001

Pertempuran Takdir (KC Sequel)

 

Derapan kaki yang mengejar semakin mendekat. Mereka mula takut dan bimbang namun tidak pula mereka memberhentikan langkah. Mereka terus berlari dari apa sahaja yang mengejar dari belakang. Jantung mereka berdegup kencang dan setiap perkara yang terjadi di sekeliling tidak lagi dipedulikan. Dua orang gadis itu terus berlari daripada samseng yang mengejar mereka.

“Sulli, aku dah penat!”, salah seorang daripada mereka mengalah. Kakinya tidak mampu lagi menahan badan dan dia jatuh terduduk di atas jalan tar. Jieun letih berlari. Kawasan deretan kedai itu tidak dikunjungi ramai orang ketika itu. Suasana suram dan kelam mungkin menjadi faktor keengganan orang untuk melalui kawasan deretan kedai lama itu.

“Yah! Bangun cepat!”, rakan Jieun menarik tangan gadis itu. Dia melirik lihat sekumpulan samseng yang mengejar tadi semakin hampir. “Bangunlah cepat!”, Sulli menggesa Jieun.

“Aku dah tak larat nak berlari”, ujar Jieun dalam menstabilkan nafasnya. Dia hanya membalas pandangan Sulli sambil menagih simpati. Sampai bila dia harus terus berlari? Pasti akan ada masa dia tersungkur dan perlu berhadapan dengan semua samseng-samseng itu. Jieun fikir mungkin hari ini adalah masanya. Apapun berlaku, dia berserah pada takdir. Ya. Takdir. Setiap manusia mempunyai takdir masing-masing dan Jieun percaya setiap takdir itu tidak boleh dilawan mahupun diubah. Jieun percaya pada ketentuan takdir dirinya.

“HOI! Korang nak lari ke mana hah?! Korang tak boleh nak larikan diri daripada aku!”

Sulli mengetap bibir. Dipegang erat tangan Jieun yang berada di belakangnya. Dilihat kumpulan samseng itu membuat bulatan memperangkap dua gadis naif itu di tengah-tangah bulatan supaya tidak melarikan diri. Mereka juga penat mengejar. Sulli berasa tidak sedap hati. Sudahlah dia penat berlari, sekarang dia resah sekiranya dirinya dan Jieun akan diapa-apakn. Mereka ramai, lebih dari 10 orang, dan Sulli tak yakin mampu melawan mereka semua.

“Sulli~”, Jieun menyorok di belakang gadis berani itu. Gerun melihat wajah-wajah bengis yang mengelilinginya. Jieun tahu dia boleh harapkan Sulli. Gadis cilik itu berani dan lantang sehingga Jieun sendiri tak tahu dari mana datang keberanian dalam diri gadis bernama Lee Sulli itu.

“Jangan ganggu kawan aku lagi!”, Sulli menengking, memberi amaran. Rambutnya yang pendek menampakkan urat tegang di lehernya.

“Macam mana aku tak ganggu kawan kau, dia yang tak bayar hutang aku lagi!”, seorang dari samseng itu bersuara, lantas Jieun dan Sulli berpaling ke arah suara itu. Mereka berdua sentiasa berwaspada.

“Aku takde duit lagi. Aku janji bila aku dah ada duit nanti, aku pasti bayar”, Jieun menjelaskan alasannya. Hutang. Perkara yang terus membelenggu hidup gadis yatim piatu itu. Kang Jieun tidak sedar akan bahayanya kertas-kertas nipis yang dicop sebagai wang itu sehingga boleh mengancam nyawanya sendiri serta orang yang berada dekat dengannya.

“AH! Balik-balik alasan yang sama. Bohong! Bilanya kau ada duit? Bila aku dah mati?! Hah?!”, lelaki samseng itu mula naik angin. Dicapainya sebatang kayu yang kebetulan berada berdekatan dan menerpa untuk memukul dua gadis yang menaikkan marahnya itu.

“WOI!”, satu suara menyergah kumpulan itu lantas tangan lelaki tadi berhenti. Sulli dan Jieun yang memejam erat mata masing-masing menyangka ayunan kayu tersebut akan mengenai mereka tapi jeritan atau sergahan tadi menyelamatkan keadaan. Lelaki tadi secara perlahan menurunkan tangan dan memandang pemilik suara yang menyergah tadi. “Siapa dia?”, soalnya kepada rakan samsengnya.

