003

Ouroboros Mata Biru *hiatus

Sehun dan Seulgi duduk saling mengadap manakala kerusi lain kosong tidak bertuan. Di hujung meja, lelaki separuh umur, memakai kemeja kemas sedang menikmati makanannya. Stik daging rusa. Beberapa orang tukang masak berdiri tegak di bahagian kiri, manakala di bahagian kanan, dua orang pembantu rumah, juga berdiri tegak. Suasana senyap. Hanya kedengaran bunyi ketingan pisau bertemu pinggan kaca yang memotong daging.

“Sehun… Seulgi…”

Kedua-dua adik beradik kembar itu tersentak. “Ya ayah” jawab mereka serentak.

“Kenapa kamu berdua senyap? Ada masalah?”

“Masalah? Tiada-tiada” laju Seulgi menjawab seraya Sehun pula menggeleng-geleng.

Lelaki separuh umur itu tersenyum. Menampakkan beberapa kedutan di sekitar matanya. Pisau dan garpu yang dipegang lalu diletakkan di tepi pinggan.

“Ayah ada sesuatu nak beritahu kamu”

Sehun dan Seulgi turut berbuat perkara yang sama, meletakkan pisau dan garpu yang dipegang. Mereka berdua fokus mendengar setiap kata-kata lelaki yang digelar ayah itu. Lelaki yang berperanan besar dalam hidup mereka. Lelaki yang mengatur setiap langkah mereka. Lelaki yang menyelamatkan mereka. Park Sung Hwi.

“Ayah… nak cari pengganti ayah”

“Pengganti?” Seulgi bertanya.

“Hmm!” Park Sung Hwi menggangguk. “Pengganti ayah dalam Ouroboros”

Kedua-dua Sehun dan Seulgi saling berpandangan.

“Ayah ada sesiapa yang ayah fikirkan sesuai?” kali ini Sehun pula bertanya.

“Ada” lagi sekali Park Sung Hwi menggangguk. Kali ini dia memandang kedua-dua adik beradik kembar itu bergilir-gilir sebelum menjawab. “Kamu berdua”

“Kamu berdua dah besar. Lagipun hanya kamu berdua yang membesar rapat dengan ayah. ‘anak’ yang lain tak biasa bersama ayah, malah ada yang belum pernah jumpa ayah. Ayah pun tak kenal perangai sebenar mereka. Kamu berdua sangat istimewa bagi ayah selain Wonwoo. Dia…” kata-kata Park Sung Hwi berhenti seketika. Dahinya berkerut seolah memikirkan sesuatu. “Apa-apapun, ayah akan pilih salah seorang dari kamu. Sehun atau Seulgi”

Sehun dan Seulgi diam tidak membalas.

“Kenapa kamu berdua senyap?” soal Park Sung Hwi melihat reaksi kedua-dua beradik itu

“Mesti salah seorang dari kami?” Sehun beranikan diri bersuara, sedangkan dia tahu Park Sung Hwi tidak suka setiap tindakannya dipersoalkan.

“Kenapa kamu cakap macam tu Sehun? Kamu tak nak? Kalau kamu tak nak, ayah akan pilih Seulgi” nada Park Sung Hwi serius.

“Tak. Bukan dia maksud macam tu” laju Seulgi bersuara, membantu abangnya. “Sehun cuma nak tahu, kenapa saya dan dia yang ayah pilih sedangkan ramai lagi anak ayah yang berkebolehan”

Sehun memandang Seulgi. Tangan adiknya itu menggigil kecil. Seulgi segera menyembunyikan tangannya di bawah meja. Sehun tertunduk seketika.

“Ayah tak mahu peristiwa 20 tahun yang lepas berulang kembali” jawab Park Sung Hwi tanpa menyembunyikan. Kedua-dua Sehun dan Seulgi diam tidak lagi berani bertanya. “Kamu tahu apa berlaku 20 tahun yang lepas? Kamu kecil lagi masa tu”

“Adakah ia berkaitan dengan ayah Wonwoo?”

