006 Semalam yang tidak kembali

Ouroboros Mata Biru *hiatus

Suasana malam itu senyap. Beberapa barang dibungkus laju, terutama senjata. Jin dan Irene keluar melalui pintu belakang dan memanjat pagar kawasan kejiranan. Jin hanya mengikut gerak langkah gadis itu. Irene sudah berpengalaman apabila melakukan tugasan dalam gelap.

“Ikut sini” Irene seolah sudah masak dengan kawasan tersebut. Semuanya seolah disediakan awal. Irene seperti sudah dapat mengagak bahawa hari tersebut akan tiba.

Dokyeom mengeluarkan cahaya lampu dari telefon pintarnya, menyuluh keadaan di belakang rumah tersebut. Gerak langkahnya senyap, cuma mengenalpasti jika ada sebarang bunyi asing. Dokyeom mendekati kawasan dinding pagar belakang dan melihat tapak kasut yang memijak rumpun basah di dinding tersebut. Dokyeom mengeluh kecil.

“Baekhyun!” panggilnya. Baekhyun lari mendapatkan Dokyeom yang menjerit panggil namanya. “Kita dah terlambat. Kim Seok Jin dah larikan diri”

“Bukan Kim Seok Jin seorang” Baekhyun menganalisa kesan tapak kasut tersebut.

“Dia lari bersama adiknya Kim Jisoo?” Dokyeom mengutarakan persoalan.

“Kemungkinan besar” Baekhyun mengangguk.

////////////////////////

Di dalam sebuah restoran mewah, Seulgi menyilang kaki. Riaknya bosan. Seorang lelaki menyarungkan pada jarinya sebuah cincin berlian.

“Cantik. Sangat cantik pada jari awak” lelaki itu mengucup tangan mulus Seulgi.

“Berapa karat ni? apa sahaja yang saya pakai tentu akan cantik” riak Seulgi bertukar bangga apabila melihat keliauan berlian tersebut. “Tapi sayang, saya dah ada banyak cincin macam ni”

“Macam tu kah? Awak tak suka? Nak saya tukar lain?” riak lelaki di hadapannya pula bertukar cemas.

“Tak mengapa. Saya tak nak apa-apa. Awak ni bosan”

“Sayang, kenapa awak cakap macam tu? Sayang..”

“Hong Min!!”

Seorang perempuan memakai dress ketat berwarna hijau, berjalan laju ke arah Seulgi dan lelaki tersebut.

“Apa awak buat dengan perempuan ni? awak curang dengan saya?” satu tamparan melayang mengenai pipi lelaki bernama Hong Min. Mata Seulgi membesar melihatnya di depan mata.

“Yah perempuan!” Hong Min bangkit berdiri, merasakan pinar pedih pada pipinya. “Sedar diri kau tu sikit! Aku dah lama putus dengan kau!”

“Masa bila aku lepaskan kau? Suka hati kau! Berani pula kau menggatal dengan perempuan murahan lain?” wanita itu menengking marah, menjeling Seulgi dan perasan akan cincin berlian di jari gadis itu. “Cincin berlian?”

Seulgi mula merasa lain macam apabila diertikan sebagai perempuan murahan. “Woi perempuan! Kau mengorat Hong Min sebab ni?”

Seulgi mendiamkan diri. Hatinya terasa panas. Kakinya yang bersilang kelihatan bergoyang di bawah meja.

“Yah!” wanita itu cuba naik tangan, cuba menampar Seulgi sebelum ditahan Hong Min.

“Apa? Perempuan murahan?” Seulgi lalu bangkit berdiri. Pelanggan yang lain mula tertarik melihat drama depan mata. Semua mata memandang mereka bertiga.

“Siapa yang kau panggil perempuan murahan?” Seulgi mengusik rantai wanita itu, lalu mengusap rambutnya. Nadanya sengaja direndahkan. Wanita itu mula merasakan sesuatu aura yang lain daripada Seulgi.