Sulli dan Jieun lega apabila seorang lelaki muncul dengan seluar berlubang di lutut, dan memakai singlet hitan yang beberapa hari tak dibasuh, menhampiri mereka. Gayanya selamba dan sedikitpun tidak kelihatan gentar pada kumpulan samseng tersebut.

“Aigoo~ tengoklah apa yang berlaku di sini. Kecoh! Bising!”, Lee Sehun merampas kayu yang bersaiz sederhana daripada tangan lelaki samseng tadi.

“Woi, kau siapa? Jangan nak masuk campur urusan aku”, lelaki yang badannya lebih besar dari Sehun menolak dada Sehun. Wajah Sehun entah mengapa buat dia rasa menyampah.

Sehun menahan perasaan geram apabila ditolak sedemikian rupa. Dia tidak suka orang lain memandangnya lemah. “Yah!”, Sehun mendabik dada. “Ini kawasan aku. Kau yang buat kecoh kat kawasan aku lepas tu kau tanya aku siapa?! Aku Lee Sehun!”

“Lee Sehun?”, ada antara mereka, kumpulan samseng itu bertanya sesama sendiri. Lagi menaikkan amarah anak muda itu. Sudahlah dia diperlekehkan malah namanya pula tidak dikenali.

“Sulli, jom lari dari sini”, bisik Jieun perlahan ketelinga rakannya. Dia ingin mengambil kesempatan dengan kedatangan lelaki bernama Lee Sehun itu untuk melarikan diri. Jieun tidak sanggup lagi dikelilingi lelaki-lelaki samseng yang bengis itu. Namun tidak pula Sulli berganjak.

“Yah! Aku anak buah Mun Taeshil. Korang jangan nak permainkan aku kat kawasan aku. Aku boleh binasakan kumpulan korang!”, Sehun mengangkat kayu di tangan, mengacu, memberi amaran pada kumpuan samseng tersebut.

“Mun Taeshil? Kau kumpulan KKH ke?”

“Ya. Aku salah seorang ‘orang kuat’ dalam Kumpulan Kucing Hitam. Lee Sehun. Ingat nama tu baik-baik”. Lantang Sehun bersuara, bermegah dengan statusnya. Melihat reaksi kelat samseng-samseng itu menambahkan lagi keyakinan Sehun.

Sulli terus merenung lelaki yang menyelamatkannya tadi dan dia seolah-olah meletakkan harapan pada Sehun. Sulli yakin dia boleh bergantung harap pada lelaki yang bernama Oh Sehun itu. “Takpe, Sehun boleh uruskan”, dia membisik jawab setelah melihat Jieun semakin gelisah.

“Kau jangan nak kacau adik aku. Sehelai rambut dia gugur disebabkn korang, jangan harap korang ada peluang nak hidup”, Sehun memberi amaran.

“Adik?”, lelaki samseng itu menjeling Sulli. “Aku takkan kacau adik kau tapi kawan adik kau tu. Dahlah berhutang tak pandai bayar”, lirik jelingannya beralih pada Jieun.

Jieun segera menyorokkan muka di belakang badan Sulli, tahu dirinya menjadi tumpuan. Dalam hatinya tak putus-putus berdoa agar Sehun membantunya. Jieun sumpah dia benci perasaan ini.

“Hutang?”, soal Sehun lantas menoleh pandang ke arah Sulli dan rakannya. Gadis yang lebih pendek daripada Sulli itu kelihatan takut, menyorokkan muka. “Hutang apa?”

“Jieun berjanji, dia akan bayar balik semua hutang tu lepas dia berjaya dalam ujibakat nanti”, Sulli menolong Jieun menjelaskan situasi kewangannya. Sulli yakin yang Jieun pasti akan lulus ujibakat dan menjadi penyanyi memandangkan Jieun memiliki suara yang lunak merdu. Bakat semulajadi itu boleh digunakan untuk meraih pendapatan.

“Ha, kau dengar tu kan? Dia janji nanti bila dia ada duit mesti dia bayar. Aku jamin”, sombong nada Sehun berkata-kata. Jelas nampak samseng-samseng itu menyampah dengan kehadiran Sehun.

“Baiklah, aku pegang janji kau. Lain kali aku datang, kalau kau tak bayar, siap kau!"