“Pandai kamu Seulgi” ayahnya itu memuji. “Betul. Adik ayah juga kawan baik ayah iaitu ayah Wonwoo. Dia gagal misinya. Dia sepatutnya bunuh seorang perempuan tapi dia selamatkan dan sembunyikan perempuan tu dalam kumpulan ouroboros. Atas kesilapan dia, ayah Wonwoo tak dapat jadi ketua. Masa tu ayah kecewa sangat dengan dia. Semenjak dia bercinta dengan perempuan tu, dia sering larikan diri. Dia kata nak berubah, nak keluar dari Ouroboros” jelas Park Sung Hwi.

“Perempuan tu… mak Wonwoo?”

Park Sung Hwi tersenyum. “Kamu lebih tahu dari ayah. Kamu pernah jumpa dia kan? 10 tahun yang lepas, masa misi kamu di Incheon”

Sehun tersenyum tawar.

“Jadi ayah tak mahu kamu berdua jadi seperti ayah Wonwoo. Tiada siapa boleh keluar dari kumpulan Ouroboros ni. Ayah tak mahu bakat kamu berdua dibazirkan. Kamu kena yakinkan ayah, siapa antara kamu yang lebih layak”

Park Sung Hwi lalu bangkit bangun setelah mengelap mulutnya dengan kain napkin. Seorang pembantu rumah, membantu menarik kerusi untuk mudahkan lelaki itu.

“Siapa…” Seulgi bersuara, menunduk pandang daging stik yang masih bersisa dalam pinggannya.

Park Sung Hwi memberhentikan langkah, ingin mendengar apa yang Seulgi katakan.

“… yang kalah, akan jadi seperti ayah Wonwoo?”

Park Sung Hwi ketawa kecil lalu meneruskan langkah.

///////////////////

Jin berpusing memandang sekeliling. Segala depan matanya kelihatan canggih. Jantung berdegup serentak bunyi muzik yang dimainkan. Jin terasa kecil dan kerdil. Tidak sangka 10 tahun yang berlalu akan memakan masanya sedemikian rupa.

“Encik, sila dapatkan jenama kami dalam versi terbaru. Versi yang terbaru mampu melindungi telefon encik di dalam air malah tahan gegaran…” seorang perempuan menghulurkan Jin sehelai kertas promosi.

“Abang!” Irene menerpa paut lengan lelaki itu.

“Kenapa kamu lama sangat di tandas?” soal Jin pana.

“Cik, boleh dapatkan versi telefon pintar yang…”

“Terima kasih” ujar Irene, dihulurkan kertas yang sama. Lantas Irene menarik Jin ke kawasan lain.

“Jisoo”

“Hmmm?” Irene menyahut.

“10 tahun lepas, tempat ni tiada lagi kan? Abang tak ingat pernah pergi tempat macam ni. Semua nampak baru. Semua canggih-canggih” luah Jin teruja.

Irene tersenyum. “10 tahun dah berlalu. Kita sekarang di masa moden. Semuanya sentuh-sentuh je”

Jin mengangguk sambil memandang kedai-kedai sekeliling serta gambar model yang digantung tinggi.

“Hari ni, Jisoo belanja abang. Kita beli barang-barang baru, dan yang paling penting… telefon untuk abang supaya senang kalau saya nak hubungi abang” Irene memaut pegang lengan Jin.

“Macam ni?” Jin memegang tunjuk gambar telefon pintar dalam kertas promosi yang dihulurkan oleh pekerja tadi.

Irene mengangguk.

“Tapi ia nampak macam mahal. Abang tiada duit lagi” Jin menarik muka, lalu melipat-lipat kertas tersebut.

“Abang… Jisoo belanja. Nanti lain kali, abang pula belanja saya.” Irene cuba meyakinkan lelaki itu.

‘Tapi…” Jin berasa berat hati.

“Tiada tapi-tapi. Jom!” Irene menarik lengan lelaki itu, berjalan ke escalator terdekat.

/////////////////

Pintu van ditutup laju dan kuat. Taeyong laju menekan pedal minyak, segera meninggalkan kawasan perumahan tersebut. Jisoo dan Wonwoo di tempat duduk belakang menarik nafas lega.

“MMMMMM!!!!”