///////////////////////

Jisoo berdiri melihat sebuah wanita dan suaminya menutup kedai. Selang beberapa minit, wanita dan pasangannya itu menyusup masuk dalam sebuah teksi yang menunggu di depan kedai. Jisoo memerhatikan teksi itu sehingga ia hilang dari pandangan.

“Kau kenal mereka?” Taeyong bertanya sambil berdiri rapat di sebelah Jisoo.

Gadis bertopeng mulut itu mengangguk. “Aku kenal. Semalam, ada seseorang aku kenal, meninggal dunia”

“Seseorang? Siapa?” Taeyong agak terkejut apabila Jisoo menyebut mengenai orang lain. Gadis itu jarang untuk melibatkan diri dalam hal orang lain, dan juga sukar menceritakan perihal dirinya.

“Cinta pertama aku” jawab Jisoo jujur. Jisoo menoleh pandang rumah kedai di tepi jalan itu. Tempat yang penuh nostalgianya bersama rakannya bernama Jungkook. Lelaki yang paling banyak membantunya saat dirinya lemah.

“Cinta pertama kau? Kau tinggal di sini dulu?” Taeyong bertanya lagi, seperti sukar mempercayainya.

“10 tahun yang lepas, sebelum aku jumpa kau. Aku macam orang gila. Aku kesunyian dan ketakutan. Aku hanya seorang diri. Nama dia Jungkook. Dia banyak bantu aku. Aku menumpang di rumah dia selama setahun. Dia sangat baik, sampai aku takut kalau aku lukakan dia. Bila aku jumpa dengan kumpulan Ouroboros, aku lari dari dia sebab aku tak nak dia terlibat sama. Dia terlalu baik untuk buat kerja kotor ni” Jisoo menceritakan seraya teringat hari-hari suramnya 10 tahun yang lalu.

Taeyong hanya mendengar. Itu kali pertama Jisoo menceritakan mengenai kehidupannya sebelum dia melibatkan diri dalam Ouroboros.

Jisoo menoleh semula, mengadap Taeyong di sebelahnya. “Aku tak tahu kenapa tapi aku rasa aku boleh percayakan kau. Aku tak akan berahsia apa-apa lagi dari kau, jadi kau pun jangan berahsia dari aku”

Taeyong ketawa kecil sambil mengerling sekeliling. “Kau cuba nak minta apa ni? Tetiba macam ni? Kau ada buat salah dengan aku?”

Jisoo menggigit bibir sambil menjeling lelaki naif itu. “Tak mengapalah. Aku nak cari Wonwoo dan cerita rahsia aku pada dia” Jisoo lalu beredar.

“Yah yah” Taeyong menahan pegang lengan gadis itu. “Jangan. Jangan jumpa Wonwoo. Ceritakan pada aku. Hanya aku. Jangan cerita dengan orang lain. Kau boleh percayakan aku” tegas lelaki itu.

Jisoo tersenyum manis di sebalik topeng mulut yang dipakai.

“Kenapa kau selalu cemburu kalau aku rapat dengan Wonwoo?” Jisoo menyoal terus-terang sambil mereka berdua berjalan bersebelahan ke tempat letak kereta.

“Hmmm…”

“Tengok tu. Kau ada rahsia dengan aku?” Jisoo dapat membaca riak wajah lelaki itu.

“Aku akan beritahu nanti. Bukan di sini. Dalam perjalanan ke Seoul, aku akan beritahu” Taeyong cuba meyakinkan gadis itu. Jisoo mengangguk setuju.

/////////////////////////

“Apa yang kau buat?! Apa yang kau buat?!” kedua-dua Baekhyun dan Dokyeom menadah kepala mereka. Changmin, ketua kumpulan yang menguruskan kes pembunuhan Jungkook itu menghempuk kedua-dua detektif itu dengan fail-fail kertas.

“Maafkan kami” ujar Dokyeom dan Baekhyun serentak, seraya menahan malu ditonton oleh rakan setugas yang lain dalam balai polis Seoul itu.