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> 

Kata-kata ucapan tahniah yang baru didengari sebaik keluar dari mahkamah pagi tadi masih terngiang-ngiang jelas di telinga anak muda itu. Ya, dia akui dia turut berbangga dan merasakan bahawa dia layak menerima pujian tersebut. Anak tangga yang didaki dalam menjadi seorang peguam bukan mudah. Azamnya untuk memiliki firma guaman sendiri masih digenggam erat dan menjadi motivasi kuat dalam setiap kes yang ditanganiya. Dia tetap mahu tunaikan janji yang sama-sama dibuat dengan kawan baiknya dulu. Namun ada sesuatu yang menganggunya. Dirinya rasa tidak puas selagi kes yang terjadi dua tahun lepas tidak dirungkai. Kes kehilangan seorang gadis bernama Choi Sulli. Kes yang terkubur dari pandangan masyarakat namun membawa seribu erti dalam hidup peguam baru bernama Kim Jong In itu.

“Maaf anak muda”, seseorang menyapanya. Kai menoleh dan melihat seorang wanita dalam 30-an dengan sepinggan kek di tangannya. Tidak pula Kai mengenali wanita itu. Kai meletakkan beg kerjanya sebelum melayan wanita itu. “Ya saya”

“Mak cik ni baru pindah sini. Anak ni tuan rumah apartmen ni ke? Mak cik harap kita boleh jadi jiran yang baik. Rasanya semalam mak cik ada nampak isteri kamu tapi tak sempat nak tegur”, senyuman wanita itu menceriakan Kai. Lantas dia mengangguk dan berkata, “Ya, saya dan isteri saya tinggal di rumah ni. Oh ye, ini kad saya, saya kerja sebagai peguam. Kalau ada apa-apa berlaku atau nak minta tolong saya, boleh hubungi saya”, Kai membalas sama dengan senyuman sambil menghulurkan kad namanya sendiri. Wanita itu mengangguk-angguk membaca kad tersebut. “Ini mak cik ada buat sendiri kek ni. Makanlah. Harap kamu sudi terima”, lantas makanan yang dipegang tadi dihulurkan kepada Kai.

Selepas wanita tadi beredar, Kai ditinggalkan sendirian dengan makanan di tangannya. Dia merenung pintu yang berada dihadapannya.

“Isteri?”, Kai tersenyum sinis lantas menekan kata kunci rumah tersebut.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> 

Hwayoung perlahan mengatur langkah keluar dari bilik utama rumah keluarga Oh. Semangkuk bubur yang tidak terusik dibawa bersama.

“Namjoo, kenapa?”, Hwayoung terhenti di depan seorang perempuan. Rambutnya panjang lurus dan sentiasa sopan dalam tutur kata serta perlakuannya.

“Cik muda”

“Mama saya masih tak mahu makan?”, soal Seohyun kebimbangan.

Hwayoung tunduk memandang bubur yang disediakan tadi. Walau satu sudu tidak terluak. Hwayong kemudian menggeleng perlahan.

“Mari sini, biar saya pujuk dia makan”, dulang makanan itu beralih tangan pula kepada Seohyun. Hwayoung kemudian memberi tunduk hormat sebelum beredar.

“Oh ye cik muda, saya bukan Namjoo. Saya Hwayoung. Namjoo dah berhenti kerja tahun lepas”, sempat Hwayoung membetulkan kesalahan Seohyun tadi. Seohyun pana seketika seblum teringat gadis pembantu rumah yang sentiasa rapat dengan adik lelakinya dahulu. Gadis yang menemaninya ketika awal-awal kematian Sehun. Wajah Seohyun bertukar kelat dalam memandang kelibat Hwayoung yang semakin jauh meninggalkannya. Dikuatkan hati dan Seohyun bergerak masuk ke dalam bilik mamanya.

“Ma~”, Seohyun memanggil.

Seorang wanita atas kerusi roda dilihat termenung ke luar tingkap lutsinar besar dalam bilik tersebut. Cahaya sinaran matahari menerangi separuh bilik utama itu. Beberapa pasu pokok Bonsai disusun rapi di tepi tingkap. Seohyun berjalan menghampiri mamanya.

“Mama, Seohyun datang bawa bubur”

“Mama tiada selera”, perlahan tutur kata wanita itu. Pandangannya masih tertatap ke luar tingkap.

