang.

“Nenek? Apa nenek buat dengan senapang tu?” soalnya.

“Kau tak nampak ke? Kau yang guna senapang ni masa hujan? Nenek nak pastikan benda ni tak rosak” balas neneknya tidak memandang Wonwoo.

“Saya? Saya yang guna?” Wonwoo pana seketika. Memori saat dia menembak Jungkook seolah hilang dari ingatan. “Bila?”

////

Baekhyun menunduk memberi hormat kepada seorang wanita separuh umur yang memakai baju hitam. Berkabung.

“Saya ucapkan takziah atas kematian mangsa” ujarnya sambil mengeluarkan lencana identiti polisnya. “Detektif Byun Baekhyun polis cawangan Seoul. Boleh kami dapatkan keterangan puan tentang anak puan?”

Puan Jeon mengangguk lemah. Matanya bengkak merah. Hujung lengan bajunya basah kerana digunakan untuk mengelap air mata.

“Puan, ambil ni” Baekhyun prihatin menghulurkan sehelai sapu tangan. Huluran tersebut disambut baik.

“Jadi puan tahu anak puan ke Seoul?” Baekhyun memulakan setelah dia dan wanita itu duduk di tempat selesa.

“Saya tahu. Dia bermalam di rumah kawannya. Tapi saya tak sangka dia akan jadi sebegini” nada ibu Jungkook agak sebak.

“Dia selalu ke Seoul?”

Ibu Jungkook mengangguk.

“Puan kenal semua kawannya yang berada di Seoul.”

Sekali lagi ibu Jungkook mengangguk. “Mereka selalu juga datang makan di kedai makcik”

“Mangsa ada bermusuh dengan sesiapa?” Baekhyun merujuk Jungkook sebagai mangsa.

“Siapa yang bermusuh dengan Jungkook? Anak saya tu baik orangnya. Dia selalu tolong orang sampai tak sedar dirinya sendiri tu kadang dipijak oleh orang. Dia yang selalu teraniaya” nada Puan Jeon sebak campur geram.

“Tapi…”

“Tapi?”

“Ada seorang lelaki baru keluar dari penjara. Dia ada jumpa anak saya kelmarin” Ibu Jungkook, membuka cerita, teringat akan peristiwa kelmarin, di mana dia melihat Jungkook bertemu dengan Jin di dalam hujan.

“Seorang lelaki bekas banduan?” soal Baekhyun mendapatkan kepastian. Buku nota kecilnya seraya dikeluarkan bersama sebatang pen. “Mak cik kenal?”

“Kenal. 10 tahun dia dalam penjara. Dia…” Puan Jeon merapati Baekhyun. “..bunuh ibu bapanya sendiri”

“Nama dia?”

“Kim Seok Jin”

Baekhyun laju mencatat nama itu.

“Macam mana mangsa dan lelaki bernama Kim Seok Jin ini berkenalan?”

“Dia pindah ke sini bersama keluarganya, dalam 11 ke 12 tahun yang lepas. Dulu, dia memang jahat. Selalu ponteng sekolah dan saya selalu nampak dia merokok di belakang kedai. Saya yakin dia tentu berkawan dengan orang-orang jahat juga. Selepas nenek mereka meninggal, keluarganya berpecah belah, sehinggalah dia bunuh ibu bapanya sendiri. Saya dah larang Jungkook supaya jangan berkawan dengan dia, tapi adik perempuan dia sebaya Jungkook. Setelah 10 tahun masuk penjara, kelmarin saya nampak si Seok Jin berjumpa anak saya”

Baekhyun tekun mendengar dan mencatat kata kunci yang penting.

“Adiknya pula?” Baekhyun mengajukan soalan yang mana difikirkan memainkan peranan dalam kes ini yang dikenalpasti sebagai kes pembunuhan.

“Adik dia dah larikan diri ke Seoul. Nama dia Kim Jisoo. Adik dia pun sama, Nampak macam baik tapi macam orang gila. Dia pernah duduk rumah saya dulu, tapi kemudian dia lari. Masalah keluarga dia susah nak jelaskan. Rumit” Puan Jeon mengeleng-geleng apabila teringat segala masalah yang pernah berlaku semasa Jisoo di rumahnya.