“Macam mana saksi utama boleh melarikan diri? Kenapa dia perlu melarikan diri, dia bukan suspek utama?” suara Changmin agak meninggi.

“Betul tu tuan, itulah apa yang saya fikirkan. Saya pun pelik tuan” celah Dokyeom sebelum kepalanya dihentuk sekali lagi. Baekhyun senyap menahan ketawa.

“Itu pasal kita kena siasat!” nada Changmin jelas tidak sukakan lawak Dokyeom itu.

“Kau ketawa?” Changmin beralih kepada Baekhyun yang masih menunduk.

“Maafkan saya tuan” sahut Baekhyun, mengetatkan muka.

Changmin lalu mencapai sebuah pen marker di atas mejanya. “Kau…” pen itu ditojoh kepada Lee Dokyeom “…siasat mengenai Kim Jisoo. Apa hubungan dia dengan mangsa, alibi dia masa tempoh kejadian” kemudian beralih kepada Baekhyun. “Kau pula, siasat mengenai Kim Seok Jin. Apa hubungan dia dengan mangsa, rekod jenayah dia, perlakuan dia di penjara, banduan mana yang rapat dengannya”

“Baik tuan!” sahut Dokyeom dan Baekhyun serentak, penuh semangat.

////////////////

Cahaya pagi menerpa masuk melalui sebuah ruang tingkap kecil di hujung bilik. Irene terbaring di atas sebuah katil bersaiz ‘single’. Jin pula terlelap di tepi pintu. Jaketnya ditanggal guna sebagai selimut sendiri.

“Kim Seok Jin”

Jin terasa geli disentuh sesuatu. Irene menahan ketawa, sambil meniup telinga lelaki itu.

“Kim Seok..”

Jin membuka luas matanya, menoleh pandang Irene di sebelahnya. Terkejut gadis itu.

“Dah pagi” ujar Irene tidak berganjak. Wajahnya begitu hampir dengan Jin.

Jin menyarung semula jaket jeans nya sambil bangkit berdiri. Pinggangnya terasa lenguh.

“Polis kejar kita sampai sini? Aku dah tak sedar bila aku tidur malam tadi” soal Jin serius, menghampiri tingkap bilik motel yang ditempah malam tadi. Tingkap tersebut tidak berlangsir.

“Buat masa ni, kita bermalam semalam dua di sini. Lusa kita keluar. Di luar sana pasti polis tengah cari kita” ujar Irene, lalu bangkit berdiri. Sama seperti Jin, bajunya juga masih tidak bertukar.

Jin kemudian menoleh pandang Irene. “Aku tak faham. Kenapa kita perlu lari daripada polis? Aku tak bunuh dia, jadi kenapa polis cari aku? Kenapa aku perlu ikut kau?” dahinya berkerut.

“Sebab aku tak suka polis” jawab Irene jujur, melabuhkan punggung di atas katil. “Polis banyak kerenah, menyusahkan”

“Eh?” jawapan itu seperti tidak menepati apa yang Jin harapkan.

“Jisoo, polis…”

Irene mengerling Jin saat lelaki itu tersasul memanggilnya dengan nama palsu.

“Kita boleh minta tolong polis untuk cari Jisoo” Jin membetulkan kesilapannya, melarikan pandangannya daripada bertentangan dengan pandangan Irene.

“Tak. Kau ingat polis akan tolong kita dengan mudah? Mereka cuma nak selesaikan kes pembunuhan budak bernama Jungkook. Kau kebetulan bersama dia semasa dia ditembak. Jadi kau sangat diperlukan oleh mereka. Kemudian, mereka akan buang kau. Mereka tidak akan tolong kau” nada Irene mendatar.

Jin keliru. “Macam mana kau tahu yang Jungkook ditembak?” soalnya kehairanan.

“Aku… tahulah. Kalau kau cari polis, aku tak akan tolong kau cari adik kau” selepas rahsianya terbongkar, Irene tidak lagi menggunakan kata hormat apabila bercakap dengan Jin.

“Kau… cuba ugut aku?” Jin membalas.