“Mama tak boleh macam ni. Mama kena makan walaupun sedikit”, Seohyun sedikit bertegas. Luluh hatinya melihat keadaan wanita tersebut. Semenjak menerima berita kematian Oh Sehun, Puan Park langsung hilang selera makan, tidak aktif dan hanya terperap dalam bilik. Hari-harinya dilalui dengan menrindui anak lelakinya, malah memburukkan keadaan apabila suami tersayang mati membunuh diri. Kini Puan Park tinggal hanya dengan anak sulungnya Oh Seohyun.

“Ma~, makanlah. Nanti mama jatuh sakit”, Seohyun cuba menyuap sesudu bubur namun wanita itu tetap degil enggan makan. Puan Park menggeleng-geleng.

Satu keluhan keluar dari bibir Seohyun. Semenjak dua tahun lepas, keadaan dalam keluarganya lansung berubah. Seohyun tidak sukakan kesedihan yang mnyelubungi semua orang dalam rumah itu. Bubur nasi yang disekalikan dengan sayuran hijau ditenung kosong. Seolah cuba mencari jawapan terhadap kekelaman yang berlaku. Kematian Oh Sehun, adik lelakinya dan ayahnya serta keadaan mamanya.

Jung Soojung.

Seohyun mengenggam erat hujung sudu tersebut dan riak wajahnya menunjukkan kemarahan dendam.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> 

“Kau kena berterima kasih pada aku. Kalau bukan sebab aku, tak tahulah apa akan terjadi pada kau dan Jieun tadi”, satu senyuman sinis terukir lantas Sehun memaut bahu gadis berambut pendek disebelahnya.

“Heol~”, dengus Sulli sambil menolak Sehun jauh dari dirinya. Walaupun sudah dua tahun, dia masih tidak biasa dengan ‘kelakuan’ rapat Sehun. “Kalau kau tak sebut nama Mun Taeshi tadi, tentu kau pun jadi mangsa”

“Tapi setidaknya, hari ni aku jadi penyelamat kau”

“Hari ni je”

“Eh, bukan hari ni je, sebenarnya dah banyak kali kan. Errr, berapa kali dah? Enam? Tujuh?”

“Dahlah, malas aku layan kau”, ujar Sulli berlari masuk ke dalam rumah selesai menanggalkan kasut. Gerak langkahnya terhenti sebaik melihat kelibat seseorang di ruang makan.

“Sulli? Dah balik? Mari makan, Eunhyuk ada belikan makanan”, Donghae menyambut gadis itu dengan senyuman naifnya.

“Saya dah balik”, Sehun membuka ikatan tali kasut dan reaksinya sama seperti Sulli. Terkejut melihat Eunhyuk di dalam rumah tersebut. Entah kenapa Sehun tidak sukakan kehadiran lelaki itu, seolah ada dendam dalam hatinya.

“Sehun pun balik sekali? Marilah makan sama-sama”, Donghae mencapai mangkuk tambahan dan mencedok nasi.

“Nah”, Eunhyuk bersuara. Dikeluarkan sebuah bungkusan gelap dan diletakkan di atas meja makan. Matanya masih tertatap pada makanan di hadapannya yang dibeli semasa dalam perjalanan pulang tadi. Dia sudah sedia maklum bahawa Donghae malas memasak. Sulli laju mencapai bungkusan tersebut. Anak mata Sehun memerhatikan Sulli berlari masuk ke dalam bilik sambil memeluk bungkusan yang dihulur oleh Eunhyuk tadi.

“Yah, bungkusan apa tu?”, soal Sehun namun soalannya diendahkan. Posisi dirinya masih tidak berganjak, masih di depan pintu.

“Bungkusan apa tu?”, dialihkan pula fokus kepada Donghae dan Eunhyuk di meja makan.

“Bukan urusan kau”, jawab Eunhyuk sambil menyuap makan nasi. Dua-dua mereka berwajah kelat. Eunhyuk dapat rasakan tenungan tajam daripada Sehun.

“Dah la tu, Sehun, mari makan”, Donghae menarik kerusi, mempersilakan anak muda yang masih tercegat berdiri itu untuk duduk.

“Takpe, saya tiada selera nak makan”, balas Sehun. Suaranya seolah merajuk bercampur marah. Dia tidak suka makan semeja dengan Eunhyuk. Enam bulan lepas, lelaki itu menghilangkan diri atas alasan kerja dan hari ini Eunhyuk sudah kembali dari ‘kerja’. Seseuatu seperti menghancurkan harapan Sehun. Entah kenapa dia berharap Eunhyuk akan mati dalam ‘kerja’nya dan tidak akan kembali. Kenapa? Walhal dia sedia tahu bahawa dia tidak akan hidup dan bernafas lagi jikalau bukan Eunhyuk yang menyelamatkan dirinya dua tahun lepas.

