Suka Itu Lumrah

Perasaan suka itu lumrah. Tuhan ciptakan ia ada buat semua insan. Aku melihat rasa suka itu bagai sekuntum bunga seputih salju, sehalus sutera. Teramat suci zahir dan batinnya. Begitu juga akan menyukai seseorang. Satu perasaan nian indah dek kerana diri mu tertarik untuk mengenali seorang insan asing dengan lebih mendalam. Tanpa kau mengetahui asbab sebenar. Hanya diuruti kata hati yang membisik. 

Sayangnya dunia kini, terlalu moden. Perasaan yang ku anggap suci dahulu, sudah disalah erti. Tafsiran yang aku punyai dulu  telah disalah fahami oleh kebanyakan insan. Suka itu berdosa. Suka mampu membawa kepada kancah durjana. Suka memesongkan arah hidupmu. 

Suka tidak lagi dianggap suci, kini. 

Kasihan sekali pada mereka yang telah menggunakan nama suka dalam melunaskan serakah. Mempersetankan kesucian seorang insan dengan satu lagi kesucian yang digulakan dengan nafsu durjana. 

Kasihan pada suka, tabahlah.

Jangan kau khuatir, masih ada insan di luar sana yang menyanjung tinggi kehormatan mu. Masih ramai yang menjaga kesantunan mereka dalam memelihara martabat kesucian mu. 

 

****

Aku mungkin terlihat kasar dari luar. Seorang gadis lasak yang mampu hidup sendiri tanpa sokongan insan sekeliling. Satu jiwa yang boleh survive tanpa orang yang tersayang. Namun itu hanyalah zahir ku semata. Aku masih lagi seorang perempuan yang kini telah menginjak ke alam gadis. Zaman kegemilangan bagi mana-mana wanita. Waktu hati mendamba perhatian dari orang sekeliling. 

Moga rasa suka yang aku zahirkan pada insan terpilih sentiasa terpelihara kesuciannya. Tidak mampu aku menolak jauh rasa itu. Ia hadir sendiri tanpa ku pinta. Namun aku bersyukur, melaluinya aku belajar. Belajar untuk mengenal seseorang lebih dalam. Belajar akan bagaimana untuk aku ketahui perilaku, perangai dan hati budi mereka. Aku lebih matang dalam menilai insan lain.

Berpada-padalah dalam menyukai dan membenci sesuatu. PAsti ada hikmah indah terselit di balik tiap sesuatu.

Comments

You must be logged in to comment
No comments yet