Jisoo menoleh ke belakang, di tempat duduk paling belakang, seorang kanak-kanak dan ibunya yang diikat mulut serta kaki tangan.

“Minta maaf. Kita akan sampai tak lama lagi. Tapi, saya terpaksa pisahkan kamu berdua” ujar Jisoo jujur. Kedua-dua anak beranak itu dipandang kasihan. Kanak-kanak itu mempunyai tanda lahir di lehernya. Sebuah tanda seakan bentuk rama-rama.

“Tak payah beritahu mereka” Taeyong bersuara. Wonwoo hanya diam memerhati.

“Mmmmm!!!” kedua-dua anak beranak yang diculik itu menjerit dan meronta.

“Jangan meronta macam tu. Ia hanya akan sakitkan lagi” Wonwoo lalu mengeluarkan pistol dan mengacu kepada kepala kanak-kanak tersebut.

“Mmmm!!!” si ibu menjerit namun jeritannya tenggelam dalam kain yang diikat pada mulut.

“Kalau tak nak apa-apa berlaku pada anak awak… shhhuuuttt” Wonwoo membuat isyarat meletakkan jari di bibir.

Mengalir air mata si ibu.

///////

Cuaca cerah tidak semendung perasaannya. Sehun berdiri rapat di tingkap. Wajahnya tegang memikirkan sesuatu. Hatinya berbolak-balik.

“Siapa yang kalah, akan jadi seperti ayah Wonwoo?”

Ayat yang ditanya oleh Seulgi tadi bermain dalam fikirannya. Sehun menggengam erat buku limanya. Ditoleh ke kiri, Sehun memandang pula pantulan dirinya pada sebuah cermin panjang di sebelah almari. Anak muda itu berjalan menghampiri cermin tersebut. Tangannya mencapai buka satu persatu butang baju kemeja yang dipakai. Baju itu ditanggalkan. Sehun melihat pantulan badannya yang terdapat pelbagai kesan calar balar kecil. Sehun berpusing, menoleh pandang pantulan belakang badannya.

Tatu Ouroboros. Dua ekor naga yang menggigit ekornya sendiri.

Tidak semena-mena air matanya mengalir.

“Seulgi… apa patut kita buat?”

Soalan Sehun tidak berjawab. Suasana dalam bilik itu senyap. Hanya air mata Sehun yang turun mengalir.

/////////

Park Sung Hwi termenung lama di mejanya.

“Siapa yang kalah, akan jadi seperti ayah Wonwoo?”

Bibirnya mengukirkan senyuman. “Mereka dah besar dan faham” ujarnya bersendirian dalam bilik khas itu.

Sebuah laci ditarik buka, dan sekeping gambar dicapai ambil. Gambar seorang lelaki dan perempuan tegak berdiri memandang kamera. Si perempuan tersenyum namun si lelaki nampak kekok.

“Park Won Chul” gambar itu disentuh pegang.

“Kalau kau tidak jatuh cinta dan pilih perempuan tu, tentu sekarang dah hidup bahagia, memimpin Ouroboros”

Mata Park Sung Hwi beralih kepada perempuan yang berdiri dalam gambar sebelah adiknya itu.

“Kau… dan seluruh keluarga kau akan menderita. Aku akan habiskan nyawa anak-anak kau seperti mana aku buat pada kau dan suami kau 10 tahun yang lepas…. Kim Hee Woo”

Gambar tersebut lalu dikerunyuk geram.

////////////

Sehelai demi sehelai baju dibelek namun tiada satu pun yang menarik hatinya. Tangan Seulgi kasar mencampak mana-mana baju yang tidak berkenan. Wajahnya masam.

“Siapa yang kalah, akan jadi seperti ayah Wonwoo?”

Cik muda nak cari baju yang macam mana? Mungkin saya boleh bantu?” seorang wanita, pengurus butik tersebut mendekati Seulgi.

“Diam!” gadis itu menjerit kuat. Beberapa pekerja kedai tergamam. Masing-masing menunduk. Pengurus tadi mengundur selangkah.

“Cik muda….”

“Kenapa semuanya tak cantik?! Semuanya warna hitam! Bawakan saya warna yang ceria! Warna yang terang!” Seulgi menggesa marah.