Sehun menuju ke bilik Sulli. Dia ingin tahu tentang bungkusan tersebut. Ini bukan kali pertama dia melihat Eunhyuk memberi Sulli bungkusan misteri. Malah kerap kali, Sulli kelihatan seperti menanti-nantikan bungkusan tersebut. Ada apa dalam bungkusan tersebut? Seseuatu yang berharga?

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> 

Keadaan ruang tamu, dapur, susunan perabut, buku-buku di rak. Tiada satu pun yang berubah. Tiada satu pun perubahan fizikal yang berlaku dalam rumah tersebut walau dua tahun berlalu. Dua tahun lepas, dia menjejaki ke dalam rumah tersebut dengan resah gelisah, perasaanya membara marah dan macam orang gila. Apa yang dicari dua tahun lepas masih tidak ditemui. Kali ni, kakinya melangkah masuk rumah itu bagaikan rumah tersebut tempat tinggalnya sendiri. Hampir setiap hari dia ke rumah itu.

“Soojung ah~”, Kai memanggil seperti seorang suami yang baru pulang dari kerja yang merindui isterinya. Sepinggan kek masih di tangan. Kai hairan panggilannya tidak disahut.

“Soojung ah~”, kakinya bergerak ke dapur di mana seorang perempuan leka memotong sayur.

“Ejen 411”

Jung Soojung terhenti secara automatiknya tatkala terdengar kodnya dipanggil. Dia tahu dan sedar akan kehadiran Kai, sengaja dia malas menyahut.

“Jadi saya kena panggil kod nama awak, baru awak nak menyahut? Ejen 411?”, perlahan-lahan Kai meletakkan kek tadi di atas meja makan lantas menanggalkan kot bajunya.

“Encik Kim Jong in, saya rasa awak tiada hak lagi untuk datang sini. Awak ada rumah sendiri kan?”, Jung Soojung meletakkan pisau pemotong di tepi. Dia sendiri bimbang jika tersalah gunakan alat tersebut. Dia menjeling ke arah lelaki yang sedang melonggarkan ikatan tali leher. Salah satu penyesalan yang timbul ialah memberitahu lelaki tersebut kata kunci rumahnya.

Dua tahun yang lepas, lelaki yang sama datang ke rumahnnya buat pertama kali, meraung dan menjerit mencari teman wanitanya. Kini, lelaki tersebut kelihatan tenang. Soojung tidak pernah menduga dengan tepat apa yang lelaki itu fikirkan. Adakalanya dia mengingatkan Soojung kepada Sehun dan Soojung bencikan hakikat itu. Kenapa? Kenapa lelaki bernama Kai itu terus menerus menganggu hidup Soojung.

“Ya, cik Jung Soojung. Nanti saya balik rumah. Sebelum tu, saya lapar. Saya tunggu awak masak dulu, sementara tu saya nak pergi mandi dulu”.

“Kai~”

Satu senyuman sinis terukir di bibir peguam muda itu. “Oh ye, tadi jiran baru awak bagi kek”, Kai memuncung menunjukkan makanan di atas meja yang diletakkan tadi. “dia ingat saya suami awak”

“Habis tu, awak cakap apa?”

“Saya mengiyakan je. Memang kawasan kejiranan ni sangka saya suami awak. Apa salahnya saya mengaku, sebab lagipun saya datang rumah ni setiap hari”

“Yah Kim Jong In!”. satu dengusan marah dari gadis berambut ikal panjang itu. Rambutnya diikat kemas. Gayanya bila-bila masa sahaja boleh petik mana-mana lelaki dengan tubuh badan yang gebu putih dan sihat termasuk lelaki di hadapannya, Kai. Tetapi ada sesuatu yang kuat membezakan gadis itu dengan teman wanita Kai. Sifat.

“Awak patut berhenti datang sini. Apa lagi awak nak dari saya? Kita tak boleh teruskan hubungan ni atas dasar apapun!”, suara Soojung semakin meninggi.

“Kenapa?!”, Kai melawan, menyergah dan menjentik semangat gadis itu, lantas Soojung terkejut.