“Dia rapat dengan Jungkook? Puan…”

Telefon Baekhyun yang disimpan dalam jaketnya bergetar. Sesi soal jawabnya dihentikan seketika, Baekhyun menjawab panggilan tersebut. “Sekejap ya”

“Ya detektif Lee, bagaimana keadaan di sana?”

“Kau masih di Incheon?. Aku dah lihat cctv kafe dan kami baru selesai melakukan pengimbasan wajah. Lelaki itu bernama Kim Seok Jin, dia bersama mangsa sehingga pihak ambulans datang lalu dia beredar dari kawasan kejadian” lapor Dokyeom.

Baekhyun memandang nama yang dicatat dalam buku notanya. Kim Seok Jin. Baekhyun lalu memandang wajah Puan Jeon yang berada di depannya.

“Kenapa encik polis?” soal wanita itu. Riak wajah Baekhyun lain macam.

“Detektif Lee, hantar gambar lelaki tu pada aku. Sekarang” tegas Baekhyun sebelum mematikan talian.

“Puan, saya perlukan pengesahan puan. Puan ingat lagi wajah lelaki bernama Kim Seok Jin ni?” nada Baekhyun serius.

“Saya ingat!”

Seraya itu, telefon Baekhyun bergetar lagi, menandakan satu pesanan baru diterima. Segera Baekhyun memuat turun gambar melalui pesanan yang dihantar rakan setugasnya lalu ditunjukkan kepada wanita itu. “Lelaki ini ke? Kim Seok Jin yang dimaksudkan?”

Puan Jeon menggangguk laju. “Betul. Ini Jin” jawabnya jujur.

“Puan tahu dia di mana sekarang?”

“Kenapa?” Puan Jeon pula keresahan dengan tingkah laku polis di depannya. “Dia pembunuh Jungkook?” matanya membesar. Sapu tangan dipegang tadi digenggam kuat.

“Pihak kami masih perlu menyiasatnya lagi, tapi buat masa ini, kami perlukan keterangan Kim Seok Jin sebab dia bersama mangsa ketika mangsa ditembak” ujar Baekhyun jujur.

“Lelaki tu cuba nak bunuh anak aku?” Puan Jeon seperti kehilangan jiwa. “Anakku~!!” airmatanya mengalir.

“Puan, kami tak dapat sahkannya lagi tapi sekarang kami hilang jejak Kim Seok Jin. Puan tahu siapa yang mungkin dia kenali di Seoul?”

“Adiknya. Dia ke Seoul mencari adiknya” Puan Jeon cuba menenangkan diri.

“Adiknya yang puan sebutkan tadi? Kim Jisoo tu?”

Puan Jeon menggangguk. “Mereka ada rumah di Seoul. Saya suruh dia cari adiknya di Seoul”

“Puan tahu alamat rumah mereka di Seoul?”

Kali ini ibu Jungkook menggeleng. Baekhyun laju mendail telefon Lee Dokyeom semula. “Detektif Lee, cari alamat Kim Jisoo di Seoul. Kim Jisoo adik perempuan Kim Seok Jin tu” Baekhyun lalu bangkit berdiri. “Puan terima kasih atas kerjasama yang diberi. Saya perlu kembali ke…”

“Sim Gok Ro” Puan Jeon menambah seraya menghentikan langkah Baekhyun di depan pintu.

“Sim Gok Ro?” soalnya. Panggilannya masih bersambung.

“Saya ada jumpa beberapa tiket bas dalam poket seluar anak saya. Tiket bas ke Sim Gok Ro. Saya dah lama syak anak saya pasti berjumpa dengan budak perempuan tu, tapi bila saya tanya Jungkook kata dia tak pernah berjumpa dengan Jisoo”

“Yah, kau dengar kan?” Baekhyun bertanyakan kepada Lee Dokyeom di hujung talian.