“Aku cuma beri kau pilihan. Aku… boleh tolong kau cari Jisoo, sebab tu aku sanggup lari bersama kau malam tadi. Aku tiada kaitan dengan pembunuhan Jungkook tu. Tapi polis di luar sana… kau yakin mereka boleh tolong kau?” nada Irene juga kedengaran angkuh. Jin diperendahkan.

Jin mendengus nafas berat dan mengerling ke luar tingkap. “Kau, kenal adik aku? Macam mana kau boleh berjumpa dengan Jisoo?”

“Kami berkawan” Irene memulakan drama pembohongannya. “Aku kenal dia 5 tahun yang lepas. Masa tu, dia bekerja di sebuah kafe. Kami berjumpa dan menjadi kawan. Aku, ada masalah kewangan dan Jisoo beri aku tempat tinggal. Kami berkongsi rumah, rumah kau yang sekarang tu. Semuanya dalam keadaan baik sehingga tahun lepas, Jisoo dia tidak balik ke rumah. Dia kata dia nak cari abang dia. Aku masa tu tak tahu langsung pasal kau. Jisoo tak pernah cerita. Dia suruh aku menyamar jadi dia. Dia kata jika abang dia kembali, dia nak aku menyamar jadi dia”

“Jadi kau pun menyamar sebagai dia?”

Irene mengangguk. “Dia banyak tolong aku. Aku perlu balas jasa dia. Jadi aku sanggup buat apa sahaja dia suruh”

“Jisoo pula? Dia kemana? Dia tak beritahu kau, kenapa kau perlu menyamar? Dia tinggalkan kau keseorangan di rumah tu? Dia tahu aku akan cari dia?” Jin menerjah dengan pelbagai soalan.

“Aku langsung tak tahu yang Jisoo ada abang. Dia tak cerita apa-apa. Mulanya, kami berkirim surat dan dia selalu hubungi aku, tapi selepas beberapa bulan, kami hilang perhubungan. Dia hilang macam tu saja. Jadi apa boleh aku buat? aku tunggu dia pulang dan kau muncul”

“…Saya nampak dia berbual dengan seorang perempuan. Saya tak kenal perempuan tu…”

Jin menunduk. Kepenatan. Dia tidak bersedia untuk mengadap dunia yang kejam ini. Jin baru sahaja keluar dari penjara, langsung tidak menjangka cabaran sedemikian yang akan dihadapi. Kata-kata Jungkook bermain dalam fikirannya, begitu juga cerita Irene.

“Aku faham. Kau mesti keliru. Terserah kau nak percaya atau tidak, aku hanya beritahu perkara sebenar”

//////////////////////

Wonwoo senyap membaca komik sambil duduk rehat di atas sebuah kerusi kain di hadapan kaunter. Seketika kemudian, pintu kedai diseret buka. Seorang perempuan memakai baju dress cantik dan tersarung cincin berlian di jarinya. Sebuah pisau berlumuran darah lalu dicampakkn atas meja kaunter. Wonwoo spontan bangkit berdiri. Wonwoo memandang pisau tersebut sebelum mengalihkan pandangan pada gadis yang berdiri di depan kaunter itu.

“Apa?” nada Seulgi menjengkelkan. Anak rambutnya sedikit serabai. Wonwoo perasan akan darah yang masih melekat tangan Seulgi. Cincin berlian yang dipakai mempunyai kesan percikan darah. Wonwoo hanya senyap.

“Apa!!” Seulgi melentingkan. “Ya aku bunuh orang. Seorang perempuan buat aku naik marah hari ni. Cepat simpan pisau tu, dan ambilkan aku tuala bersih. Tangan aku rasa melekit”

Wonwoo tersenyum sinis. “Seronok bunuh orang?” nada Wonwoo sinis, mengembalikan soalan yang sama pernah diajukan oleh Seulgi.

Gadis itu ketawa kecil dan memandang tepat mata Wonwoo. “Ya seronok. Tapi aku tak sama macam kau. Aku ingat setiap orang yang aku dah bunuh, tak macam kau”

Wonwoo dan Seulgi memandang satu sama lain dengan wajah yang tegang.