“Saya tak nak terus libatkan awak. Cukuplah dengan apa yang terjadi dua tahun lepas. Saya tak nak ada kaitan dengan awak lagi. Awak tak faham ke?”

“Habis tu, Sulli macam mana? Sulli?”, Kai bergerak menghampiri Soojung. Memegang kuat bahu lengan gadis tersebut, menuntut penjelasan. “Awak nak biarkan je Sulli? Awak nak saya biarkan dia hilang macam tu je?! Saya takkan lepaskan awak sampai saya jumpa Sulli”

“Sulli dah mati”, perlahan suara Soojung sambil memandang tepat anak mata Kai.

“Sulli tak mati lagi!”, leher Soojung pula dicengkam. Cukup kuat untuk menyakitkan gadis perisik itu. Soojung meronta kesakitan dari genggaman lelaki di depannya itu. Suara Kai bertambah kuat. Matanya merah dan pandangannya marah. Sedikitpun tidak muncul rasa simpati dengan Soojung ketika itu. “Aku akan terus seksa kau sampai aku jumpa teman wanita dan kawan baik aku. Sulli tak mati lagi. Ejen 411, aku tak kan lepaskan kau”

Pisau berada di tepi papan pemotong yang berdekatan dengan kedudukan Soojung tapi gadis itu tidak sampai ke tahap ingin menikam Kai. Dia berfikir untuk setiap tindakannya. Selang beberapa saat, Kai melepaskan genggamannya. Melepaskan Soojung dari perasaan marahnya.

Soojung terjatuh melutut ke lantai. Tidak pula keluar air matanya walaupun dirasakan sebak di dada. Sedikitpun dia tidak menyalahkan Kai atas tindakkanya.

“Awak nak terus tunggu dia?”

“Ya. Saya yakin dan dapat rasakan Sulli masih hidup. Dia berada di luar sana cuma saya tak pasti sama ada dia selamat atau tak, bahagia atau tidak”

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> 

Enam bulan lepas Eunhyuk mendapat misi baru dan selama enam bulan Sulli berasa risau. Eunhyuk merupakan satu-satunya penghubung antara dia dan dunia sebenar. Dunia yang dia larikan diri. Dunia di mana seorang gadis bernama Choi Sulli dilaporkan hilang. Sepanjang dua tahun Sulli menyembunyikan diri, menyamar dan menjalani hidup sebagai Lee Sulli. Eunhyuk adalah orang yang menggalas tanggungjawab untuk memberitahu Sulli tentang apa yang terjadi kepada keluarganya, tempat kerjanya, kawan-kawannya dan lelaki yang dicintainya, Kai.

Sulli segera masuk ke bilik dan membuka bungkusan hitam yang Eunhyuk beri tadi. Beberapa keping gambar ditaburkan atas katil. Berair mata Sulli melihat gambar-gambar tersebut. Dicapai dan ditelitikan setiap satu keping gambar-gambar tersebut. Seorang lelaki, bersut hitam, berjalan keluar dari bangunan mahkamah. Gayanya seperti model lelaki yang menjadi kepujaan ramai wanita.

“Kai~”, menitis air mata Sulli jatuh ke pipi. Gambar itu disentuh seperti orang dalam gambar tersebut berada di hadapannya.

“Yah, Lee Sulli”, tiba-tiba pintu terbuka, memeranjatkan gadis berambut pendek itu.

“Yah! Kenapa masuk tak ketuk pintu?!”, responnya terkejut. Segera tangannya mencapai selimut, menutup gambar-gambar yang bertaburan atas katil. Air mata diseka laju.

“Kau buat apa? Tadi bungkusan apa yang Eunhyuk bagi?”, selamba Sehun bertanya, tercegat di depan pintu dihalang oleh Sulli. “Kau menangis ke? Kenapa kau menangis?”

“Kau jangan nak sibuk hal aku. Aku nak menangis ke, meraung ke, hal aku tiada kaitan dengan kau”, Sulli berdiri di hadapan Sehun, menghalang lelaki itu. Bimbang jika Sehun terjumpa gambar-gambar tersebut, tentu buntu Sulli untuk memberikan jawapan sekiranya Sehun bertanya.

“Tentulah ada kaitan dengan aku, sebab aku kisah. Kau tu adik aku”, Sehun menyeka sisa air mata di pipi gebu gadis itu. “Kenapa kau menangis? Sebab bungkusan tadi? Eunhyuk buat kau menangis?”