“Ya aku dengar. Sekarang juga aku cari Kim Jisoo dan Sim Gok Ro”

“Puan, terima kasih sangat. Keterangan puan sangat membantu” Baekhyun laju menyarung pakai kasutnya. Buku nota dan telefonnya disimpan ke dalam poket.

“Encik polis” Puan Jeon mendapatkan Baekhyun di muka pintu. “Tolong cari pembunuh anak saya. Saya tak boleh hidup tenang selagi pembunuh Jungkook tidak mendapat hukumannya”

Baekhun mengangguk keras. “Kami akan berusaha yang terbaik”

///////////////////////

Jin memandang Irene yang kelihatan menikmati sup panasnya. Wajah Irene ditenung lama, Jin cuba mencari persamaan wajah perempuan depannya dengan wajah adik perempuannya yang dilihat kali terakhir 10 tahun lepas. Jin menyangka selepas 10 tahun, sepastinya Jisoo akan berubah menjadi lebih cantik. Perempuan di hadapannya sememangnya mempunyai persamaan dengan wajah Jisoo yang masih muda. Jin tertipu.

“…Dia bukan Jisoo…”

“Kenapa abang? Sup tu tak sedap?” soal Irene.

Jin menggeleng lemah. “Boleh ambil air untuk abang?” pintanya.

Tanpa banyak bicara, Irene bangkit berdiri dan masuk ke ruang dapur, mencari gelas kosong di kabinet. Jin diam menuruti.

“Abang nak air apa?” Irene menjerit tanya tanpa menoleh ke belakang. “Saya ambilkan air suam ya”

Jin perlahan-lahan mencapai pisau pemotong bersebelahan kabinet. Secara mengejut Jin menerkam gadis itu, mengacukan mata pisau di lehernya dari belakang.

“Siapa kau?” soal Jin keras.

“Abang” Irene terkejut, namun masih tenang. Gelas air yang dipegang cuba diletakkan di atas ruang kabinet perlahan-lahan. Irene sudah berpengalaman. Namun Jin langsung tidak mengetahui latar belakang gadis itu.

“Kau bukan Jisoo!” nada Jin seolah memberi amaran.

“Abang, apa abang buat ni?” Irene mula merancang strategi dalam kepalanya, memikirkan cara apa sahaja untuk menutup rahsianya.

Jin menarik semula pisaunya. Badan Irene dipusingkan lalu ditekan pada peti sejuk berdekatan. Pisau kemudian diacukan semula pada leher gadis itu. Irene merasakan pedih dan sejuk mata pisau mengenai kulit lehernya.

“Beritahu aku, siapa kau?! mana adik aku?!” Jin naik berang, memandang tepat mata gadis yang menyamar sebagai adiknya itu. “Jungkook dah beritahu aku segalanya. Dia ikut kau, dia tahu kau bukan Jisoo. Mana Jisoo? Apa kau buat pada dia?”

“Abang, abang meragui saya? Abang dah tak kenal saya?” Irene mengerling pisau yang dipegang Jin. Irene dapat membaca riak wajahnya yang keliru. Irene cuba mendapatkan semula kepercayaan lelaki itu. “Abang” Irene memegang paut tangan Jin yang agak ketar.

Anak mata Jin juga ketar, memandang perempuan itu yang kelihatan tidak bersalah. Malah Jin juga bimbang jika salah menuduh adiknya sendiri. 10 tahun mereka terpisah, dan Jin tidak mahu menjejaskan hubungan mereka. Jin sangat menyayangi adiknya.

“Ni saya Jisoo. Kenapa abang tak percayakan saya?” Irene merayu simpati, memandang tepat anak mata Jin.

Jin hampir jatuh ke dalam perangkap Irene, sebelum tersedar sepenuhnya. “Tak, kau bukan adik aku!” Jin menekan sedikit pisau yang dipegang. Cecair merah mengalir sedikit di hujung mata pisau. Irene menggigit bibir, dapat merasakan kulitnya berdarah.