“Kami akan carikannya sekarang” segera pekerja tersebut bertebaran mencari pakaian yang diinginkan oleh cik muda tersebut.

Seulgi menggenggam kuat salah satu baju yang digantung. Tangannya masih menggigil.

“Yang ini cik muda?”

“Yang ini?”

“Cik muda mesti sukakan rona warna yang lembut ni?”

“Warna ini warna yang ceria, malah kainnya sesuatu dipakai pada musim ini. Pasti sesuai dengan cik muda”

Seulgi diam tidak membalas, hanya memerhatikan pekerja-pekerja tersebut menghulurkan pakaian yang dicari.

“Saya tak nak. Saya akan datang lain kali. Sediakan apa yang saya nak nanti. Jangan jadi lembap!” Seulgi menjeling sebelum beredar meninggalkan butik tersebut.

Langkahnya lemah, beg tangan yang dipegang terasa berat. Perlahan-lahan Seulgi berjalan ke tepi. Dalam hatinya, Seulgi tertanya-tanya, adakah Sehun turut berasa yang sama?

“Abang pasti dah lapar. Kita makan di aras bawah. Sana ada kedai makan yang sedap”

Seulgi mengangkat muka, mengenali suara tersebut. Dari jauh, Seulgi mendapati kelibat seorang perempuan dan seorang lelaki.

“Irene?”

Seulgi berjalan menghampiri pasangan tersebut, namun menyembunyikan dirinya di belakang sebuah tiang besar.

“Itu Kim Seok Jin, abang Jisoo?”

Perasaan gelisah Seulgi tadi hilang seketika. Lama dia memerhatikan Irene dan Jin. Senyuman mereka, tawa mereka.

“Dah 10 tahun aku tak nampak kau Kim Seok Jin” Seulgi tersenyum sinis. Kali terakhir dia melihat lelaki tersebut ialah 10 tahun yang lepas, dalam hujan lebat, dalam tangisan.

///////////////////////

27 Mei 2007

Hujan turun lebat, mencurah-curah. Jin dan Jisoo berpegang tangan. Kedua-dua mereka hanya senyap duduk di atas lantai di ruang tamu. Terdapat beberapa tanda nombor dan garisan yang dilukis oleh pihak polis dan forensik di atas lantai rumah tersebut. Kedua beradik itu tidak mengusik kawasan berkenaan.

“Abang” Jisoo yang berumur 14 tahun bersuara.

“Kenapa?” Jin memandang adiknya.

“Jisoo takut. Mama dan papa dah tiada. Selepas ni, siapa akan jaga kita? Apa akan jadi dengan kita?”

“Jangan takut. Abang ada. Jisoo jangan risau. Abang akan jaga kamu. Abang tak akan tinggalkan kamu. Abang janji” Jin merapati dan memeluk bahu adiknya.

Jisoo mendakap kuat abangnya, menangis dalam dakapan Jin. Perasaannya hiba setelah kematian ibu dan bapanya.

Tok tok tok

Jisoo dan Jin terperanjat dengan bunyi ketukan di pintu. Tanpa melengahkan masa, Jin bangkit bangun, membuka pintu. Dua orang lelaki memakai baju hujan berdiri di luar pintu.

“Siapa?” soal Jisoo. Jin mengjungkit bahu.

“Encik cari siapa? Maafkan saya tapi ibu bapa kami baru meninggal semalam. Kami baru balik dari pengebumian mereka. Boleh encik datang lain kali?” ujar Jin sebelum Jisoo bangkit berdiri, mendekatinya.

“Kami polis cawangan Incheon. Kami berdua datang nak jumpa kamu. Kim Seok Jin” salah seorang lelaki berbaju hujan itu bersuara manakala seorang lagi, mengeluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya. Lencana identiti polis.

Jisoo dan Jin saling berpandangan.

“Kim Seok Jin. Anda ditahan atas kesalahan membunuh Kim Myun Ho dan Kim Hee Woo pada tarikh 26 Mei 2007 jam 12 tengah malam. Sila ikut kami ke balai” tangan Jin yang masih di tombol pintu, pantas digari.

“Eh?!”Jisoo terkejut.