///////////////

Jisoo menyelesakan dirinya dalam kereta di tempat duduk sebelah penumpang. Taeyong di sebelahnya, memandu dengan kelajuan biasa. Mereka memasuki lebuhraya utama, ke Seoul.

“Taeyong, kau ingat lagi macam mana kita berjumpa dulu?” Jisoo memulakan perbualan.

Taeyong cuba mengingatinya semula. “Kalau tak silap aku, 8 tahun lepas. Di musim sejuk. Salji turun bagai nak gila masa tu. Kau menggigil dengan baju nipisnya. Aku ingat kau dah mati”

Jisoo masih mampu tersenyum. “Aku macam orang gila kan?”

Taeyong sekali sekala mengerling gadis di sebelahnya itu. “Bahu kau masih sakit?” soalnya.

“Dah sembuh. Terima kasih kepada nenek Wonwoo yang merawat. Tapi masih ada kesan parut. Agaknya ia tidak akan hilang”

Taeyeong diam, mengangguk. Stereng digenggam kuat.

“Yah, kau tak nak tahu ke kenapa aku bersungguh nak masuk kumpulan Ouroboros ni?”

“Aku boleh tanya ke? Kau akan beritahu?”

Jisoo pula mengangguk. “Untuk hari ni, apa sahaja kau tanya aku, aku akan jawab jujur, cerita dengan betul-betul. Setiap yang kau nak tahu”

Taeyong hampir menekan brek kereta, hampir tidak mempercayai apa yang Jisoo katakana. “Betul ni?!” suaranya bergema dalam kereta.

Jisoo ketawa kecil. “Hmm!”

“Jadi kenapa kau teringin masuk kumpulan Ouroboros ni?” Taeyong menggunakan peluang sedia ada.

“Sebab aku nak tahu siapa dan apa sebenarnya kumpulan Ouroboros ni? Apa maksud Ouroboros?”

“Ouroboros tu…” Taeyong diam seketika. “Jadi kau jumpa jawapannya?”

Jisoo menggeleng. “Belum. Aku akan berusaha sehabis mungkin agar aku dapat bertemu dengan ketua Ouroboros”

“Kau nak jumpa dengan ‘ayah’?”

“Apa pun kau panggil dia, ya. Aku nak jumpa dia. Macam-macam aku nak tanya dia” Jisoo menjawab jujur.

“Kau nak tanya apa?”

Jisoo memegang rantai yang tergantung di lehernya. Rantai yang mempunyai simbol dua ekor naga mengigit ekor masing-masing. “Aku nak tahu mengenai mak aku”

Taeyong tidak tahu bagaimana untuk memberi tindak balas. Dia tahu siapa mak Jisoo dan kaitannya dengan Ouroboros. Taeyong dilanda serba salah kerana tidak dapat meluah cerita hal yang sebenar kepada gadis naif itu.

“Taeyong” Jisoo memanggil apabila lelaki itu tidak bersuara. “Aku ada seorang abang”

“Aku tahu” balas Taeyong sempat mengerling gadis itu. “Kau selalu mimpi buruk mengenai dia. Kau akan panggil ‘abang’ dalam tidur kau. Dia tinggalkan kau?”

“Aku benci dia” komen Jisoo, mencampak pandangan ke luar tingkap. “Dia tinggalkan aku. Dia pengecut. Dia tidak melawan. Dia penakut” air mata Jisoo mengalir senyap.

“Jangan takut. Abang ada. Jisoo jangan risau. Abang akan jaga kamu. Abang tak akan tinggalkan kamu. Abang janji”

“Jisoo, kau menangis lagi?” Taeyong cuba menarik pusing, ingin melihat wajah gadis itu yang cuba disorokkan.

Jisoo menggeleng-geleng seraya air mata turun berjurai.

“Aku tak…..” Jisoo tidak dapat menahan sebak. Taeyong segera memberhentikan kereta di bahu jalan kecemasan.