“Jisoo adik aku ada alahan pada kacang. Dia tak boleh makan semua jenis kacang. Sejak lahir, kalau dia makan kacang, dia akan batuk-batuk dan gatal tekak. Makanan yang dia paling benci ialah kacang. Cerita aku tadi ialah rekaan untuk menguji kau. Memang betul apa Jungkook katakan, kau bukan Jisoo!” Jin melepaskan geram.

“Abang lupa yang kamu suka makan kacang merah”

Rahsia Irene sudah bocor. Gadis itu terdiam seketika sebelum ketawa kecil. “Pandai kau perdayakan aku. Boleh tahan juga kau ni. 10 tahun dalam penjara, ada juga benda kau belajar” wajah Irene berubah. Pandangan matanya berubah. Suaranya ditinggikan.

“Bagus juga kau dah tahu. Tak perlu untuk aku terus berlakon sebagai Jisoo” Irene berdiri tegak, langsung tidak gentar akan lelaki yang berdiri rapat depannya.

“Kau..” Jin juga terkejut dengan pengakuan gadis itu. Seketika Jin merasakan dirinya begitu bodoh.

“10 tahun saya tunggu abang. 10 tahun saya sendirian. Saya penat dengan semua pandangan negatif. Saya nak mulakan hidup baru bersama abang. Di sini, tiada siapa ingat peristiwa 10 tahun lepas. Jadi, tolong saya, kita jadi seperti dahulu, seperti tiada apa pernah berlaku”

“Kau tipu aku. Kau menyamar sebagai Jisoo. Jadi di mana adik aku sekarang? Mana Jisoo?” Jin bertambah berang apabila memikirkan saat dia ditipu dengan lakonan Irene. Apabila memikirkan mengenai Jisoo, Jin dilanda kebimbangan.

“Kau yang bodoh. Budak bernama Jeon Jungkook tu tak beritahu kau di mana Jisoo? Dia tak jumpa Jisoo?” nada Irene berlagak. Menambah perasaan bengang dalam diri Jin.

“Kau!” tangan Jin ketar, cuba menekan dalam pisau yang dipegang, tapi hatinya bersifat tidak sampai hati. Dia tidak mahu kotorkan tangannya dengan darah. Jin tahu dirinya bukan pembunuh dan dia tidak mahu menjadi seorang pembunuh. Kejadian petang tadi di depan kafe, berputar dalam ingatannya. “Jungkook. Dia…. Kau yang buat tu pada Jungkook? Kau yang bunuh dia?!” mata Jin membesar.

“Yah, jangan nak tuduh aku. Bukan kau yang bunuh dia? Darah dia melekat pada baju kau. Darah dia ada pada tangan kau kan?” Irene cuba mempsikokan lelaki yang lemah itu.

Jin teringat darah yang disebut oleh Irene. Darah pada bajunya, darah pada tangannya, darah yang mengalir bersama air hujan.

“Budak tu bunuh ibu bapa sendiri”

“Anak tak guna”

“Sampai hati dia bunuh ahli keluarga sendiri”

“Padan muka masuk penjara”

“Tidak” Jin menggeleng-geleng. Pisau yang dipegang terjatuh dari genggaman. “Bukan aku yang bunuh dia. Bukan aku. Aku tak bunuh sesiapa.” Jin melihat tangannnya yang bersih, namun dalam benak pandangannya, tangan itu berlumuran darah. Tangannya menggigil. Irene tersenyum sinis, melihat Jin seperti orang tidak waras.

//////////////

Baekhyun memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah deretan taman perumahan. Keadaan sekeliling diperhatikan. Suasana seperti taman perumahan yang lain. Enjin keretanya lalu dimatikan. Baekhyun bergerak keluar dari perut kereta. Dokyeom yang berada di sebelahnya, turut berbuat yang sama. Di tangannya, terdapat profil Kim Seok Jin berserta gambarnya yang terbaru diambil di penjara.

“Yang mana satu ni?’ soal Baekhyun seraya menutup pintu kereta dan memerhatikan sekeliling. Suasana malam agak sunyi di kawasan tersebut. Malah tiada kedengaran salakan anjing menyambut mereka.