Anak mata Sehun ditenung. Kadangkala Sulli rasa serba salah di hadapan lelaki itu. Ingin saja dia memberitahu yang mereka berdua langsung tiada pertalian darah. Sulli bukan adik Sehun. Sulli rasa tak layak untuk setiap layanan baik yang diberi oleh Sehun. Bagaimana nanti jika Sulli tak mampu membalasnya? Bagaimana kalau perasaan sayang mula timbul terhadap lelaki yang merupakan kawan baik teman lelakinya itu.

“Tak. Tiada apa-apa, mata aku masuk habuk. Kalau kau kisah pasal aku, sekarang ni aku nak masa bersendirian, jadi tolong jangan ganggu aku”, Sulli sedaya upaya menolak Sehun keluar dari biliknya. Lantas dia segera menutup dan mengunci pintu.

“Lee Sulli, kau ok tak? Kau tak nak makan ke? Keluarlah”, Sehun memberontak di depan pintu bilik Sulli.

“Oi, biarlah dia. Jangan ganggu dia”, dari dapur Eunhyuk bersuara.

“Aku tak faham. Apa yang kau buat sampai Sehun tak sukakan kau. Kenapa dia macam bencikan kau?”, soal Donghae berterus terang. Dia tahu dan dapat rasakan suasana tegang setiap kali Sehun dan Eunhyuk berada berdekatan antara satu sama lain.

Eunhyuk hanya menjungkit bahu. Dia tiada jawapan bagi soalan tu. Aneh walaupun Sehun hilang ingatan tapi dia macam mengenali Eunhyuk yang sebenar.

Manakala Sulli dalam bilik, segera mengemas gambar-gambar tadi. Dicapainya kerusi dan Sulli memanjat, mengambil sebuah kotak kecil yang disorokkan di atas hujung almari. Sengaja disorokkan jauh supaya Sehun tidak tahu akan kewujudan kotak tersebut. Dalam kotak itu, disimpannya semua barang berkaitan Choi Sulli. Baju yang dipakai ketika Eunhyuk membawanya ke Daegu, dompetnya, gambar-gambar Kai yang dikumpul daripada Eunhyuk serta telefon bimbitnya.

Terkenang dia ketika dulu dia bermesej manja dengan Kai. Bagaimana harinya dimulakan dengan ucapan selamat pagi dari lelaki itu dan sehariannya tidak lengkap tanpa mesej dari Kai. Sulli mula rindukan perhatian lelaki itu. Jari-jemari Sulli membelek alat komunikasi itu. Eunhyuk pernah memberi amaran supaya membuangnya kerana bimbang akan dijejaki menggunakan nombor telefon itu. Namun Sulli tidak mahu membuang ‘kenangan’ itu, dia setakat mematikan alat tersebut. Kali terakhir dia mnghidupkan alat tersebut ialah pada tahun lepas, hari lahir Kai.

Kali ini, perasaan rindu Sulli semakin kuat dan dia ingin membaca semula kandungan mesej dan perbualannya dengan Kai. Walaupun hanya beberapa minit, dengan mendengar rakaman suara dan melihat video Kai yang dirakamnya dulu pun sudah memadai. Alat itu ditenung lama sebelum jari telunjuknya menekan salah satu butang yang ada.

(3423 P/P)

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
tenmachan
wey.. dh habis... :D

Comments

You must be logged in to comment
atikahbp #1
Chapter 17: woah! bestnyaa ending dia T^T akhirnya diaorang together pun huhu T^T
freakandheart #2
Chapter 17: Kau ingat dia mesin buat anak ka? Haha
Finally dah tamat!!! *lap air mata
Emmy_Kpopers
#3
Chapter 17: pergghhhh.. ayat last tu xleh blah.. xD wkwk
ParkMyeonSeok #4
Chapter 16: I can't believe it..what happen to donghae and eunhyuk...so sad :'(...and to sehun too...what happen to soojung..???wow daebak!!
ParkMyeonSeok #5
Chapter 15: Ksiannya mereka semua tambah2 si sehun dengan kai...palli2 update...so excited
Nj_Angel #6
Chapter 15: Woah..makin best.
Jihyun-Sehun #7
Chapter 13: Alaa.. update la. Tengah best baca to be continued pulak.
hanah2212
#8
Chapter 12: Omaigaddddd. So tenseeeeeeeeeeee.