“Taeyong… kenapa harus aku? Aku keseorangan. Semua orang tinggalkan aku. Semalam Jungkook, cinta pertama aku meninggal dunia. Aku dah tiada sesiapa lagi” ujar Jisoo teresak-esak. Wajahnya basah dengan air mata.

Taeyong membuka tali pingang keselamatan dan merapati peluk Jisoo, memujuknya. “Kau selalu lupa aku ada bersama kau. Aku tak akan tinggalkan kau. Aku ber..”

“Tak…” Jisoo menggeleng, memegang pipi lelaki itu. “Jangan berjanji dengan aku. Jangan sesekali katakan kau yang tak akan tinggalkan aku. Aku tak mahu dikecewakan lagi. Hanya kau dan Wonwoo yang tinggal”

“Aku tidak akan biarkan kau keseorangan”

//////////////

26 Mei 2007/10 tahun lalu

Usai menanggalkan kasut sekolah, Jisoo bergerak ke ruang tamu. Rumah dalam keadaan senyap. Jisoo tertanya-tanya, ke mana ibu pergi? Kehausan, gadis itu ke dapur, melihat memo kecil di depan peti sejuk yang ditinggalkan mamanya.

‘mama ke pasaraya beli barang’

Jisoo membuka peti sejuk dan mencapai sebotol air sejuk. Telinganya kemudian dapat menangkap bunyi sesuatu. Tidak sedap hati, Jisoo berjalan mencari punca bunyi tersebut.

“Papa?” Jisoo membuka pintu bilik ibu bapanya, melihat seorang lelaki sedang menggeledah almari. Lelaki itu rupanya ayahnya sendiri.

“Papa tak kerja hari ni?” soalnya, berjalan menghampiri Kim Myun Ho itu.

“Oh Jisoo... kamu baru pulang dari sekolah?”

Jisoo hanya mengangguk. Hairan melihat ayahnya menggeledah barang-barang dalam almari dan laci. Bilik itu agak bersepah.

“Papa cari apa? Ada barang hilang?”

Kim Myun Ho mengerling pandang anak gadisnya itu. “Jisoo, kamu kemas barang. Malam ni kita akan pulang ke Seoul”

“Eh?” Jisoo agak terkejut. “Sekali dengan mama?” tambahnya bertanya.

Kim Myun Ho menggeleng. “Tidak. Hanya papa, Jisoo dan abang kamu” nadanya agak keras.

Jisoo tahu papa dan mamanya bergaduh. Peristiwa minggu lepas, di mana dia melihat sendiri mamanya ditampar, mengejutkan dirinya. Jisoo juga tahu, dia dan Jin akan terpaksa memilih antara mama atau papanya.

“Jisoo, kamu dengar tak apa yang papa cakap?” Kim Myun Ho melihat anaknya itu termenung.

“Dengar. Nanti Jisoo akan kemas barang. Tapi sekarang ni, papa tengah cari apa?” lamunan Jisoo terhenti.

“Papa cari sesuatu. Dia macam rantai, dan mempunyai gambar naga” Kim Myun Ho tiada pilihan lain. Dia meminta Jisoo membantunya. “Rantai tu milik mama kamu” ujarnya merendahkan suara.

Anak mentah itu tidak faham akan situasi tersebut. Tanpa banyak soal, Jisoo membantu ayahnya menggeledah cari di laci rak berdekatan katil. Lalu Jisoo teringat akan kotak rahsia mamanya. Gadis berumur 14 tahun itu mencapai sebuah kotak barang kemas. Bahagian bawah kotak tersebut, ditarik buka. Beberapa keping wang kertas tersimpan kemas beserta seutas rantai. Jisoo memegang rantai tersebut.

“Papa, ini?” rantai itu ditunjukkan kepada Kim Myun Ho.

Lelaki itu terkejut, segera menghampiri Jisoo. “Mana kamu jumpa?” soalnya.