“Nombor rumah 1030. Aku rasa yang ketiga ni” Dokyeom menuding tunjuk pada sebuah rumah. Cahaya dalam rumah tersebut masih menyala.

“Jom. Kim Seok Jin pasti tak gembira jumpa kita, tapi kita perlukan keterangan dia” ujar Baekhyun bergerak ke rumah yang dimaksudkan. Dokyeom menurut dari belakang.

“Macam senyap je” komennya. Baekhyun mengangguk sebelum tunduk, melihat sesuatu di pintu rumah tersebut. Telefonnya dikeluarkan, dihidupkan lampu lalu disuluhkan pada tombol pintu tersebut.

“Dokyeom, tengok ni” Baekhyun memanggil, menunjukkan sesuatu. Suara mereka direndahkan.

Dokyeom tunduk sama, melihat kesan darah yang tercalit pada pemegang pintu tersebut. “Rasanya kita di rumah yang betul”

Baekhyun mengangguk lalu menekan loceng pintu.

“Encik Kim Seok Jin” Dokyeom memanggil.

Tiada balasan didengari. Baekhyun dan Dokyeom saling berpandangan. Sekali lagi Baekhyun menekan loceng dan mengetuk pintu.

“Encik Kim Seok Jin” panggilnya pula, kali ini lebih kuat dari Dokyeom.

“Aku rasa tak sedap hati. Baik kita pecahkan pintu ni”

“Kita tiada waran Dokyeom. Kau pergi belakang, aku akan tinjau dari tepi”

/////////////////////

Di dapur, Irene berjaya melepaskan diri daripada pisau yang dipegang oleh Jin. Irene tersenyum sinis, melihat Jin seperti orang tidak waras.

“Kau..” Jin lalu mencekik leher gadis itu. “Beritahu aku, di mana adik aku? Mana Jisoo?!”

“Yah, yah!” Irene meronta-ronta. Genggaman Jin terasa sangat kuat mencengkam lehernya yang sudah luka kecil akibat pisau tadi.

“Cakap! Mana Jisoo!” Jin melepaskan geram. Irene dapat merasakan kakinya terapung. Gadis itu menendang-nendang, meronta. Lengan Jin dipukul-pukul, cuba meleraikan cengkamannya.

Ting tong!

Kedua-dua Jin dan Irene terkejut dengan bunyi loceng pintu. Jin lalu melepaskan gadis itu. Irene jatuh terduduk atas lantai dapur sambil terbatuk-batuk. Lehernya merah kesan cengkaman Jin.

“Polis” ujarnya, sudah dapat menduga.

Jin memandang Irene terkejut. “Polis? Kenapa dia datang sini? Aku tak bunuh Jungkook”

“Kau jangan nak jadi bodoh. Mereka mesti datang nak cari kau sebab kau ada bersama Jungkook masa dia ditembak mati” Irene menguatkan semangat lalu bangkit berdiri. “Lari”

Jin tergamam mendengar komen Irene.

“Lari. Kau nak kembali ke penjara?” Irene mengumpannya.

Jin pana seketika, memandang gadis itu serius.

Ting tong. Loceng pintu berbunyi lagi.

“Encik Kim Seok Jin” Jin mendengar namanya dipanggil.

“Yah, kau nak cari adik kau? Aku boleh tolong. Aku akan ceritakan semuanya tentang bagaimana aku boleh menyamar sebagai adik kau” Irene mengikat rambutnya ketat. Darah di lehernya dilap menggunakan belakang tangan.

“Apa maksud kau? kau tahu di mana Jisoo?” Jin mencapai pegang bahu gadis tu.

“Polis ada di luar. Aku tak tahu mana Jisoo tapi aku boleh tolong kau cari dia. Satu syarat”

“Apa dia?” Jin menunjukkan minat. Dahinya mulai berpeluh.

“Kau tak boleh ditangkap polis. Ikut aku, kita lari”

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
tenmachan
cuba teka belakang badan siapa dalam poster tu?

Comments

You must be logged in to comment
k-hope
#1
Wow. Cerita-cerita awak sentiasa membuatkan saya curious. Hwaiting for this story.^^