“Encik.. apa ni? Kenapa encik gari saya?” Jin juga terperanjat saat besi sejuk gari tersebut mengenai kulit tangannya.

“Jangan tangkap abang saya” Jisoo menarik tangan abangnya.

“Saya minta maaf, tapi abang kamu telah terbukti membunuh ibu bapa kamu. Kami temui cap jari Kim Seok Jin pada senjata pembunuhan”

Jisoo memandang Jin terkejut. “Abang..? abang yang..?”

Jin menggeleng laju. “Tak Jisoo. Bukan abang! Abang tak bunuh mama dan papa”

“Sila ikut kami ke balai” dua orang polis itu mengherat bawa Jin. Jisoo mengejar dari belakang.

“Abang!”

“Tak. Ini silap! Saya tak bunuh mama dan papa saya! Saya bukan pembunuh” Jin cuba meyakinkan kedua-dua pegawai polis itu. Jin diheret keluar. Di luar rumah, langkah Jin terhenti melihat kerumunan jiran yang sudah berkumpul di luar. Masing-masing berdiri di bawah payung, memerhatikan Jin dengan tomahan-tomahan buruk.

“Budak tu bunuh ibu bapa sendiri”

“Anak tak guna”

“Sampai hati dia bunuh ahli keluarga sendiri”

“Padan muka masuk penjara”

Jin memerhatikan pandangan tajam mereka, lalu menggeleng-geleng. “Tak!” jeritnya. Air hujan menimpanya. Anak rambutya basah menutupi dahi. Air mata Jin bercampur air hujan yang membasahi wajah. “Bukan saya yang bunuh!”

“Abang!” Jisoo memegang tangan abangnya.

“Bukan abang saya yang bunuh! Abang saya bukan seorang pembunuh. Jangan rampas abang saya dari saya!” suara nyaring Jisoo cuba melawan bunyi hujan. Bajunya lenjun basah.

“Abang! Jangan tinggalkan Jisoo!”

“Jisoo!” Jin menjerit panggil nama adiknya, cuba menggenggam tangan Jisoo kuat.

“Masuk dalam kereta cepat!” Polis yang bertugas memotong ikatan tangan Jin dan Jisoo. “Cepat!” Jin ditolak masuk ke dalam kenderaan polis.

“Abang!” Jisoo meraung dalam hujan.

“Abang!!” Jisoo mengejar abangnya yang ditolak masuk ke dalam perut kereta polis.

“Jangan tinggalkan Jisoo! Jangan tinggalkan Jisoo!”

“Jisoo!” Jin menjerit dari dalam keretanya, melihat adiknya mengejar dari belakang.

“Abang!”Jisoo mengejar kenderaan polis tersebut walaupun berkaki ayam.

“Abang!” gadis itu jatuh tersungkur di tengah jalan, memerhatikan kereta polis yang membawa abangnya berlalu pergi.

“Abang!!” Jisoo menjerit kuat.

“Jisoo” Taeyong segera bangkit dari katilnya setelah mendengar jeritan perempuan itu. “Jisoo” Taeyong berlari mendapatkan Jisoo di biliknya.

“Kenapa ni?” Taeyong mendekati gadis itu yang duduk memeluk lututnya sendiri di atas katil. Wajahnya dibasahi peluh.

“Taeyong” Jisoo mengangkat muka, memandang lelaki tersebut. “Aku… aku mimpikan seseorang”

“Abang kau?” teka Taeyong lalu merapatinya.

Jisoo mengangguk laju lalu mengalirkan air mata. Taeyong menarik gadis itu ke dalam dakapan, memujuknya.

“Dia… dia tinggalkan aku” ujar Jisoo teresak-esak menangis sambil memaut pada leher Taeyong.

“Shuuutttt. Tiada siapa akan tinggalkan kau” Taeyong memujuk, Mengusap lembut belakang badan gadis itu.

 

Like this story? Give it an Upvote!
Thank you!
tenmachan
cuba teka belakang badan siapa dalam poster tu?

Comments

You must be logged in to comment
k-hope
#1
Wow. Cerita-cerita awak sentiasa membuatkan saya curious. Hwaiting for this story.^^