“Saya pernah nampak mama simpan duit bawah kotak ni. Jadi saya terfikir, mungkin ada lagi barang selain duit yang mama simpan sini” Jisoo menuding tunjuk kotak barang kemas tersebut dan beberapa keping duit yang dijumpai.

Bukan duit itu yang menjadi tumpuan Kim Myun Ho. Jisoo menyerahkan rantai itu kepada ayahnya.

“Rantai apa tu papa?” soal anak yang masih naif itu.

“Ouroboros” jawabnya.

“Oroborus?” nama itu asing bagi Jisoo.

“Dua ekor naga yang menggigit ekor masing-masing” jelas Kim Myun Ho lagi. Jisoo kebingungan.

“Jisoo, mari sini” Kim Myun Ho menarik anak perempuannya ke ruang tamu. Jisoo lalu duduk di atas sofa, manakala ayahnya duduk berlutut di hadapannya untuk menyamakan ketinggian mereka.

“Papa dan mama sayangkan kamu berdua. Ini semua untuk keselamatan kamu. Kita harus berpisah dari mama kamu. Kawan lama mama kamu akan datang balas dendam. Mereka tahu mama kamu masih hidup”

Jisoo mengerutkan dahi. “Kawan jenis apa yang datang nak balas dendam? Itu bukan kawan namanya. Kenapa mereka datang? Mama dan papa ada hutang?” Jisoo masih kecil untuk memahami kegelisahan hati ayahnya.

“Jisoo. Kamu dan abang kamu harus ikut papa ke Seoul”

“Saya dah pulang”

Kim Myun Ho segera menyimpan rantai tadi ke dalam poket. “Jangan beritahu sesiapa mengenai rantai ni. Ingat!” Jisoo agak takut dengan amaran papanya. Gadis itu mengangguk.

“Papa tak kerja?” soal Jin, sebaik melangkah masuk, mendapati ayah dan adiknya di ruang tamu.

“Papa tak kerja hari ni” jawab Kim Myun Ho bangkit berdiri. “Jin, kemas barang kamu. Kita akan balik ke Seoul”

“Sekarang?” soal anak muda itu sambil mencabut buka beg yang digalas di belakang. “Tapi Jin baru balik sekolah. Boleh tak kalau esok? Lagipun petang ni Jin ada janji dengan kawan-kawan. Kami nak main futsal” Jin mencampakkan begnya di atas lantai lalu merebahkan diri atas sofa.

“Jisoo nak ikut abang” Jisoo mencelah sambil tersenyum.

“Kau nak ikut ke mana?”

“Ikut abang petang ni, jumpa kawan abang” balasnya sambil tersengih.

“Yah, kau nak jumpa dengan budak Jungkook tu kan? Papa tengok Jisoo, gedik nak mengorat anak teruna orang”

“Kenapa? Salahke?” Jisoo menjelir lidah.

“Abang kerat lidah tu nanti” Jin memberi amaran dalam nada gurauan. Jarinya dibentukkan seperti gunting.

Jisoo ketawa kecil. Kim Myun Ho senyap, menggelamun. Tangannya meraba pegang rantai yang berada dalam poket seluar.

“Pa?” Jin memanggil apabila lelaki itu tidak memberi tindak balas.

“Papa beri kebenaran. Tapi esok, kita mesti bertolak ke Seoul pagi-pagi. Petang ni, kali terakhir kamu jumpa dengan kawan-kawan kamu di sini” ujar papa mereka seraya kembali masuk ke dalam bilik.

Kedua-dua Jin dan Jisoo hanya memandang belakang badan ayahnya yang bergerak masuk ke bilik. Tidak mengetahui bahawa itu kali terakhir ayahnya bersuara, kali terakhir mereka berbual, kali terakhi mereka ketawa bersama. Malam itu, berlaku peristiwa yang mengubah kehidupan mereka dua beradik.

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
tenmachan
cuba teka belakang badan siapa dalam poster tu?

Comments

You must be logged in to comment
k-hope
#1
Wow. Cerita-cerita awak sentiasa membuatkan saya curious. Hwaiting for this story.^^